Wednesday, April 13, 2011

Beting Maro semakin hampir ditawan PAS, sambutan terhadap Najib dingin


BETING MARO, 13 April: Dua hari lagi menjelang pilihan raya negeri Sarawak, Barisan Nasional (BN) kelihatan semakin terdesak apabila isu membabitkan Tan Sri Taib Mahmud terpaksa dijawab satu persatu.

Namun isu bila Ketua Menteri itu akan meletak dan siapa pengganti nampaknya belum mampu dirungkai BN. Ini menyebabkan aktiviti kempen jentera BN kurang mendapat sambutan.

Hari ini terbukti lagi apabila kehadiran Datuk Seri Najib Razak di Pekan Pusa disambut tidak lebih 100 penyokong BN.

Lebih memalukan lagi apabila program kempen Najib yang diadakan sejurus selepas itu semakin kurang bilangan pendengar. Kalau hendak dihitung 50 orang pun sukar.

Perdana Menteri datang menggunakan helikopter. Pemimpin BN tidak serik menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan biar pun seorang terbunuh pada kemalangan helikopter kelmarin.

Najib difahamkan terpaksa berkempen di Beting Maro memandangkan terdapat bayangan BN sukar mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya kali ini.

Isu calon yang tidak dipersetujui akar umbi penyokong BN kini sukar ditangani. Keputusan Taib mengenepikan Bolhassan Di, penyandang sebelum ini juga makin payah diselesaikan.

Selain itu dan kemenangan kecil Bolhassan pada pilihan raya sebelum ini dengan 895 undi menyebabkan situasi cemas melanda BN.

Menurut krew Kelantantv yang berada di Beting Maro sejak Ahad lalu, kedatangan Najib turut disambut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, Presiden PAS turut tampil bersalam dengan Najib ketika Perdana Menteri datang ke Pasar Pusa.

Ketika itu pemimpin PAS dan sebahagiannya daripada Kelantan sedang minum pagi bersama calon PAS Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

”Sambutan penduduk Pusa terhadap Najib amat dingin sekali. Tidak ramai sebagaimana dijangka walaupun BN buat pengumuman termasuk melalui TVmeminta rakyat Pusa keluar menyambut Perdana Menteri.

”Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya. Ketika ucapannya, beliau menghentam Presiden PAS apabila menyebut ’orang PAS bila sambut, peluk kita nampak baik tapi politiknya jahat," beritahu jurucakap Kelantantv.

Kempen Najib

Najib difahamkan tiba di Kuching malam tadi. Beliau dijangka menghabiskan masa berkempen di bahagian tengah Sarawak iaitu Pusa, Sebuyau dan Batang Sadong sehingga esok.

Dua hari lalu beliau berkempen di Beladin, salah satu Daerah Mengundi di Dun Beting Maro yang hanya boleh dihubungi melalui feri menyeberangi Sungai Saribas.

Turut berkempen membantu calon BN di Beladin, semalam Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom.

”Tinggal dua hari kempen sebelum hari pengundian Sabtu ini ternyata BN berada dalam keadaan tersepit apabila pelbagai isu membabitkan Taib terutamanya tanah adat langsung tidak disentuh Najib semasa melawat Beladin,” katanya.

Penduduk di Beladin juga dikatakan menuntut janji yang tidak ditunaikan sehingga kini termasuk membayar pampasan tanah.

Malam tadi Ustaz Abdul Hadi berceramah di Pusa Tengah bersama anggota jawatankuasa PAS pusat, Mohamad Sabu; Senator Mumtaz Nawi, dan
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Sambutan penduduk Pusa terhadap ceramah PAS begitu menggalakkan sekali di mana jauh lebih positif berbanding pilihanraya negeri Sarawak pada 2006.

Malah anak-anak muda tidak kekok melaungkan kata-kata 'Hidup PAS' dan didapati mereka memberi sokongan padu terhadap Abang Mat.

Jentera pembantu kempen dari Dewan Pemuda Kelantan diketuai Abdul Latif Abdul Rahman turut mengadakan acara sukan bersama belia dan anak muda di Kampung Pusa Tengah semalam.

BN semakin sukar

Sementara itu pegawai penyelidik dari Pusat Kajian Strategik Kelantan, Zainal Abidin Husien (gambar) berkata, momentum yang berlaku di semenanjung pada 2008 ternyata telah hanyut ke Sarawak.

”Sebelum ini kita boleh lihat gerak kerja kempen parti selain BN sukar mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan.

”Kempen PAS di Beting Maro pada pilihan raya negeri lalu pun berdepan dengan pelbagai kesukaran. Namun sekarang berubah 360 darjah. Penduduk boleh menerima PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya juga isu yang paling penting BN sehingga kini belum mampu memecah benteng keutuhan Pakatan Rakyat biar pun cuba membawa isu video lucah dengan andaian Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak rakyat Sarawak.

Sebaliknya kata beliau apa yang berlaku sekarang, kehadiran pemimpin Pakatan mendapat sambutan hangat.
Ceramah Muryidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin utama DAP di bandar Kuching malam 10 April lalu mendapat sambutan luar jangka.

”Apa pun keputusan pilihan raya Sarawak ini akan mempengaruhi sentimen politik di Semenanjung. Semangat Pakatan sudah diterima rakyat, kata orang boleh jalan sekarang.

”Kalau dahulu orang masih ragu-ragu, sekarang tidak lagi. Malah usaha media pro BN menghodohkan wajah pemimpin Pakatan nampak belum berjaya bahkan menyatukan penyokong Pakatan,” ujarnya.

Beliau yang mempunyai kelulusan dalam Sarjana Sains Politik dari USM berkata, keputusan pilihan raya Sarawak menjadi petunjuk kepada pilihan raya umum ke-13.

9 comments:

Anonymous said...

Isu Kristian dedah kebimbangan BN di Sarawak
Walaupun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan kerajaan Barisan Nasional menghormati hak Kristian, kempen yang dijalankan melibatkan orang Islam di Sarawak menunjukkan BN bimbang dengan peningkatan pengaruh kumpulan itu.

Kempen oleh blog-blog dan juga yang secara tidak terbuka oleh BN mendedahkan isu Kristian dijadikan alasan untuk menolak Pakatan Rakyat yang dikuasai DAP dan PKR di Sarawak.

Tokoh PKR, Baru Bian yang menjadi konsensus untuk menjawat jawatan ketua menteri sekiranya PR menang dalam pilihan raya kali ini menambahkan lagi kebimbangan terhadap penghakisan pengaruh Melayu dan Islam dan peningkatan pengaruh Kristian dan bukan Melayu.

Status agama peguam itu menjadi sasaran dalam kempen BN untuk menolak PR dalam pilihan raya negeri kali ini, yang menyaksikan saingan paling sengit dalam sejarah.

Pengakuan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bahawa pilihan raya ini sengit dan tempoh kehadiran dua pemimpin tertinggi pemerintah itu dalam kempen Sarawak menggambarkan kebimbangan BN terhadap saingan sengit kali ini.

Kelangsungan penguasaan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan partinya didakwa sesetengah pihak boleh memelihara Sarawak daripada dikuasai pengaruh Kristian.

Kempen pilihan raya di Sarawak kali ini menyaksikan isu Kristian menjadi isu paling panas, yang dijangka boleh mempengaruhi pengundi Kristian secara blok.

Kempen menjatuhkan pemerintah Sarawak dijalankan dengan agresif kali ini dan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk dari luar negara.

Tekanan terhadap Taib yang sangat kuat telah mendorong BN mengambil kira dengan serius peralihan kuasa di negeri itu.


SIASAHDAILY

Anonymous said...

LARANGAN MENGHINA DAN MENCACI MAKI

Firman Allah swt, maksudnya "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk, amatlah buruknya sebutan nama fasiq sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiqnya maka merekalah orang-orang yang zalim".


Daripada ayat di atas terdapat tiga perkara utama yang ingin disampaikan.

Pertama : Kita seharusnya tidak menghina antara satu sama lain sesama meskipun lelaki atau perempuan. Larangan ini adalah disebabkan boleh jadi orang yang dihina itu, lebih baik daripada orang yang menghina.

Kedua : Kita seharusnya tidak mencaci dan mengeji antara satu sama lain kerana itu adalah sifat yang buruk. Allah telah berfirman, maksudnya "Kecelakaan besar bagi orang yang mencaci dan mengkeji". Oleh itu jauhilah sifat mencaci dan menghina antara sesama manusia.

Ketiga : Kita seharusnya tidak memanggil atau menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk. Firman Allah dalam surah Al-Hujrat ayat 11 yang bermaksud "Dan janganlah kamu memanggil dengan panggilan yang buruk antara sesama kamu yang seagama Islam, seperti panggilan ya fasiq, ya kafir, Firaun, Haman atau sebagainya".

Kita seharusnya menjauhi sifat suka menghina, mencaci, tuduh-menuduh sesama manusia serta memanggil dengan panggilan yang buruk. Jika kita masih meneruskannya nescaya kita tergolong dalam orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka jahanam seperti mana maksud surah Al-Hujrat "Dan sesiapa yang tidak bertaubat yakni berhenti daripada melakukan perkara tersebut mereka itulah tergolong dikalangan orang yang menzalimi diri mereka sendiri, iaitu membenarkan diri mereka dibakar oleh api neraka jahanam kerana dosa yang mereka telah lakukan."

Anonymous said...

KOTA BHARU: Lebih 300 peniaga Arked Lama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dekat sini pulang kecewa, apabila Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang diharap mampu menyelesaikan kemelut berkaitan Bazar Tok Guru, tidak hadir pada sesi pertemuan antara peniaga dan pemimpin negeri, semalam.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama Arked MPKB, Ab Salim Ahmad, berkata tindakan kerajaan negeri itu membuktikan mereka terutama Nik Aziz sudah menutup pintu perbincangan bagi menyelesaikan masalah peniaga terbabit. Katanya, peniaga menagih janji dibuat Nik Aziz sebelum pilihan raya umum lalu, yang menjanjikan tempat berniaga selesa dan minta ia ditunaikan kerana janji itu keluar dari mulut seorang yang dianggap sebagai alim ulama serta dihormati masyarakat. “Persatuan sudah menghantar surat kepada Nik Aziz serta Exco kanannya supaya hadir ke Bazar Tok Guru hari ini bagi mengadakan pertemuan selain melihat sendiri keadaan ruang niaga di bazar berkenaan.

“Namun kami terasa amat kecewa, apabila Nik Aziz serta wakil kerajaan negeri tidak hadir, sekali gus membuktikan mereka sudah menutup pintu perbincangan bagi menyelesaikan kemelut bazar ini. Hanya Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri yang hadir.

“Keadaan ini membuktikan kerajaan negeri sudah menganaktirikan kami selain membuka sikap sebenar mereka iaitu susah untuk mengadakan perbincangan," katanya di sini, semalam.

Kemelut peniaga ini bermula apabila Bazar Tok Guru yang akan menempatkan mereka berniaga, tidak memenuhi spesifikasi sebagaimana yang dijanjikan, dengan ruang niaga yang sempit serta dijual pada harga tinggi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Othman, berkata hasil siasatan didapati Bazar Tok Guru selamat untuk diduduki mengikut spesifikasi keselamatan kebakaran.

Katanya, laluan yang disediakan bagi membolehkan tugasan menyelamat sekiranya berlaku kebakaran serta kemudahan alat memadam kebakaran memenuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Anonymous said...

SOAL JAWAP PILIHAN RAYA SARAWAK

Soalan:Apakah hukum mengundi?
Jawapan:Pada asalnya hukum mengundi adalah fardhu kifayah.

Soalan:Bolehkah mengundi dihukum sebagai wajib?
Jawapan:Bergantung kepada situasi dan keadaan,ia boleh menjadi fardhu ‘ain ataupun wajib sekiranya untuk mempertahankan kepimpinan Islam seperti di Sarawak sekarang ini yang berasaskan kepada konsep perkongsian kuasa yang tidak menyalahi syariat Islam.

Soalan:Bagaimanakah ciri-ciri pemimpin yang patut dipilih sebagai umat Islam?
Jawapan:Patuh kepada agama, amanah dan bertanggungjawab kepada rakyat dan bukan bersandarkan unsur-unsur fitnah dan tohmhan semata-mata. Perlu juga dipertimbangkan terhadap jasa, perjuangan, perngorbanan yang telah dilaksanakan oleh seseorang calon itu terhadap pembangunan Sarawak.

Soalan:Sekiranya terdapat beberapa orang calon muslim yang bertanding di sesuatu kawasan,di atas parti politik yang berbeza, bagaimanakah kaedah Islam untuk menentukan calon yang layak menjadi pemimpin, berdasarkan akhlak individu atau prinsip parti?
Jawapan:Pilihlah pemimpin yang cenderung kepada agama dan dapat memberi faedah kepada masyarakat, dan ukurlah juga sejauh mana sumbangan calon-calon tersebut terhadap pembangunan ummah.
Berdasarkan realiti dan situasi politik di Sarawak dengan berpandukan perkongsian kuasa yang telah terbukti kejayaannya, maka pilihlah Parti yang kurang mendatangkan kemudharatan kepada umat Islam. Dan hindarilah mengundi calon parti mereka yang akan mendatangkan kemudharatan yang lebih besar terhadap pembangunan ummah dan memecah belahkan perpaduan masyarakat majmuk,khususnya di Sarawak.

Soalan:Sekiranya terdapat di kawasan kita calon-calon non muslim yang bertanding. Bagaimanakah untuk kita sebagai pengundi untuk memilih pemimpin?
Jawapan:Pilihlah calon non muslim yang lebih prihatin,bertanggungjawab dan lebih memberi manfaat kepada masyarakat Islam sebagaimana yang telah terbukti dalam memimpin negeri Sarawak selama ini yang berasaskan kepada perkongsian kuasa dan saling hormat-menghormati antara pelbagai kaum dan kepercayaan.

Soalan:Apakah kewajipan wakil rakyat(YB) muslim terhadap rakyat yang pelbagai agama dan kaum yang terletak di kawasan yang dimenanginya?
Jawapan:Islam menuntut agar keadilan dilaksanakan untuk semua tanpa pilih kasih, hatta terhadap mereka yang tidak menyokong(tidak mengundinya) sewaktu pilihan raya.Wujudkan keharmonian, saling hormat-menghormati dan maafkan semua orang yang menentang

Soalan:Apa hukumnya menyebarkan fitnah terhadap seseorang calon bagi mempengaruhi pengundi atau memperdayakan mereka yang tidak mengetahui keadaan yang sebenarnya.
Jawapan:Haram dan berdosa besar!

Bersambung.....

Anonymous said...

Sambungan....

Soalan:Adakah halal elaun@gaji seseorang wakil rakyat(YB) yang memenangi sesuatu pilihanraya disebabkannya melakukan penipuan dan menyebarkan fitnah terhadap lawannya?
Jawapan:Haram! Beliau adalah seorang yang fasiq dan tidak layak menjadi pemimpin.

Soalan:Adakah wajib seseorang calon itu menunaikan janji-janjinya semasa berkempen seandainya dia ditakdirkan sebagai pemenang?
Jawapan:Wajip ditunaikan jika dia memenangi pilihan raya tersebut, walaupun parti yang diwakilinya tidak menjadi pemerintah di negeri itu.Jika tidak ditunaikan maka beliau dikhuatiri menjadi munafik.(sesungguhnya orang-orang munafik itu dibuntut neraka jahanam).

Soalan:Apakah hukumnya mengingkari pemerintah?
Jawapan: “Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram menurut kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.” (Perkataan Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menukil perkataan Ibnu Baththal dalam Fathul Bari,
“Telah berkata Ibnu Baththal dalam hadis yang menjadi hujjah untuk meninggalkan sikap keluar dari ketaatan kepada sultan (pemerintah) walaupun pemerintah tersebut seorang yang jahat, (katanya) “Para fuqaha’ telah bersepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakan (mutaghalib) dan berjihad bersama-samanya. Ini adalah kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang nyata.”.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)

Soalan:Dalam kontek Negeri Sarawak, jumlah umat Islam sekitar 25%(tidak ada mana-mana kaum boleh disifatkan sebagai majority:Iban;36%,Cina:32%).Apakah hukumnya individu atau parti yang memecahbelahkan perpaduan dan persaudaraan umat Sarawak yang sangat sedikit itu jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk Sarawak?

Jawapan:Haram, kerana jamaah dan ukhuwah Islamiah mengatasi segala kepentingan parti atau individu terutama sekali di kalangan umat Islam Sarawak yang begitu sedikit. Dan seandainya ditakdirkan umat Islam kehilangan kekuatan dan kuasa memerintah, maka mereka yang terlibat dan bersubahat mengkhianati kepimpinan Islam itu bukan sahaja haram malah berdosa besar!.

Semoga FAQ Pilihan Raya ini ada manfaatnya bagi mereka yang mahu berfikir untuk masa depan rakyat Sarawak.

UMAT ISLAM SARAWAK,RENUNG-RENUNGKANLAH!

JANGAN KERANA SEEKOR DUA NYAMUK YANG MENGHISAP DARAH SEMUA KELAMBU DIBAKAR....!!!!

YANG DIKEJAR TAK DAPAT, YANG DIKENDUNG BERCICIRAN.....!!!

DR MUZZAKIR

Anonymous said...

KOTA BHARU 11 April - Bekalan air Kelantan yang sering menimbulkan rungutan dalam kalangan rakyat mendapat perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) apabila beberapa peserta membangkitkan isu itu dalam Dialog Suhakam Bersama Rakyat di sini, hari ini.
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam ketika menjawab soalan peserta berkata, kemudahan asas termasuk bekalan air adalah tanggungjawab kerajaan dan pihaknya akan melanjutkan masalah itut untuk dibincangkan.
Sebelum itu, seorang peserta mendakwa, dia bertindak memotong bekalan air ke rumahnya kerana setelah empat tahun membayar bil, tetapi tidak mendapat perkhidmatan sewajarnya.
"Saya kecewa kerana bekalan air sejak dahulu lagi bermasalah sehinggalah empat tahun lepas saya kembali semula ke negeri ini, masalah yang sama masih berulang.
"Saya malu apabila mendapati rakyat di negeri lain telah lama menikmati bekalan air secukupnya, tetapi saya hanya membayar bil air bertahun-tahun, tetapi air tidak naik ke atas rumah dua tingkat yang saya sewa," katanya.

Anonymous said...

Daripada Thauban, katanya: Sabda RasululLah s.a.w.: “Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan (menjamah hidangan makanan) . Seorang sahabat bertanya “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab “bahkan bilangan kamu diwaktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha` (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabt bertanya pulak ” Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?” Jawab Rasulullah “cinta dunia dan takut mati” (Riwayat Abu Daud. Al-Albani mensahihkannya ( Al-Albani, Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. 2/647 Riyadh : Maktabah al-Ma`arif).

malas baca said...

kasihan anon yang sama ni. buat la blog sendiri kalau nak masukkan copy paste macam ni.

kalau tak tahu nak buat blog belajar la dari yang pandai.

kalau dah ada blog tapi tak sapa nak tengok tentulah blog tu tak menarik .

Dr Asli said...

Anon-Dr Muzakkir ini doktor cucuk diri sendiri kot. menulis semasa high. kakakaka