Wednesday, June 22, 2011

Taib Mahmud berbohong tiada akaun di Bank Swiss

KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berbohong apabila mengakui tidak mempunyai sebarang akaun bank rahsia untuk menyimpan wang miliknya di bank Switzerland, kata Ahli Parlimen Sungai Petani. Taib membuat kenyataan itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, menafikan dakwaan Yayasan Bruno Manser dari Switzerland bahawa beliau tidak mempunyai akaun bank di negara itu.

Kata Johari, jika benar, Presiden Persekutuan Switzerland tidak mungkin mengeluarkan arahan kepada Swiss Financial Market Supervisory Authority (FINMA) untuk menyiasat semua akaun milik Taib. “Dia sebagai Ketua Menteri, orang yang bertanggungjawab dipilih rakyat melakukan pembohongan,” kata Johari ketika di dewan rakyat hari ini.

Menurutnya lagi, Taib juga harus meletak jawatannya kerana dia bukan sahaja berbohong kepada rakyat Sarawak tentang hartanya di luar negara, tetapi juga dilakukan dalam sidang dewan yang mulia. “Sekiranya pihak Swiss mendedahkan dan membuktikan dia mempunyai akaun dan kekayaan, sanggupkah dia meletak jawatan?

Saya rasa dia mesti meletak jawatan sebab dia berbohong kepada rakyat dan dia berbohong di dalam dewan lagi. “Walau pun rakyat tak dengar secara terus tetapi rakyat ada wakil yang mendengar dari dalam dewan,” kata Johari.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Switzerland, Micheline Calmy-Rey, mengarahkan satu siasatan dijalankan ke atas harta milik Taib di Bank Switzerland. Dalam surat dengan tajuk “Pembekuan aset Abdul Taib Mahmud, ketua kerajaan negeri Sarawak di Malaysia” bertarikh 8 April kepada Yayasan Bruno Manser.

Micheline berkata beliau sudah menyerahkan maklumat tentang aset Taib Mahmud di dalam institusi kewangan di Switzerland kepada badan FINMA (Swiss Financial Market Supervisory Authority). FINMA merupakan sebuah organisasi yang mengawal aktiviti pembersihan wang haram untuk siasatan./KD

No comments: