Thursday, February 17, 2011

Mari baca jawapan PAS terhadap tuduhan Umno Terengganu

PAS penting diri sendiri?

http://buletinonline.net/images/stories/berita41/paspentingdirisendiri.jpgTerbaca satu berita seperti tajuk di atas dari akhbar Sinar Harian Selasa (15 Februari) lalu berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) yang baru dilantik di bawah pentadbiran Dato' Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan.

Pada mulanya agak malas untuk diulas kerana nilai beritanya tidak sepadan dengan taraf jawatan orang yang membuat kenyataan itu. Tetapi mungkin kerana beliau orang baru memegang jawatan itu yang merupakan salah satu jawatan penting dalam hiraki parti yang sedang memerintah negeri ini.

Kalau dilihat dari banyak kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini dari Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu yang juga Menteri Besar, iaitu bos beliau, rasanya tidak hairanlah kenyataan seumpama itu boleh dikeluarkan. Kata orang padan dengan standard ketuanya.

Pernah diberitahu, pegawai-pegawai kerajaan di negeri ini 'malu' dengan ucapan dan kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Said. Bahkan di kalangan orang Umno sendiri pun rasa tidak selesa mempunyai seorang Menteri Besar yang standard ucapan dan kenyataannya macam pemimpin di peringkat kampung. Hingga pernah pelajar sekolah merungut, "Kalau beginilah ucapan seorang Menteri Besar, aku lebih layak duduk di tempat itu."

Berbalik kepada apa yang didakwa oleh Razif bahawa PAS mementingkan diri sendiri dengan beliau merujuk kenyataan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menyalahkan Umno selain mendakwa berlaku penipuan dalam usaha Umno dan Barisan Nasional (BN) menawan Terengganu melalui 'Gelombang Biru'.

Memetik kata-kata beliau: "Inilah yang dikatakan ibarat tidak pandai menari, lantai pula dikatakan jongkat-jongket walaupun mereka sebenarnya yang tidak pandai mentadbir, ekonomi teruk, nepotisme, menipu rakyat berhubung isu tanah, selain Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) yang lebih berkuasa berbanding jabatan-jabatan lain."

Memang kita akui bahawa orang PAS atau khususnya para pemimpin PAS tidak pandai menari, bahkan tidak boleh menari seperti kebanyakan pemimpin-pemimpin Umno. Jadi tentunya tidak berbangkit soal lantai yang jongkat-jongket itu.

Benarkah sebagaimana dakwaan beliau itu bahawa PAS tidak pandai mentadbir? Apakah PAS telah gagal mentadbir sepanjang empat tahun pemerintahannya di negeri Terengganu dahulu? Betulkah kegagalan PAS untuk mempertahankan pemerintahannya itu berpunca dari faktor ini?

Apa yang telah dibuktikan oleh kerajaan PAS semasa berkuasa di Terengganu dahulu ialah pencapaian dan pengiktirafan yang diterima oleh beberapa jabatan di bawah kerajaan negeri dari segi pengurusan terbaik. Begitu juga pujian yang diberi oleh pihak Ketua Audit Negara apabila pentadbiran di bawah PAS termasuk Pihak Berkuasa Tempatan yang berjaya mengemukakan laporan masing-masing dalam tempoh yang sepatutnya, bukan seperti di zaman sebelum itu. Perkara ini boleh dirujuk kepada laporan berkenaan.

Adakah kerana tidak pandai mentadbir itu kerajaan PAS menerima anugerah dan pengiktirafan seperti itu? Ataupun kita hendak kata bahawa orang yang memberi anugerah dan pengiktirafan itu sebagai 'bodoh' dan tidak pandai menilai.

Razif jangan cuba menyeleweng fakta yang menjadi bahan sejarah yang tidak boleh ditipu. Kalau bercakap di hadapan orang kampung terutama di pedalaman mungkin mereka boleh dikelentong oleh Ketua Penerangan Umno ini. Rakyat tidak sebodoh itu untuk ditipu, apatah lagi di zaman yang serba canggih ini dengan perkembangan teknologi maklumat yang boleh dicapai di hujung jari.

Tentang dakwaan beliau bahawa ekonomi lemah di bawah pemerintahan PAS, tahukah beliau apa puncanya? Dunia tahu bahawa pemimpin Umno Terengganu telah mengkhianati kerajaan dan rakyat Terengganu semasa pemerintahan PAS dahulu apabila mereka mendesak supaya royalti petroleum yang menjadi hak negeri ini ditarik balik. Mereka tanpa ada perasaan, maruah dan harga diri sanggup melanggar perjanjian yang dimetrai dengan 'merompak' hak yang termaktub bagi negeri ini.

Cuba kita bayangkan, bagaimana lebih 70% hasil negeri ini dirompak orang. Saya rasa kalau sekiranya Umno/BN yang memerintah negeri ini dalam keadaan itu, mereka hanya mampu bertahan beberapa bulan sahaja. Tetapi kerajaan PAS telah membuktikan bahawa dalam keadaan seolah-olah kaki dan tangan mereka diikat, mereka boleh terus mentadbir negeri ini melalui beberapa pendekatan.

Walaupun banyak perkara yang kerajaan ketika itu tidak mampu lakukan disebabkan kekangan kewangan, tetapi perkara-perkara asas seperti perbelanjaan mengurus termasuk emolumen (gaji bagi kakitangan awam negeri) tidak pernah tertunggak sepanjang empat tahun di bawah PAS. Bahkan kerajaan ketika itu mampu juga membayar kenaikan gaji dan elaun-elaun tertentu selaras dengan apa yang dibuat oleh Kerajaan Pusat.

Langkah berjimat-cermat dan strategi ekonomi yang mantap hasil kebijaksanaan kepimpinan kerajaan PAS ketika itu telah berjaya ditempuh sepanjang pemerintahan empat tahun di negeri ini. Pengurusan yang cekap, telus dan bebas rasuah adalah faktor utama kejayaan ini.

Walaupun pemimpin PAS Terengganu ditohmah 'baham' balak, tetapi hasil balak meningkat tinggi di negeri ini, dan tidak ada seorangpun pemimpinnya yang didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu (SPRM sekarang) kerana penyelewengan dan salah guna kuasa. Yang jelasnya, sepanjang empat tahun itu, kerajaan PAS berjaya menyifarkan rasuah di negeri ini.

Ini juga termasuk dakwaan berlaku amalan nepotisme dalam pentadbiran kerajaan PAS ketika itu. Ia tidak pernah dibuktikan dan bahkan tidak ada yang didakwa atas kes-kes berkaitan.

Apa yang dapat kita buktikan bahawa sepanjang tempoh itu, kehidupan rakyat Terengganu dalam keadaan yang sangat selesa. Kata orang, rezeki melimpah ruah, senang cari makan dan keselamatan dirasakan terjamin. Bahkan kadar kemiskinan di negeri ini telah berjaya diturunkan daripada tempat kedua ke tempat keempat. Adakah itu suatu gambaran ekonomi teruk di bawah PAS mengikut kaca mata Umno?

Mengenai dakwaan Razif PAS menipu rakyat berhubung isu tanah? Sebenarnya siapa yang menipu dan siapa yang kena tipu? Isu menipu ini semua orang tahu adalah mainan saraf Umno untuk memberi gambaran negatif kepada kerajaan PAS. Kalau benar berlaku penipuan sebagai yang didakwa itu, kenapa tiada pendakwaan dalam kes ini dibawa ke mahkamah?

Yang jelas, dalam isu tanah ini, dunia tahu bahawa Umno/BN yang mengkhianati rakyat Terengganu apabila dengan secara rakus mereka merampas tanah-tanah rakyat yang dikurniakan oleh kerajaan PAS. Bukan itu sahaja, mereka sanggup meroboh rumah-rumah rakyat, bahkan rumah Allah pun mereka roboh. Sesungguhnya rakyat Terengganu tidak akan pernah melupakan tindakan zalim yang dilakukan oleh Umno/BN ini yang merupakan tindakan balas dendam mereka.

Dakwaan berkaitan JSR yang dikatakan lebih berkuasa berbanding jabatan-jabatan lain adalah suatu yang subjektif. Mungkin ada satu atau dua kes yang boleh dianggap terpencil, tetapi digembar-gembur serta dijaja ke merata tempat untuk menggambarkan buruknya tingkah laku orang-orang PAS ini.

Padahal perkara seperti ini sepatutnya tidak berbangkit. Apa yang berlaku mungkin ada pegawai di jabatn-jabatan tertentu yang terlalu kuat Umnonya dan memang memusuhi PAS yang tidak senang dengan tindakan-tindakan betul yang diambil oleh JSR tertentu. Selama ini mereka boleh bebas melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan, tetapi di zaman PAS mereka seoalah-olah tersekat untuk melakukannya. Jadi mereka mengkambinghitamkan JSR untuk menghalalkan tindakan mereka. JSR pula yang dijadikan sasaran.

Dakwaan Presiden PAS tentang berlaku penipuan dalam usaha Umno/BN menawan Terengganu itu adalah suatu yang boleh kita buktikan. Pertambahan pengundi yang sangat luar biasa adalah suatu yang telah dibuktikan dalam pendaftaran pemilih semasa Pilihan Raya Umum Ke-11 (2004) yang membawa hasil kemenangan Umno/BN. Kita boleh merujuk kepada data bilangan pengundi di negeri ini dengan membuat perbandingan antara PRU-10 dengan PRU-11.BO

No comments: