Friday, May 18, 2012

JOHOR SUBUR BUAT PAS!!! Salahuddin tanding Parlimen dan Dun

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan sebaliknya beralih ke Johor untuk bertanding pada pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Pada masa yang sama beliau turut tidak menolak kemungkinan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga kerusi Parlimen di negeri kelahirannya itu. "Kami (Pas) telah buat keputusan bahawa saya akan bertanding sebagai calon di Johor pada PRU-13 akan datang. Mungkin dua kerusi, DUN dan Parlimen.

"Buat masa ini, kita sedang tunggu kawasan mana, ia mungkin di Tanjung Piai, Batu Pahat, Muar atau Kulai," katanya kepada pemberita selepas majlis ceramah pakatan pembangkang di Dataran Pas di Kuala Ibai dekat sini malam semalam.

Salahuddin seterusnya yakin dengan kepulangannya ke Johor akan dapat membantu barisan kepimpinan Pas serta pembangkang di negeri itu dalam usaha mencipta satu sejarah pada pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya beliau menyifatkan Johor merupakan sebuah negeri yang "subur" bagi Pas dan diyakini mampu melakukan suatu perubahan selepas PRU-13. "Saya bersedia menawarkan diri untuk memberi perkhidmatan di Johor berdasarkan pengalaman yang ada," katanya.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serkat, Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian pada pilihan raya umum 2004 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihanraya umum 2008.

Sebelum ini, beliau turut disebut-sebut akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas di Kelantan, Titiwangsa (Wilayah Persekutuan) selain di Johor pada PRU-13. Salahuddin mengekalkan jawatan Naib Presiden Pas pada pemilihan parti Jun lalu.

No comments: