Tuesday, July 19, 2011

5,000 doktor swasta tuntut Jeyakumar dibebaskan



KUALA LUMPUR 19 JULAI : Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta yang mewakili kira-kira 5,000 doktor swasta di seluruh negara bergabung dengan pertubuhan perubatan yang lain menuntut pembebasan ahli parlimen Sungai Siput Dr. D Jeyakumar.

"Kami amat prihatin dengan tahanan berterusan rakan kami, Dr Jeyakumar Devaraj, yang kami iktiraf dan sahkan sebagai seorang doktor yang mematuhi undang-undang, cekap dan tekun.

"Rekod perkhidmatan awamnya cukup cemerlang dan sepanjang pengetahuan kami, beliau tentunya bukan ancaman kepada keselamatan negara ini,” kata persekutuan itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Ia memetik Jeyakumar telah berkhidmat untuk tempoh yang lama dengan kerajaan dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mementingkan dirinya.

Doktor itu juga dipuji kerana kerja-kerja kebajikan dan sikap baik hati yang ditunjukkannya kepada semua di bawah jagaannya tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kami, rayu perintah tahanan ke atas Dr Michael Jeyakumar ditarik," petik kenyataan itu yang juga memohon pembebasan lima anggota Parti Sosialis Malaysia yang ditahan bersama, lapor Malaysiakini.

Jeyakumar dan lima rakannya kini ditahan mengikut Ordinan Darurat kerana didakwa terbabit dengan aktiviti haram bagi merancang perhimpunan Bersih 2.0 yang menuntut pembaharuan pilihan raya.

Sebelum ini, 176 pengamal perubatan lain juga telah mengeluarkan kenyataan yang sama menuntut pembebasannya.

No comments: