Friday, August 5, 2011

DHPP Parit Buntar lancar pejabat baru

PARIT BUNTAR , 5 Ogos : Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Parit Buntar mencatatkan satu lagi sejarah apabila melancarkan pejabat baru yang terletak di Pekan Baru di sini,kelmarin bagi melambangkan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pengundi bukan Islam.

Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Parit Buntar, Ahmad Azhar Sharin berkata, pelancaran pejabat baru di sini merupakan satu petunjuk bahawa pengundi bukan Islam kini semakin ramai yang menyokong Pas.

Menurutnya, kira-kira 200 ahli dan penyokong DHPP hadir dalam majlis makan malam yang dirasmikan oleh Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Malaysia yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Kehadiran ahli termasuk pembukaan pejabat baru bagi DHPP Parit Buntar di sini menunjukkan sokongan terhadap Pas semakin meningkat dari sehari ke sehari dan membuktikan perpaduan yang kukuh di kalangan pelbagai kaum.

“Hadir sama meraikan dan memberikan ucapan adalah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Abu Bakar Husain, Pengerusi DHPP Perak, Beh Heng Khim dan Naib Pengerusi DHPP Perak, Richard Wong,” katanya.

Sementara itu, Mujahid dalam ucapannya berkata, beliau menyatakan pengundi Cina sudah mampu memberikan sokongan yang besar kepada Pas dan Pakatan Rakyat.

Katanya, sudah terbukti perkara ini dengan wujudnya kekuatan DHPP Parit Buntar yang semakin maju dan berkembang bagi memastikan kejayaan PR pada pilihan raya akan datang.

“Kita yakin dan percaya pengundi bukan Islam di Parit Buntar akan memberikan sokongan besar dan kuat dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

“Kita kini sudah mempunyai lebih 100 petugas dari kalangan kaum Tionghua dan ini merupakan satu kekuatan baru kepada Pas untuk menghadapi pilihanraya,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Nizar berkata, masyarakat diseru supaya membuat perubahan dengan menolak UMNO/BN kerana sudah tidak relevan dan banyak penyelewengan yang berlaku sepanjang pemerintahan mereka.

“Ini ditambah pula dengan penyelewengan seperti isu PKFZ, Felda dan banyak lagi termasuklah isu cincin bernilai jutaan ringgit milik isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor,”katanya.

No comments: