Tuesday, June 7, 2011

Kerajaan BN dulu tak ingat BAHAYA, kira UNTUNG kroni sahaja



SHAH ALAM 8 JUN : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada pengusaha tapak semaian Sugai Buloh yang juga dikenali sebagai “Green Lane” bahawa tanah yang mereka usaha itu adalah rizab keselamatan kerana terdapat dua batang paip bertekanan tinggi yang membekalkan air kepada lebih satu juta penduduk.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sepatutnya tidak boleh membenarkan apa-apa aktiviti dijalankan diatas tapak semaian seluas 20 ekar itu, bagaimanapun perkara tersebut tidak dilakukan oleh kerajaan yang terdahulu walaupun mengetahui kedudukan paip terbabit.

"Pada waktu dahulu, semua pihak lepas tangan dan tidak mahu menyelesaikan masalah ini walaupun mereka mengetahui paip tersebut berada di situ. Ia memang sudah sedia ada ketika pengswastaan air berlaku pada 2001. Kerajaan, mahupun Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) tidak mahu berbuat apa-apa sebelum ini.

"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya tidak boleh tutup mata kepada masalah ini," kata Khalid dalam kenyataan medianya kepada pengusaha tapak semaian yang diwakili oleh Sunny Low, presiden Landscape and Agriculture Nursery Operators of Subang Association di pejabat Menteri Besar, di Shah Alam, semalam.

Perjumpaan tersebut turut dihadiri oleh setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Roslan Sakiman, pegawai daerah Petaling, Datuk Zulkifli Yaakob dan pegawai daerah Gombak Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Setelah dimaklumkan semua isu-isu yang terlibat, Khalid berkata Kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menolak semua permohonan TOL termasuk permohonan yang dibuat oleh Yayasan Selangor.

Namun begitu, beliau prihatin dengan kebajikan lebih 60 pengusaha di Green Lane dan akan memastikan penyelesaian yang diambil tidak akan menjejaskan perniagaan mereka.

"Oleh itu, kami meminta Yayasan Selangor untuk menyediakan satu kajian (feasibility study) bagi memastikan sekiranya aktiviti mengusaha tapak semaian di kawasan Green Lane selamat atau tidak. Jika boleh, kita mahu tahu bentuk pembangunan apakah yang boleh dibuat dan siapakan yang boleh ditugaskan untuk menjaga kawasan tersebut agar tidak berlakunya perkara yang tidak diingini.

"Dan jika ianya tidak selamat, kerajaan negeri akan memastikan pengusaha akan diberi tempat lain untuk meneruskan perniagaan mereka," kata menteri besar.

Beliau juga turut menjemput badan wakil pengusaha tapak semaian melantik pakar jurutera untuk membuat laporan yang sama dan memberi tempoh sebulan untuk menyiapkan laporan tersebut.

Sementara menunggu laporan tersebut, beliau turut mengarahkan pejabat tanah dan galian serta pejabat daerah untuk mencari kawasan alternatif untuk pengusaha di kawasan berdekatan.

Tambah Khalid, pihaknya juga akan menulis surat kepada ketua pengarah tanah dan galian untuk mencari tapak semaian yang baharu bagi pengusaha terbabit menjalankan perniagaan mereka di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

"Saya harap tiada siapa yang akan mempolitikkan perkara ini kerana ianya soal keselamatan. Sepatutnya kerajaan persekutuan berkejasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan perkara ini. Walaubagaimanapun, jika meraka tidak mahu, saya akan cuba mendapat penyelesaian untuk semua,” tambah beliau.

No comments: