Thursday, December 15, 2011

RAMPAS KERUSI UMNO!!! PAS yakin tambah 6 kerusi, PKR pula 5 kerusi di Selangor

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh4NSms8rmUOzyd2fQPeL-oWmhsjxLI9B6EZByDmnWZTPYlamOmVesCdxAnjTncqgCvavVHAatwJKq72p0WZcE_aM6LJWv6VtUUnTQUwNckgjBzqOz3TTD-pQF-TpkW5Pr12CT5QsOSx-0/s1600/pakatan-rakyat-logo.jpgSHAH ALAM – Pakatan Rakyat Selangor menyasarkan untuk memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) bagi mengekalkan tampuk pemerintahan.

Untuk menjayakan matlamat tersebut, strategi tersendiri diatur memastikan penambahan enam kerusi untuk Pas, PKR (5) dan tambahan dua kerusi untuk DAP melumpuhkan pengaruh Barisan Nasional di negeri ini menjadi kenyataan.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr Abdul Rani Osman berkata, pucuk pimpinan parti menyasarkan untuk merampas enam kerusi pada PRU akan datang dengan mengadakan program Semarak Hijau.

“Sebelum ini kita menang lapan kerusi dan kali ini kita sasarkan menang 14 kerusi kesemuanya.

“Kita telah mengadakan program tersebut melalui ceramah dan melawat dari rumah ke rumah sejak dua bulan lalu di kawasan yang kita jangkakan boleh menang nanti antaranya Sabak, Morib dan Taman Templer tetapi saya tidak dapat mendedahkan kesemuanya kerana itu adalah strategi kita,” katanya.

Katanya, apa yang lebih penting perlu fokus tenaga gerak kerja di kawasan tersebut sebelum mengadakan program tersebut di kawasan-kawasan yang agak sukar dirampas.

“Berdasarkan reaksi kita terima sepanjang Semarak Hijau dijalankan, saya dapati sokongan rakyat semakin bertambah dan yakin mampu mencapai sasaran memenangi 14 kerusi itu.

“Malah saya setuju dengan kenyataan Menteri Besar bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat mampu menang lebih kerusi pada PRU akan datang,” katanya.

PKR pula yakin merampas empat kerusi iaitu di Dengkil, Sementa, Permatang dan Pelabuhan Klang.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata, PKR menyasarkan lima kerusi untuk dirampas tetapi yakin menang empat daripadanya.

Menurutnya, keyakinan itu dilahirkan selepas mendapat reaksi positif yang diterima daripada rakyat.

“Kita lihat rakyat percaya kepada Kerajaan Pakatan Rakyat kerana identiti kita terbukti telus, bertanggungjawab dan efisien dalam mengurus dan mentadbir negeri ini.

“Jadi atas dasar itu PKR yakin untuk merampas empat kerusi BN selain mempertahankan 15 kerusi yang kita menangi pada pilihan raya lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi DAP Negeri, Teresa Kok berkata, DAP turut menaruh harapan untuk merampas baki dua kerusi bagi menjadikan keseluruhannya 15 kerusi.

Ketika ditanya mengenai lokasi mana yang bakal dimenangi DAP kelak, beliau berkata, perkara itu tidak dapat dijelaskan kerana mungkin ada kawasan yang kalah pada pilihan raya lalu tetapi kali ini dirampas kembali DAP dan begitu juga sebaliknya.

“Kalau dapat kekalkan 13 kerusi tersebut sudah memadai buat DAP dan kami sangat berpuas hati tetapi kalau menang kesemua 15 kerusi yang ditandingi DAP maka itu lebih bagus.

“Ini semua bergantung kepada tenaga kerja kita bagi menghadapi pilihan raya kali ini,” katanya.SH

No comments: