Monday, June 6, 2011

PAS yakin pembahagian kerusi di Perlis berjalan lancar

http://www.klpos.com/news/2008/09/16/8_1.jpgKANGAR - Pas Perlis yakin proses pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di antara parti itu, PKR dan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berjalan lancar dan akan mencapai keputusan muktamad pada masa terdekat.

Pesuruhjayanya, Hashim Jasin berkata, walaupun mesyuarat pembahagian kerusi yang dijalankan sebelum ini masih belum mencapai kata putus, Pas yakin kuota peruntukan kerusi DUN dan Parlimen yang diagihkan sebelum ini tidak banyak berubah.

Menurutnya, Pas Perlis berharap isu pembahagian kerusi wakil rakyat akan dapat diselesaikan segera demi memberi tumpuan penuh terhadap jentera Pakatan Rakyat (PR) bagi menghadapi PRU ke-13.

“Saya tidak tolak kemungkinan keputusan muktamad pembahagian kerusi di antara PR di Perlis akan dapat diselesaikan lebih awal dari dijangkakan kerana proses itu tidak banyak masalah setakat ini.

“Pada masa sama, setiap parti dalam PR saling memahami fungsi masing-masing dalam memastikan Perlis akan dapat ditawan dalam PRU akan datang. Mungkin ada berlaku sedikit perubahan, tetapi tidak begitu banyak,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.

Ditanya mengenai persiapan Pas menjelang PRU ke-13, Hashim menjelaskan Pas Perlis telah melaksanakan beberapa strategi yang tidak pernah diguna pakai sebelum ini untuk mendekati pemilih baru.

Bagaimanapun, strategi itu tidak akan didedahkan sehingga kempen pilihan raya bermula bagi mengelak tindakan itu memberi kelebihan kepada parti lawan.

“Berhubung usaha mendaftar pemilih baru di Perlis, Pas Perlis telah mewujudkan badan khas yang mengkaji dan melaksanakan program pendaftaran pemilih baru di setiap peti undi bagi memastikan ianya dapat dibuat secara agresif.

“Setakat ini, hampir 70 peratus daripada perancangan Pas Perlis berjaya dilaksanakan dan kita berharap usaha itu akan mendapat perhatian rakyat demi memastikan PR mampu membawa perubahan kepada masyarakat Perlis,” katanya.sh

No comments: