Thursday, February 17, 2011

TV3 dalang utama kecohkan isu 'My Balik Pulau' dan perobohan gerai di Taman Pelangi

KENYATAAN MEDIA ISU MY BALIK PULAU DAN PEROBOHAN GERAI DI TAMAN PELANGI

Merujuk kepada isu My Balik Pulau dan Perobohan Gerai di Taman Pelangi, PAS melahirkan kekesalannya ke atas pihak tertentu yang mengeksploitasikan isu di atas untuk kepentingan politik perkauman yang sempit. Keadaan di Pulau Pinang semakin hari semakin tertekan dengan amalan politik rasis yang membawa kepada kebencian kaum kerana pihak tertentu merasakan cara mereka ini boleh menimbulkan kebencian orang Melayu kepada pentadbiran Pakatan, walaupun pendekatan ini amat berbahaya kerana akan mengapikan sentimen perkauman.

Malangnya pihak Media khususnya TV3, menjadi dalang utama kepada menimbulkan usaha-usaha jahat bagi memecahbelahkan keharmonian penduduk berbagai kaum di Pulau Pinang.

PAS menolak politik kotor ini malah mengecam pihak media elektronik dan cetak yang bersubahat untuk membantu politik murahan pihak tertentu dengan menekan Kerajaan Pakatan di Pulau Pinang. PAS Pulau Pinang dengan ini ingin memberikan penjelasan kepada pihak yang terdesak menggunakan isu sentimen Melayu di Pulau Pinang agar kembali kepada politik bermaruah dan berhadapan dengan cara yang lebih bertamadun untuk berpolitik.

Oleh itu, demi untuk melihat masalah di Pulau Pinang diselesaikan dengan berhemah maka;

1. Pas menolak sebarang usaha jahat oleh parti perkauman sempit yang mengeksploitasikan segala tindakan oleh kerajaan Pulau Pinang kononnya sebagai usaha untuk menyisihkan dan meminggirkan sesuatu kaum, sedangkan tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat adalah berlandaskan undang-undang sebagai keutamaannya dan bukan melihat kepentingan sesuatu kaum.

2. Pas kesal media perdana seperti TV3 dll digunakan untuk mensensasikan berita di Pulau Pinang dengan memberikan selera perkauman kepada penonton dan pembaca sehingga terbentuk sikap prejudis kepada kaum lain dan khususnya kepada pentadbiran negeri Pulau Pinang.

3. Cara berpolitik yang menjadikan perkauman sebagai isunya amatlah dikesali dan ini akan membantut usaha rakyat Malaysia untuk mewujudkan masyarakat berbilang kaum yang saling hormat menghormati antara satu sama lain.

4. Serangan media ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang seolah-olah mengiyakan satu tindakan yang salah, malah yang melanggar undang-undang dianggap betul dan yang melaksanakan undang-undang dianggap tidak betul. Ini satu pembudayaan yang songsang dan boleh menjejaskan nilai-nilai murni yang cuba diterapkan dalam masyarakat yang beradab dan bersopan.

5. Hentikan budaya fitnah dengan membawa fakta yang tidak betul dan sewenang-wenangnya menuduh kerajaan Pakatan di Pulau Pinang tanpa usul periksa khususnya isu My Balik Pulau. PAS menyokong tindakan saman ke atas YB Pulau Betong oleh Kerajaan Negeri bagi memberikan pengajaran kepada beliau supaya memeriksa fakta terlebih dahulu sebelum membuat pertuduhan. Malangnya bagi seorang ADUN yang menampakkan kelemahan dirinya di hadapan rakyat kerana keghairahannya untuk menuduh apa sahaja terhadap kerajaan Pakatan di Pulau Pinang.

PAS akan mengambil langkah-langkah yang positif untuk membina sebuah masyarakat yang progresif dan dinamik di Pulau Pinang. PAS menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini supaya cintakan negeri ini dan menolak anasir perosak yang hanya menjadikan orang Melayu sebagai umpan politik mereka. Tolak golongan ini demi membina Pulau Mutiara, Pulau Idaman kita bersama. PAS menyeru supaya semua kaum di negeri ini hidup aman damai mengikut semangat KITA RAKYAT MALAYSIA!

SEKIAN

YB DR MUJAHID YUSOF RAWA
(TPJ PULAU PINANG, MP PARIT BUNTAR)

No comments: