Wednesday, March 7, 2012

PELABURAN MASUK!!! Selangor No.1, Penang No.2, Kedah No.5 , taklah koman macam negeri diperintah BN

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Bagi tahun 2011, Kedah menduduki tempat kelima di kalangan negeri-negeri di Malaysia menerima kemasukan pelaburan di sektor perkilangan.

Jumlah pelaburan yang diterima hingga Disember 2011 adalah sebanyak RM6.14 bilion yang melibatkan 42 projek yang diluluskan.


Prestasi ini menunjukkan peningkatan yang memberansangkan, berbanding bagi tahun 2010 yang hanya mencatat nilai pelaburan sebanyak RM1.96 bilion.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, daripada jumlah projek tersebut, 23 adalah projek baru dan 19 adalah projek pembesaran.


Bagi projek baru, ia berjumlah RM4.7 bilion dan projek yang diperbesarkan sebanyak RM1.44 bilion.


“Kita menduduki tempat kelima di Malaysia dengan jumlah pelaburan adalah sebanyak RM6.14 bilion, 42 projek.


“23 adalah projek baru, iaitu mereka yang baru melabur dengan Kedah, 19 adalah projek pembesaran operasi yang sedia ada.


“Tempat pertama adalah Pulau Pinang dengan jumlah pelaburan RM9.106 bilion, diikuti Selangor dengan jumlah RM8.741 bilion, Sarawak dengan jumlah RM8.453 bilion dan tempat keempat adalah Johor dengan jumlah RM6.584 bilion,” ujar beliau.

Tambah beliau, berikutan perkembangan pesat pembangunan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan sambutan yang amat menggalakkan daripada pelabur, kerajaan telah bersedia dengan kelengkapan zon industri dan infrasturktur.


“Di KHTP, kita telah tambah kepada zon industri fasa empat kepada pelabur yang berminat.


“Kita dah beri maklumat kepada pengarah-pengarah MIDA di seluruh dunia bahawa kita ada lebihan tanah untuk pelabur, jadi jika mereka hendak ke sini, kita telah ada tanah, yang jadi masalah kepada pelabur, mereka dah minat, tapi dia kena tunggu dulu untuk penyediaan tanah,” ujar beliau.

No comments: