Saturday, June 4, 2011

Negara Berkebajikan jadi tonggak utama PAS, PR



GOMBAK 5 JUN : Timbalan Presiden PAS yang baru Mohamad Sabu berkata perjuangan PAS untuk menubuhkan negara berkebajikan diterima baik oleh semua kaum dan akan terus menjadi hala tuju utama parti itu dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke -13.

Beliau juga menegaskan barisan kepimpinan PAS yang di pilih Jumaat lalu mencerminkan keinginan perwakilan untuk parti itu lebih mendekati rakyat dan terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Aktivis ini adalah mereka yang terlibat secara langsung dengan masyarakat sama ada timbalan presiden dan naib-naib presiden yang dipilih.

“Signalnya ialah apabila kita lihat Mazlan Aliman mendapat undi yang tertinggi (804 undi), antaranya yang memberi kekuatan kepada sokongannya ialah kerana penglibatan beliau dalam Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) untuk merobah minda pengundi masyarakat Felda (Peneroka),” kata beliau dalam wawancara dengan Harakah Daily.

Mazlan mengekalkan kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat PAS dengan memperoleh undi tertinggi pada pemilihan kepimpinan 2011-2013.

Kata Mohamad, walaupun secara umumnya Anak belum berjaya secara menyeluruh, tetapi usaha dipelopori Mazlan dan rakan-rakannya mendapat penghargaan daripada perwakilan seluruh negara.

“Begitu juga kemenangan pimpinan yang lain-lain seperti naib presiden Datuk (Paduka) Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan
Salahuddin Ayub, trend ini berlaku kerana muktamar kali ini tempohnya sangat dekat dengan pilihan raya umum ke-13.

Sehubungan itu, ahli dan penyokong mahu mereka yang terlibat sepenuhnya dengan masyarakat dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya yang dilihat sebagai antara pihak mencetuskan kepimpinan ulama sekitar tahun 1982.

Salahuddin, Husam dan Mahfuz menang saingan pemilihan naib presiden.

Menyentuh soal kumpulan ulama dan profesional, Mohamad berkata, beliau tidak mahu kepimpinan ulama disalah tafsir dan beliau menghormati pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Sheikh Omar Muktar, Sheik Ahmad Yassin, Abu Bakar Al-baqir, Yusof Rawa dan Datuk Fadhil Noor.

“Semua ulama ini saya penuh hormat dan menyebut nama perjuangan mereka dalam ceramah dan penulisan saya. Yang kita tidak mahu orang bertenggek di atas nama kepimpinan ulama, yang berkelulusan agama tetapi bertenggek atas nama kepimpinan ulama.

“Tetapi ulama sejati yang berilmu, yang membina masyarakat, yang beri ulmu, berjuang dan berjihad inilah yang kita sanjung yang kita sokong dan sepanjang zaman ulama inilah yang meniupkan kebangkitan,” katanya lagi.

Katanya, “ini termasuklah mereka yang meniupkan semangat kebangkitan kemerdekaan iaitu Sheikh Jamaludin Al Afghani ialah seorang ulama yang bertaraf Hujjatul Islam.”

“Ulama seperti ini harus diketengahkan, bukan kelulusan sijil agama sahaja dipanggil ulama. Bahkah kalau yang ulama kontemporari seperti Hassan Nasralllah, saya amat kagum di atas kehebatan beliau kumpul sokongan Muslim dan bukan Islam di Lebanon dengan meniup semangat jihad menentang Israel.

“Sheikh Ahmad Yassin, daripada di atas kerusi rodanya dia mampu untuk meniupkan semangat jihad melawan Israel. Ulama seperti ini yang saya sanjung, bukan yang berkelulusan yang belajar dari sekolah agama kemudian pergi ke Mesir, dan bila balik ke Malaysia kita gelar dia ulama.

“Sedangkan ia tidak menonjol dirinya sebagai seorang waris kepada Nabi Muhammad iaitu buat kerja-kerja yang dibuat oleh Nabi Muhammad, jadi saya tetap berpegang teguh dan menyanjung kepimpinan ulama ini,” katanya lagi.

Berhubung soalan sama ada akan berlaku sebarang perubahan dalam lajnah-lajnah dalam PAS, Mohamad berkata, secara menyeluruh tidak, tetapi mungkin perubahan yang berlaku adalah dalam konteks siapa yang mengepalai sesuatu lajnah menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

“Dari segi Pakatan Rakyat pula, kedudukan PAS cukup teguh dan ia akan diperteguhkan lagi. Saya mahu hubungan dengan NGO kita mantapkan, dan arah tuju parti telah kita gariskan dalam ucapan dasar Presiden PAS dalam muktamar begitu baik menuju kepada negara kebajikan yang diterima semua kaum dalam negara kita ini, saya tak nampak berubah hala tuju,” katanya.

Dalam temu bual itu, Mohamad berkata, beliau hairan kerana akhbar-akhbar milik Umno secara tiba-tiba sahaja “cukup sayang kepada kepimpinan ulama” sedangkan mereka yang mencerca kepimpinan ulama khasnya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“... menjelang muktamar mereka seolah-olah membuat laporan dengan menimbulkan sayang kepada kepimpinan ulama sedangkan tauke kepada Utusan Malaysia (Umno) hanya ada biro untuk ulama ini, yang hanya kelasnya seperti lajnah dalam PAS.

“Kita di peringkat PAS, kita sayangkan ulama, kita hormatkan ulama kita letak ulama di peringkat Majlis Syura Ulama, dan kita ada Dewan Ulama PAS Pusat yang meletakkan ulama ini di tempat yang tinggi, kuat teguh dan berwibawa,” kata beliau lagi.

Mohamad juga berkata perana Utusan Malaysia boleh dianalisis oleh sesiapa apa niat mereka yang sebenarnya.
“Barangkali pada mereka peralihan kepimpinan ini boleh mengubah persepsi umum kepada PAS dengan kita tidak lari teras kita jaga parti di bawah Majlis Syura Ulama,” katanya.

No comments: