Friday, June 10, 2011

Datuk Henry Benedict dipecat dari MIC



KUALA LUMPUR 11 JUN : MIC memecat ketua MIC Bahagian Bagan, Datuk Henry Benedict Asirvatham yang baru-baru ini didakwa secara terbuka mengecam kepimpinan Datuk G Palanivel, yang menerajui parti itu sejak Disember lalu.

Pemimpin bahagian itu dikenakan tuduhan mendakwa Palanivel cuba membawa balik mereka yang dipecat oleh kepimpinan sebelum ini dan menubuhkan lebih 1,000 cawangan baru untuk memperkukuhkan kedudukan menjelang pemilihan parti tahun depan.

Pengerusi jawatankuasa disiplin MIC Tan Sri Dr K.S Nijhar berkata, keputusan itu diambil selepas mendengar kes itu petang kelmarin.

Nijhar berkata MIC sebenarnya tidak mahu memecat mana-mana ahli meskipun kesalahan dilakukan oleh Asirvatham, seorang ahli perniagaan, adalah serius.

Ia merupakan kes pertama di bawah kepimpinan Palanivel sejak mengambil alih jawatan presiden daripada Datuk Seri S Samy Vellu.

Bagaimanapun, meskipun Asirvatham diberi beberapa peluang dan diminta agar memohon maaf atas tindakannya tetapi enggan berbuat demikian, kata Nijhar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Nijrar berkata surat pemecatan akan dikeluarkan Isnin ini.

“Di bawah situasi normal, beliau (Henry Benedict Asirvatham) sepatutnya telah dipecat (terus) atas apa yang telah dilakukan. Bagaimanapun keadaan adalah tidak normal sebab dasar kepimpinan parti sekarang, isu-isu disiplin dibawa (diselesaikan) ke arah proses penyatuan (dalam parti). Objektif kami ialah mengurangkan tindakan disiplin,” kata Nijrar.

Katanya, jika pun tindakan disiplin diperlukan pihaknya hanya mahu menggantung seseorang agar pihak terbabit boleh kembali memainkan peranan dalam parti kemudian tanpa sebarang halangan dan masalah.

“Pemecatan akan menyebabkan proses menerima masuk menjadi makin rumit dan menimbulkan kontroversi sebagaimana disaksikan apabila beberapa ahli yang dipecat diterima balik (baru-baru ini),” katanya sambil menegaskan, tindakan menggantung akan dipertimbangkan jika seseorang yang dkenakan tuduhan kesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.

“Mengambil kira kesemua faktor ini, saya telah memberikan Henry beberapa peluang untuk menyelamatkan dirinya daripada tindakan pemecatan dengan memohon maaf atas kesalahannya dan berjanji bahawa tidak akan mengulangi perkara ini pada masa depan.

“Beliau bersetuju untuk tidak mengulanginya pada masa depan tetapi enggan memohon maaf. “Jawatankuasa disiplin tiada pilihan kecuali untuk memecatnya. Jika beliau memohon maaf, maka jawatankuasa disiplin hanya akan menggantungnya,” kata Nijrar.

Asirvatham menerima surat tunjuk sebab pertengahan bulan lalu dan diperuntukkan 14 hari untuk memberi penjelasan secara bertulis.

Sebelum ini, Asirvatham memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau berkemungkinan telah menggunakan kata-kata yang salah ataupun kenyataannya kemungkinan telah menyinggung perasaan sesetengah pihak, tetapi “saya mahu menekankan bahawa apa yang dikatakan adalah ikhlas untuk mengetengahkan kepada ahli-ahli MIC dan publik apa yang sebenarnya berlaku.”

Ada pihak dalam MIC menganggap bahawa kepimpinan baru Palanivel, yang mengambil alih jawatan presiden Disember lalu sudah mula menerima bangkangan dari dalam parti meskipun beliau berniat mahu mengembalikan perpaduan.

Dalam surat tunjuk sebab bertarikh 18 Mei lalu, jawatankuasa disiplin meminta Asirvatham menjelaskan dua kenyataan media beliau iaitu tindakan Palanivel untuk menyatupadukan pelbagai kumpulan ke dalam MIC adalah sebahagian daripada usaha “membunuh” timbalannya Datuk Dr S Subramaniam dan mendakwa anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti sebagai boneka yang hanya mengikut arahan ketua parti itu.

“Ini adalah tuduhan serius untuk dibuat. Oleh itu, anda dikehendaki menunjukkan bukti secara bertulis dalam dua minggu mulai hari ini (18 Mei), dengan asas-asas yang berfakta.

“Kegagalan berbuat demikian atau memberi penjelasan memuaskan, akan menyebabkan tindakan disiplin, bersamaan dengan (tindakan) pemecatan dari parti, boleh diambil ke atas anda,” kata Nijhar.

Komen-komen Asirvatham merujuk kepada keputusan CWC April lalu yang menerima balik tiga pemimpin yang pernah menganjurkan kempan Gerakan Anti Samy (GAS) — V Mugilan, Kumar Aamaan dan K.P Samy. Mugilan telah dikembalikan jawatan timbalan ketua Pemuda MIC pusat dan Kumar dan Samy sudah boleh menganggotai semula CWC.

Susulan keputusan CWC itu, Setiausaha Pemuda MIC, C Sivarraajh juga ada membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan mendakwa keputusan tersebut sebagai tidak sah.

Sivarraajh menimbulkan persoalan adakah wajar perlembagaan parti diketepikan untuk memberi pengampunan kepada tiga pemimpin berkenaan dan menegaskan, ia bertentangan dengan Perkara 15.4 dan 61.5 perlembagaan.

Perkara 15.4 menyatakan seseorang ahli yang sudah dipecat hanya boleh dikembalikan ke jawatan asal jika merayu kepada CWC dan rayuan diterima oleh jawatankuasa berkenaan manakala Perkara 61.5 pula menyebut ahli yang dipecat hanya boleh diterima balik sebagai ahli selepas dua tahun daripada tarikh dipecat.

“Jika memerlukan bukti, saya akan membawa saksi-saksi, yang merupakan penyokong Dr S Subramaniam, dari seluruh negara dengan bas untuk membuktikan adanya usaha mahu membunuh (politik) Dr Subramaniam,” tegas Asirvatham kepada The Malaysian Insider sebelum ini.

“Saya ada bukti, Palanivel membawa masuk mereka yang dipecat oleh Samy Vellu untuk memperkuatkan kedudukan beliau, bukan kerana kepentingan parti tetapi kerana bimbang dengan populariti Dr Subramaniam,” kata beliau.

Bahagian Bagan di Pulau Pinang, dakwa Asirvatham, pernah digantung oleh Samy Vellu pada 2006 juga kerana Palanivel. Bekas presiden membatalkan hukuman itu pertengahan tahun lalu ketika kempen GAS diadakan.-The Malaysian Insider

2 comments:

Anonymous said...

kene pecat mic bolih masuk umno..ngaku jadi melayu ..mcm kelin yg lain2.

Anonymous said...

ohh..... abang bahasa tu jaga lah sikit yeh...... ini negara berbilang kaum...... give respect and take respect k...... kerana orang2 seperti u lah, punca wujudnya masalah perkauman dinegara yang aman nie.....