Tuesday, January 18, 2011

Rambut pelajar berbangsa Singh dipotong semasa ikuti program PLKN

Potong Rambut Remaja Sikh: Gobind Gesa Kaji Sistem PLKN


SHAH ALAM 18 Jan.: Kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi meneliti sistem program Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianggap kurang berkesan terutama dalam aspek menghormati amalan agama lain.

Justeru, menurut Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, individu yang terlibat tidak boleh terlepas daripada tindakan disiplin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu, Basant Singh, pelajar 18 tahun yang mengikuti latihan Khidmat Negara di Kem Seri Impian Sungai Bakap, Kedah terkejut apabila mendapati rambut beliau dipotong semasa tidur di bilik kem yang dikongsinya dengan sembilan pelatih lain, Ahad lalu.

"Jadi memang terdapat satu yang tidak betul dengan sistem program ini dan saya rasa satu kajian yang teliti harus dilaksanakan untuk meninjau bagaimana perkara ini boleh berlaku," jelas beliau.

Gobind yang dihubungi Tv Selangor petang tadi berkata, kejadian seumpama ini wujud berikutan kurang pendedahan patriotik dan agama lain yang dianuti segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Tambahnya lagi, perbuatan remaja tersebut tidak langsung menitikberatkan perasaan kaum lain khususnya membabitkan agama.

"Saya rasa itu perkara yang cukup penting tapi selain daripada itu apa yang perlu dilakukan adalah tindakan tegas perlu diambil untuk menghantar satu mesej kepada semua hadirin dan juga mereka yang terlibat dalam program ini bahawa tidak ada ruang untuk insiden sebegini berlaku.

"Saya rasa kalau seseorang pergi ke program seperti ini matlamat dia adalah untuk meningkatkan disiplin dalam peserta tersebut. Itu adalah tujuan kem ini. Kalau kita lihat dari segi logiknya sepatutnya perkara ini tidak berlaku dalam program ini," ujar beliau.

Bapa Basant, Surinderpal Singh, Ketua kuil Sikh Gurdwara Sahib berkata insiden tersebut merupakan satu perkara yang amat serius mencerminkan betapa kurangnya pemahaman anak-anak muda terhadap kepentingan amalan menyimpan rambut oleh agama Sikh.

Gobind menambah, keselamatan peserta-peserta PLKN perlu dititikberatkan agar kejadian sama tidak berulang.

"Ini juga satu isu yang perlu dilihat dari segi keselamatan para hadirin di kem-kem ini di mana kelihatan seolah-olah mereka dapat melakukan apa jua yang mereka suka tanpa sebarang perasaan takut berkenaan akibatnya," katanya lagi.

Dalam pada itu Gobind bersimpati dengan keluarga Surinderpal Singh dan mengharapkan agar mesej dapat disampaikan kepada semua rakyat di negara ini.

No comments: