Tuesday, August 23, 2011

PAS Parit Buntar rai 150 guru al-Quran

PARIT BUNTAR , 23 Ogos : PAS Parit Buntar menyanjungi jasa dan pengorbanan guru-guru al-Quran di Parit Buntar yang tidak mengharapkan apa-apa ganjaran terhadap bakti yang diberikan.

Menyedari jasa dan keringat yang dicurahkan, PAS Parit Buntar bersama Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar menghulurkan sumbangan kepada mereka sempena hari raya yang bakal menjelang nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Infaq Ramadhan Abdul Bahrain Desa berkata, guru al-Quran sangat berperanan dalam pembentukan masyarakat yang berpegang kepada ajaran Islam hingga ke hari ini.

"Guru-guru al-Quran berperanan mengenalkan ayat-ayat Allah kepada anak-anak kita, mereka meletakkan asas pembacaan al-Quran kepada anak-anak kita.

"Segala kerja buat mereka adalah secara sukarela dan tidak mengharapkan apa-apa bayaran, jasa dan pengorbanan mereka amat bermakna dan cukup besar ertinya kepada kita.”katanya

Bahrain berkata , seramai 150 guru al-Quran itu menerima sumbangan dan diraikan dalam dua majlis berasingan dalam DUN Titi Serong dan Kuala Kurau.

"Apa yang kita sumbangkan ini tidak setimpal dengan peranan mereka, tetapi hanya sebagai tanda ingatan ikhlas dan penghargaan daripada PAS Parit Buntar dan Ahli Parlimen Parit Buntar terhadap jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada masyarakat selama ini," katanya semasa ditemui di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Guru Al-Quran di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin , Titi Serong

Turut hadir Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa bersama isteri, Yang Dipertua PAS Parit Buntar Harun Hashim dan pimpinan PAS Parit Buntar.





Ahli Parlimen Parit Buntar sedang menyampaikan sumbangan kepada guru al-Quran







Ustazah Zuraida Husin isteri Ahli Parlimen Parit Buntar sedang menyampaikan sumbangan kepada guru al-Quran

No comments: