Friday, March 25, 2011

Kekayaan Taib Mahmud melimpah ruah, SPRM pengecut untuk siasat

http://buletinonline.net/images/stories/berita42/hartataibmahmud.jpg

Mampukah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya bertindak terhadap Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud ekoran dari penemuan bukti-bukti tentang penimbunan harta kekayaan yang tidak terhitung jumlah? Atau adakah Ketua SPRM Abu Kassim Mohamed akan meletak jawatan?

Inilah dua persoalan yang berligar dalam kehidupan sosial dan politik penduduk di Sarawak hari ini.

Nampaknya semua mata tertumpu kepada Abu Kassim yang tidak berapa lama dahulu menyatakan hasratnya untuk “meletak jawatan” jika “tiada siasatan dijalankan ke atas mana-mana laporan, walau terhadap seorang ketua menteri sekali pun.”

( Gambar - sebuah rumah dilaporkan sebagai rumah keluarga Tain di Canada)

Sehingga ini, banyak laporan telah dibuat kepada SPRM, baik di Sarawak dan di Semenanjung, terhadap Taib berdasarkan beberapa siri artikel penyiasatan yang dimuat dalam berita portal “Sarawak Report” tentang empair hartanah bernilai berbilion ringgit di Kanada, England, Amerika Syarikat dan Australia, milik Taib dan keluarganya.

Laporan terbaru memperlihatkan perjanjian berbentuk peribadi pada sekitar tahun 1987-1998 mengenai saham Sakti International, syarikat yang memiliki sebuah bangunan di San Francisco. Dalam dokumen itu tertera dengan jelas nama Taib sebagai pemegang ekuiti syarikat itu.

Syarikat milik keluarga Taib merupakan sebahagian dari rangkaian syarikat yang luas menjangkaui sempadan antarabangsa. Rangkaian itu termasuk Sakto, sebuah syarikat hartanah yang ulung di Otawa, Kanada dan Wallysons yang memiliki bangunan Abraham Lincoln di Seattle, Amerika Syarikat.


Dipetik dari laporan itu, “penemuan yang celaka ini mendedahkan sistem rundingan bersifat peribadi, untuk membolehkan ketua menteri menyembunyi jumlah harta kekayaan yang sebenar dalam bidang hartanah.

“Di bawah sistem ini, keluarga Taib secara umum diketahui telah didaftarkan sebagai pemegang saham rasmi dan pengarah-pengarah syarikat yang memiliki hartanah, berasingan, perjanjian berbentuk peribadi memastikan bahawa saham-saham sebenarnya dipegang sebagai amanah bagi pihak beliau.”

Penyiasatan berpura-pura

Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan Dominique Ng memuat turun beberapa salinan bukti ke dalam blognya untuk tontonan orang ramai dan meninggalkan posting berbunyi, “sudah pasti bukti yang bertimbun ini membuat SPRM tidak mampu mengenepikan desakan yang kuat daripada rakyat supaya menyiasat Raja Sarawak berambut putih itu?”

Tetapi siapakah yang akan melaksanakannya. Mampukah SPRM menjalankan siasatan. Tidak ada sesiapa yang akan percaya. Walaupun siasatan dijalankan maka rakyat akan berfikir ini merupakan satu lagi penyiasatan berpura-pura bertujuan untuk menutupinya.

Menurut Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, rakyat telah hilang keyakinan terhadap SPRM dan berpendapat tidak banyak yang dapat dilakukan.

“Rakyat Sarawak sudah bosan dengan penyelewengan Taib. Mereka telah hilang kepercayaan terhadap SPRM.

“Di Sarawak, semua orang tahu tentang kekayaan Taib. Rakyat Sarawak tahu tentang hal ini sejak sekian lama……kami hanya tidak tahu betapa besar empair perniagaannya di luar negara dan betapa luas kekayaannya.

“Tapi sekarang, sudah ada bukti kukuh,” katanya, merujuk kepada dokumen-dokumen yang boleh diperolehi dalam laman web, Sarawak Report.

Menjelaskan bahawa wang Sarawak mesti dikembalikan kepada rakyat, Bian berkata, terdapat rangkaian penipuan yang kuat dan rasuah berkaitan harta kekayaan Taib.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana harta kekayaan sebanyak itu boleh dilambakkan dengan pendapatan sebanyak RM50,000 sebulan.

“Jika SPRM melakukan penyiasatan yang tulus dan menyeluruh mengenai sumber kekayaan Taib maka ia akan menemui hubungan perlakuan rasuah yang melibatkan berjuta ringgit wang rakyat.

“Wang ini milik Sarawak maka mesti dikembalikan kepada rakyat,” jelas beliau.-Free Malaysia Today

No comments: