Tuesday, December 13, 2011

40 bekas penyokong MCA Parit Buntar lawat Kelantan

PARIT BUNTAR, 13 Dis. : Seramai 40 orang peserta rombongan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kawasan Parit Buntar menegaskan mereka tetap akan menyokong perjuangan di hadapan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka menyatakan demikian sempena lawatan rasmi mengunjungi Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan, di kediaman rasmi beliau, pada 27 November lepas.

Rombongan yang sebahagian besarnya terdiri dari kaum wanita serta bekas penyokong MCA diketuai AJK DHPP Parit Buntar, Ricky Tang.

Ricky dalam ucapannya memberitahu, masyarakat bukan Islam di negeri ini khususnya kaum Cina sering diberi bayangan buruk berhubung perjuangan PAS dengan tujuan menakutkan mereka.

“Bagaimanapun, semakin mereka ditakuti sokongan terhadap PAS semakin bertambah dari tahun ke tahun dan pihak lawan sudak tidak boleh berbuat apa berhubung ledakan sokongan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru golongan terbabit meninjau perkembangan kehidupan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina di negeri ini sejak 21 tahun lalu melalui golongan terbabit.

“Tuan-tuan boleh bertanya masyarakat Cina Kelantan, adakah saya selaku ketua kerajaan mengkhianati mereka sama ada dari segi ekonomi, agama, kebudayaan, sosial dan sebagainya?

“Tuan-tuan tidak boleh menerima bulat-bulat maklumat yang tidak tepat dari orang tertentu tanpa merujuk sendiri dari masyarakat bukan Islam di negeri ini,” ujarnya.

Tuan Guru turut melahirkan rasa bertuah serta terima kasih kerana sudi mengunjunginya, walaupun dalam keadaan kurang sihat, namun kerana rasa gembira untuk bertemu masyarakat terbabit, beliau gagahi juga.

Kerajaan Kelantan turut memberi penghargaan kepada DHPP Parit Buntar yang kerap membuat rombongan membawa orang-orang Cina melawat Kelantan.

Cenderahati penghargaan Kerajaan Negeri kepada DHPP Parit Buntar telah disampaikan sendiri Tuan Guru kepada Ricky Tan yang mewakili DHPP Parit Buntar.

DHPP Parit Buntar juga menyampaikan cenderahati kepada Tuan Guru Nik Aziz.


Tuan Guru Nik Aziz menerima cenderahati daripada Ricky

No comments: