Monday, March 5, 2012

RAMALAN DAIM!!! Ada maksud tersirat buat Najib

Telahan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin sememangnya sukar dijangka.

Malah dalam pilihanraya umum ke 12 lalu di mana Umno-APCO dan BN buat pertama kalinya gagal memperoleh majoriti 2/3 di parlimen, ramalannya umpama mimpi di angin lalu.


Tetapi kali ini nadanya berbeza. Serius, tapi masih tersembunyi fakta dan angka.


Jika dahulu semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL- kini Bursa Malaysia) boleh "terbatuk" akibat kata-katanya, kini di gelanggang politik pula dia bertukar selera.


Bukan sedikit peramal politik baik dari pemimpin Umno-APCO sendiri mahupun Pakatan Rakyat mengikuti geral bibirnya yang jelas umpama hadis yang mesti dibaca dan diperinci maksudnya.

Tetapi nampaknya, kali ini ramalannya pasti sedikit tersasar.


Mengandaikan BN mampu memperolehi kembali mandat rakyat sekiranya pilihanraya umum ke 13 diadakan dalam waktu terdekat, sebenarnya ada maksud terselindung yang disembunyikan di sebaliknya.


Dengan kekayaannya yang menghampiri Namrud pasca zaman Firaun, tidak susah bagi kita mengagak perisik yang dibayar lumayan akan sentiasa memberikan gambaran terkini sokongan rakyat terhadap Umno-APCO mahupun Pakatan Rakyat.


Sebenarnya, Daim sudah menduga Umno-APCO akan kecundang lebih teruk dari yang dijangka jika pilihanraya umum dilakukan dalam tempoh enam bulan mendatang.


Mengapa?


Kerana di sebalik rintihan 1.2 juta kakitangan awam yang tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang terang-terang berat sebelah, penyenaraian Felda ke Bursa Malaysia yang ditentang Pakatan Rakyat masih menemui jalan buntu yang sama sekali menutup peluang BN memperolehi mandat semula.


Dengan perkhabaran bahawa warlords Umno-APCO yang bergentayangan di sekeliling puncak kuasa sudah mula bosan dengan karenah pentadbiran Najib , Daim kini tidak ada pilihan lain.


Turun dan selamatkan Umno-APCO seberapa segera dan semaksima mungkin.


Bukan sedikit harta kekayaannya yang masih dipegang kroni dan suku-sakat termasuk yang kita semua ketahui, rupanya jalan untuk menyelamatkannya juga sudah tidak nampak cahayanya lagi.


Berbekalkan analisis terkini risikan polis dan tentera, Daim kini harus merasa cemas dan gusar dengan penolakan sedikit demi sedikit orang Melayu terhadap Umno-APCO yang digerakkan Pakatan Rakyat melalui platform ABU (Asalkan Bukan Umno) awal tahun ini.


Diceritakan oleh beberapa pemimpin Umno-APCO sendiri, Daim dan Mahathir kini terpaksa mengetepikan Najib kiranya pun BN terus diberi mandat untuk lima tahun lagi.


Najib kini umpama menanggung biawak hidup buat Umno-APCO dan kenyataan terkini Daim yang memberi markah lebih tinggi buat Najib berbanding Anwar Ibrahim sebenarnya mempunyai maksud tersirat di sebaliknya.


Dengan "memuji" Najib, Daim kini berharap parlimen akan dibubarkan dan tidak syak lagi seorang pemimpin baru akan menggantikan Najib untuk ditabalkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.


Najib yang menyedari permainan Daim dan Mahathir kini berada dalam situasi terdesak sama ada mahu memanggil pilihanraya atau terus menggunakan mandatyang diperolehi dari Abdullah Badawi dan menunggu sehingga tahun depan untuk melakukannya.


Jika ini berlaku, dan dengan perkembangan politik yang terus memihak Pakatan Rakyat, sudah pasti ramalan Daim dan kuncu-kuncunya akan tersasar lebih jauh - Umno-APCO akan menjadi pembangkang dalam parlimen buat pertama kali dalam sejarah Malaysia.


Untuk menunggu hasil dari Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang digula-gula, sudah hampir pasti Najib akan mengeksploitasi keadaan untuk menepis telahan Daim bahawa Umno-APCO tidak berupaya mempertahankan Putrajaya, malah lebih teruk lagi kesemua aset dan perniagaan warlords Umno-APCO akan "dimusnahkan" untuk mengelakkannya dari dikenakan tindakan undang-undang.


Daim kini tidak ada pilihan lain walaupun cuba untuk memberi bayangan ngeri hanya tiga negeri sahaja yang bakal kembali ke pangkuan BN iaitu Sabah, Sarawak dan Melaka.


Muhyiddin pula kini cuba merapati Daim dan Mahathir kerana sekiranya Najib dinyahkan dari kerusi empuk Putrajaya, harapannya untuk menggantikan bosnya dilihat cerah.


Tetapi mahukah Daim menerima Muhyiddin?


Inilah persoalan yang sangat sulit untuk dipastikan kerana Muhyiddin dulu merupakan kem Razaleigh dan bukannya Mahathir dalam pemilihan Umno-APCO 1987 yang menyebabkan parti reput itu diharamkan oleh mahkamah atas arahan Mahathir sendiri.


Kesetiaan Muhyiddin boleh dipertikai Daim yang juga gusar kerana tiada siapa pemimpin atasan Umno-APCO mampu menyatu padukan parti dan kerajaan.


Harapkan ketiga-tiga Naib Presiden pasti tidak sama sekali di benaknya.


Jadi siapakah yang layak menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri?


Daim dan Mahathir sudah mempersiapkan seseorang untuk menggantikan Najib demi kelangsungan Umno-APCO menghadapi pilihanraya umum bulan Jun nanti (ramalan terbaru).


Kita akan tahu juga dalam sedikit masa lagi.


Saatnya sudah hampir tiba.


Hampir tiba.


JALAN PULANG

No comments: