Saturday, January 15, 2011

Politikkan Isu : MIC banyak belajar dari Umno

Masyarakat Penulis Kritik Pemimpin MIC Politikkan Novel Interlok


KUALA LUMPUR 15 JAN : Masyarakat penulis berhimpun hari ini untuk mensasarkan kritikan terhadap pemimpin MIC kerana didakwa mempolitikkan isu novel Interlok dalam cubaan untuk meraih sokongan kaum India.

Lebih 100 wakil pelbagai persatuan penulis dan anak Sasterawan Negara Abdullah Hussein hadir pada perhimpunan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) untuk menolak sebarang cubaan menarik balik atau meminda kandungan buku itu sebagai buku teks di sekolah menengah.

Perhimpunan Memprotes Mempolitikkan 'Interlok' ini diadakan di Rumah Gapena petang tadi.

Rata-rata wakil persatuan penulis menolak pendirian rasmi MIC bahawa buku ini menghina kaum Melayu kerana menggunakan ungkapan tertentu dalam masyarakat Tamil di India.

Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Zainal Abidin Borhan menyeru agar warga Malaysia yang cintakan kesusasteraan bangkit mempertahankan karya hasil Abdullah Hussain.

"Rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, cintakan ilmu pengetahuan bergeraklah tuan-tuan dan akhirnya kita bersatu mempertahankan Interlok sebagai buku teks dan buku negara serta kandungan buku Interlok itu tidak dipinda," tegas beliau kepada kira-kira 100 peserta perhimpunan tersebut.

Sasaran utama kemarahan kumpulan ini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri T.Murugiah yang menyertai MIC baru-baru ini.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor Amiruddin Ali Hanafiah mahu Murugiah meletakkan jawatan secara terhormat sebagai Ahli Dewan Negara kerana mempolitikkan isu berkenaan.

"PPJ berharap, semua gabungan Melayu berharap T.Murugiah orang yang memulakan persoalan 'Interlok' ini memperjelas kepada rakyat Malaysia kerana kebiadaban, saya kata Murugiah biadab kerana tidak menghormati Menteri Pelajaran. Beliau yang menyatakan 'Interlok' ditarik balik seolah-olah Menteri Pelajaran sudah tidak ada, seolah-olah Tan Sri Muhyiddin sudah mati, bagi Murugiah barangkali," tegas beliau.

Gapena merumuskan lapan resolusi hari ini untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, termasuk tuntutan supaya pemimpin-pemimpin kerajaan dipecat sekiranya mereka mencetuskan salah sangka, prasangka dan pergolakan antara kaum.

Thariq Abdullah, anak penulis novel 'Interlok' melahirkan rasa dukacita kerana ayahnya dijadikan mangsa ahli politik.

Beliau menegaskan novel 'Interlok' mengetengahkan keperitan hidup tiga kaum utama di negara ini pada awal tahun 1900an dan tidak menghina mana-mana pihak.

"Tetapi apa yang berlaku, ada golongan tertentu cuma secara 'convenient' mengambil bahagian-bahagian tertentu dan mempolitikkan bahagian-bahagian tertentu, dalam keadaan tersebut untuk kepentingan, mungkin politik peribadi mereka sendiri yang mana telah menjadi polemik negara sekarang," kata beliau.

No comments: