Thursday, July 7, 2011

Didakwa hanya kerana iringi Ambiga ke balai polis


KUALA LUMPUR 7 JULAI : Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Rozan Azen Mat Rasip akan dihadapkan ke mahkamah Isnin ini berikutan dakwaan mengiringi Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan ke Ibu Pejabat Polis Jalan Travers 23 Jun lalu.

Menurut Rozan, beliau diminta ke Balai Polis Travers pagi tadi sekitar jam 11 dan disoal siasat selama kira-kira 1 jam 20 minit. Selesai siasatan beliau diberikan notis untuk hadir ke Mahkamah Jalan Duta Isnin depan am 9 pagi.

“Saya diberikan notis pendakwaan untuk hadir ke mahkamah Isnin depan jam 9 pagi. Pegawai polis berkenaan, ASP Ari Krishnan memberitahu saya perlu hadir ke mahkamah melainkan jika beliau menelefon saya Isnin ini dan memberitahu ia dibatalkan,” kata Rozan.

Polis kini semakin giat menjalankan usaha menghalang himpunan aman Bersih yang akan berlangsung 9 Julai ini di tengah-tengah ibu kota.

Selain daripada tangkapan dan soal-siasat sebegini, terbaru polis telah memohon perintah mahkamah untuk menghalang 91 orang daripada berada di Kuala Lumpur pada hari Ahad ini.

Dipercayai di antara mereka yang termasuk dalam senarai itu adalah Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan.

No comments: