Wednesday, April 6, 2011

DAP lebih awal dari Perkasa bela kematian pegawai kastam Melayu

SPRM Perlu Diteliti Transparency International




SHAH ALAM 6 APRIL: Parti Tindakan Demokrat (DAP) mendesak corak pentadbiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diteliti oleh badan bebas Transparency International serta dirombak semula keseluruhannya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan medianya berkata, satu Suruhanjaya DiRaja (RCI) juga perlu ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian seorang pegawai Kastam, yang ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur hari ini.

"DAP ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Ahmad dan DAP juga kesal kejadian satu lagi kematian di kawasan SPRM sedangkan kematian tragik Teoh Beng Hock masih belum selesai. Apakah SPRM langsung tidak belajar dari kejadian lampau?" tegas beliau.

Menurut Guan Eng, apa yang berlaku hari ini menunjukkan seolah-olah SPRM tidak serius dalam memperbetulkan kesilapan lalu walaupun telah berjanji untuk tidak mengulangi kes Teoh Beng Hock.

"Rakyat Malaysia tidak percaya apabila diberitahu Teoh membunuh diri, sebaliknya mereka percaya Teoh dibunuh. Persoalannya sekarang ialah samada kerajaan serius dalam usahanya mencari mereka yang bertanggungjawab dan mengambil tindakan sewajarnya. Kematian tragis Ahmad hanya menambah lagi kesangsian serta menghancurkan sedikit sebanyak kepercayaan rakyat terhadap badan tersebut," tegas beliau lagi.

Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Salbani Mohamed, 56 disiasat SPRM di bawah Operasi 3B sejak awal minggu lalu ditemui mati di perkarangan bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut pengarah Penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali, Ahmad Salbani dikatakan naik ke tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane untuk disoal siasat sebelum di jumpai mati diaras bawah bangunan itu , kira- kira jam 10.15 pagi tadi.

Awal minggu ini, SPRM menahan lebih enam puluh pegawai Kastam dan merampas sejumlah wang bersabit siasatan rasuah di bawah beberapa akta termasuk Akta Pengubahan Wang Haram.

Tragedi berlaku ketika sebuah Suruhanjaya Diraja sedang menyiasat prosedur operasi SPRM susulan kematian bekas pembantu Exco Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock, yang mati pada Julai 2009.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, namun satu badan siasatan diwujudkan bagi menyiasat punca kematian Teoh.

Selepas 17 bulan dibicarakan mahkamah menetapkan tiada keputusan dicapai yang mana tidak dapat dipastikan sama ada Teoh membunuh diri atau dibunuh.

Ekoran keputusan itu, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian Teoh.

Katanya lagi, sebuah badan seperti SPRM yang tiada kepercayaan dari rakyat hanya membuktikan kerajaan BN tidak serius dalam mencegah penyelewengan.

Jelas Guan Eng, SPRM perlu segera dirombak sepenuhnya bagi memastikan badan itu mampu menjalankan tugasnya dengan lebih efisyen, efektif, bersikap neutral serta profesional dalam semua aspek keselamatan suspek.

"Kegagalan SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menunjukkan satu contoh kes berat sebelah dan kegagalan SPRM dalam menguatkuasan undang-undang secara adil," kata beliau lagi.

Tambah Guan Eng, beliau turut menegaskan penubuhan suruhanjaya siasatan bagi menyiasat kematian Ahmad perlu bagi mengetahui punca sebenar kematian beliau serta menghukum pesalah sebenar sekali gus melaksanakan ciri-ciri keselamatan yang mampu memastikan suspek tidak lagi dicederakan atau mati secara sia-sia semasa berada di bawah tahanan SPRM.

No comments: