Wednesday, June 15, 2011

SKMM ingat main-main, rupanya Anonymous serang sungguh



KUALA LUMPUR 16 JUN : Sejak awal pagi tadi, sekurang-kurangnya 10 laman web agensi kerajaan tidak dapat dilayari kerana diserang oleh pengodam yang membalas tindak kerajaan menyekat beberapa laman sesawang perkongsian fail.

Bermula jam 3.30 pagi tadi pengodam yang menamakan kumpulan mereka sebagai Anonymous, menyenaraikan 18 laman web kerajaan yang didakwa telah diserang oleh DDoS (Distributed Denial-of-Service) ataupun dipadamkan sementara oleh pentadbirnya.

Tinjauan Malaysiakini sehingga jam 9 pagi ini mendapati tidak kurang sembilan laman web, termasuk portal rasmi kerajaan Malaysia MyGovernment (www.malaysia.gov.my), masih tidak dapat dilayari.

Antara laman web kerajaan dan agensinya yang tidak dapat dilayari:

SabahTourism.com
ASEAN connect
Bomba
Perbendaharaan Malaysia
Parlimen Malaysia
JobsMalaysia
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
Majlis Sukan Negara

Menurut beberapa pelayar yang sempat merakamkan laman web kerajaan yang digodamkan itu berkata kumpulan itu juga menukar kenyataan di laman-laman berkenaan.

“Salam Malaysia, kami telah menyaksikan penapisan internet yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang menyekat laman seperti The Pirate Bay dan WikiLeaks. Malaysia adalah antara kerajaan di dunia ini yang paling ketat mengenakan tapisan, hingga sanggup menghalang akses kepada filem dan rancangan televisyen.

“Tidak ada alasan bagi sebarang bentuk penapisan. Awak hanya cuba merampas hak asasi manusia. Internet diadakan untuk kebebasan dan tanpa rasa gentar kepada kerajaan mahupun campur tangannya. Jangan fikir tidak ada orang yang sedar apa yang awak lakukan,” petik kenyataan itu dalam bahasa Inggeris.

Tambahnya lagi, serangan itu sebagai tanda dan amaran serta peluang bagi mendengar idea pihak lain. Pengodam juga berkata mereka mempunyai tanggungjawab bertindak pantas dan tanpa belas kasihan.

Minggu lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan bahawa 10 laman web termasuk Pirate Bay dan Megaupload telah disekat kerana mencabuli undang-undang hak cipta.M'siakini.

No comments: