Thursday, January 13, 2011

Sultan Selangor tidak diketepikan

KUALA LUMPUR 13 JAN: Tidak timbul persoalan Sultan Selangor diketepikan dalam pindaan undang-undang negeri yang akan dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor seperti yang didakwa Umno-Barisan Nasional,kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru kata beliau, sebarang perincian mengenai pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor harus dirujuk kepada Menteri Besar dan ahli majlis tertinggi negeri itu.

"MB maklumkan ikut apa yang dilakukan mengikut prosedur biasa dalam perlembagaan dan tatkala mengadap memberi penjelasan kepada Tuanku sepertimana yang dilakukan setiap pagi hari Rabu.

"Jadi terperincinya biarlah MB dan ahli majlis kerajaan negeri menyampaikan isu-isu ini," ujar beliau.

Tambahnya lagi, sebarang pindaan yang akan dilakukan kerajaan negeri Selangor adalah berdasarkan peraturan.

Seraya Anwar menolak sebarang spekulasi kerajaan Selangor tidak menurut undang-undang.

"Apa apa pindaan diputuskan kerajaan negeri dan dipersembahkan kepada Tuanku mengikut peraturan yang sedia ada," katanya lagi selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat di ibunegara petang tadi.

Sementara itu, Datuk Mustapha Ali berkata sidang Dun tergempar kerajaan negeri Selangor tidak ada kaitan dengan ketaatan kerajaan Pakatan Rakyat kepada Sultan.

Menurutnya, ia merupakan dua buah elemen yang berbeza dari sudut perlembagaan.

"Sidang DUN satu hal yang lain, hormat Raja satu hal lain. Tidak berbangkit ada sidang Dun dan tidak menghormati Raja," kata beliau

No comments: