Saturday, January 15, 2011

Polis siasat kes kematian Teoh tak bersungguh?

Gobind : Siasatan Polis Kematian Teoh Rapuh


SHAH ALAM 15 JAN : Peguam keluarga Mendiang Teoh Beng Hock berkata siasatan polis yang rapuh menyebabkan mahkamah tidak dapat memutuskan sama ada Beng Hock mati di bunuh atau membunuh diri.

Koroner Azmil Muntapha Abas tidak dapat memberi keputusan muktamad walaupun penggunaan unsur kekasaran semasa mendiang di soal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ditonjolkan berulang-kali sepanjang inkues.

Peguam Gobind Singh Deo berkata koroner Azmil akui inkues tidak mampu membuat keputusan sekiranya pihak berkuasa enggan mengemukakan keterangan-keterangan yang relevan.

"Pihak yang bertanggungjawab untuk membawa keterangan ke mahkamah adalah pihak polis. Tuan koroner kata ada aspek-aspek penting yang dilihat kurang keterangan. Dalam undang-undang, hakim hanya boleh membuat keputusan berdasarkan kepada keterangan, dan bukan berdasarkan pandangan peribadi beliau," katanya.

Selepas lebih setahun inkues berlangsung, koroner 5 Januari lepas mengumumkan bahawa mendiang Teoh Beng Hock tidak mati dibunuh dan tidak membunuh diri semasa dalam pengawasan SPRM.

"Apa yang berlaku adalah majistret kata bahawa ya saya tidak ada bukti untuk capai keputusan samada mendiang bunuh diri atau dibunuh.Selepas satu tahun berjuang di mahkamah, tetapi kerana tiadanya siasatan, maka yang kita dapat adalah keputusan open verdict," katanya.

Teoh ditahan dan disoal-siasat semalaman oleh SPRM sebagai saksi menyiasat dakwaan salahlaku rasuah. Beliau ditemui mati 16 Julai 2009 terdampar di tingkat 5 Plaza Masalam dipercayai terjatuh dari ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.

Semasa memberikan keputusan terbuka itu, Azmil mengesahkan mangsa mengalami kecederaan sebelum terjatuh.

" Memang terdapat kecederaan pada leher,perkara ini disahkan oleh Pornthip dan dua doktor yang lain, isunya adalah selepas ada pengesahan wujudnya kecederaaan ini, adakah polis siasatan perkara ini?," katanya.

Gobind yakin kecederaan yang dialami mendiang akan menjadi tumpuan siasatan polis sekiranya kerajaan mempunyai iltizam untuk mencari kebenaran.

"Tidak ada sebarang kecederaan pada leher atau muka beliau,semasa beliau masuk ke pejabat SPRM, itu fakta yang tidak dicabar dan diterima,jika doktor kata itu kecederaan sebelum jatuh, jadi bagaimana boleh ada kecederaan pada leher?, " katanya lagi.

No comments: