Friday, June 3, 2011

Pemimpin rasuah akan disingkir - Presiden PAS



GOMBAK 3 JUN : Bukan polisi PAS mahupun Pakatan Rakyat untuk terus 'menyimpan' ahli yang mengamalkan konsep rasuah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang pemimpin, demikian menurut Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abd Hadi Awang.

Malah tegas beliau, pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan menghalang jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menjalankan siasatan mereka kepada pemimpin yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan ini.

"Kita tidak ada kuasa, tak ada kuasa perundangan, yang ada kuasa SPRM. Kita terbuka kepada SPRM, Menteri Besar kita di semua negeri mengikut amalan pentadbiran SPRM.

"Kalau SPRM hendak bertindak mesti mendapat kebenaran daripada MB dan PM sebab itu MB dan Pakatan Rakyat terbuka untuk SPRM menyiasat semua yang dituduh dan yang difitnah kalau terlibat dengan rasuah kerana kita betul-betul nak bersih walaupun exco dan MB sekalipun kalau tak betul kita pecat,"kata Hadi.

Beliau ditanya pemberita pada sidang media bagi mengulas dakwaan blogger Syed Azidi Abd Aziz atau yang lebih mesra dikenali sebagai “Kickdefella” yang mendakwa Datuk Paduka Husam Musa membayar sebanyak RM 350,000 kepada beliau untuk mendapatkan bantuan berkempen pada pemilihan PAS pusat yang sedang berlangsung sekarang.

Ujarnya yang juga ali parlimen Marang, bukan sahaja siasatan terhadap Datuk Husam sahaja, malah bagi semua pemimpin yang tidak telus dan jujur juga akan disiasat bagi membendung gejala rasuah yang menjadi agenda Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga.

Dua hari lalu sebelum bermulanya Muktamar PAS Kali Ke-57, Utusan melaporkan keengganan penulis blog Kickdefella mengulas dakwaan di blog bahawa beliau menerima bayaran RM300,000 untuk berkempen bagi pihak Husam.

Bagaimanapun, akhbar sama semalam melaporkan Syed Aziz mengakui menerima wang RM350,000 dari Husam, tetapi bukan bagi tujuan itu.

Beliau juga dilaporkan berkata tidak bertemu lagi dengan Husam sejak tahun 2009 dan hanya berbual di telefon dan bertukar SMS sahaja.

Pada pemilihan PAS kali ini, Husam bertanding merebut jawatan naib presiden bersama-sama lima calon lain iaitu Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Datuk Mohd Amar Abdullah, Idris Ahmad dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

No comments: