Monday, March 5, 2012

SABAH NEGERI TERMISKIN!!! Dosa politik terbesar BN terhadap rakyat Sabah


KOTA KINABALU, 5 MAC: Satu dosa politik terbesar Barisan Nasional terhadap rakyat Sabah adalah menjadikan Negeri di Bawah Bayu itu yang kaya dengan sumber asli sebagai negeri termiskin di Malaysia.

Setiausaha DAP Sabah Dr. Edwin Bosi berkata, ia telah terbukti bahawa selama 48 tahun lalu, BN tidak melakukan banyak kebaikan untuk Sabah, sebaliknya menjadikan anak negeri menderita miskin.

“Meski pun belanjawan negara adalah kira-kira RM220 billion, tidak sampai 6 peratus diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak walau pun kedua-dua negeri ini memberi sumbangan besar hasil minyak dan gas, dan kelapa sawit,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak memperjudikan masa depan mereka dengan mengembalikan kuasa kepada BN dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Menurutnya, kerajaan BN juga sudah menyatakan hasrat untuk memansuhkan Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR), sebagaimana yang dikatakan oleh Peguam Negeri Sabah, Datuk Roderic Fernandez, bahawa sudah tidak ada tanah NCR selepas 1931.

“DAP Sabah tidak akan berdiam diri atas isu ini. Kita mencabar Ketua Menteri dan kerajaan BN untuk meluluskan usul di Parlimen untuk meminda Ordinan Tanah Sabah untuk menyatakan ‘cut-off date’ adalah pada 1931,” tambahnya.

Menyedari kelemahan dan penyelewengan BN, Dr Edwin mahu rakyat memberi peluang kepada Pakatan Rakyat yang memberikan alternatif yang jauh lagi baik daripada BN.

“Buku Jingga Pakatan Rakyat dengan jelas menyatakan penghormatan kepada NCR, menambah royalti minyak kepada 20 peratus, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung pendatang asing, mengembalikan semula dividen Yayasan Sabah, serta dana RM1 bilion untuk bumiputera Sabah,” katanya.

Oleh itu, menurutnya, alternatif terbaik untuk rakyat Sabah adalah untuk berani ubah kerajaan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan yang tidak mengambil berat. Kenaikan kos sara hidup dan pendapatan yang statik menyebabkan orang menjadi miskin dan miskin tegar.

“Kita perlukan memerlukan sebuah kerajaan yang boleh mengurus negara dengan baik. Kerajaan itu adalah kerajaan Pakatan Rakyat,” kata beliau.

No comments: