Saturday, January 12, 2013

KL 112!!! Suara rakyat,sengsara kekalkan BN 50 Tahun...



Ketika ini jumlah kehadiran rakyat berbilang kaum di HKR112 di Stadium Merdeka semalam masih menjadi pertikaian. 

Polis mengatakan jumlahnya cuma 45 ribu orang manakala ada media arus perdana mengatakan hanya 15 ribu orang yang hadir. 

Hishammuddin Rais pula menganggarkan kehadiran tidak kurang 500 ribu manakala pakar matematik daripada UKM, Prof Dr Shahrir Md Zain pula menganggarkan kehadiran seramai 700 ribu orang.

Angka 500 ribu orang oleh Hishammuddin adalah berdasarkan kehadiran di dalam dan di luar stadium manakala Dr Shahrir pula berhujah bahawa jika orangramai dikumpulkan sebarisan 20 orang dengan panjangnya 1 kilometer, jumlahnya ialah 100 ribu. Oleh kerana terdapat tujuh kumpulan rakyat yang berkumpul menuju Stadium Merdeka semalam dengan masing-masing sepanjang kira-kira 1 kilometer, maka jumlahnya tidak kurang 700 ribu orang.

Bagaimanapun, di mana pihak polis dan media arus perdana mendapat angka 45 ribu dan 15 ribu itu tidaklah pula diketahui.

Tetapi kehanyakan media bebas dan orangramai sama ada yang hadir atau dapat melihat gambar-gambar perhimpunan itu, mengakui bahawa di dalam stadium saja ada lebih 100 ribu dan jika diambil kira mereka yang berada di luar stadium yang juga melimpah jumlahnya, angka 500 ribu hingga 700 adalah logik untuk diterima oleh akal yang waras.

Apa pun angka kehadiran yang dipertikaikan, yang lebih penting ialah himpunan kali ini menunjukkan semangat dan kesatuan rakyat untuk mengubah kerajaan nampaknya begitu jitu dan padu. Ini adalah perhimpunan rakyat terbesar dalam sejarah negara.

Meskipun pimpinan UMNO dengan dibantu media arus perdananya cuba menutup duka dengan mereka-reka pelbagai hujah mengenai perhimpunan itu, kerisauan di wajah Najib dan Muhyiddin jelas kelihatan. 


Air muka kedua-dua pemimpin itu sebagaimana yang dilihat di tv dan akhbar seperti sudah hilang serinya dengan garis-garis bimbang akan kehilangan kuasa begitu jelas kelihatan.
Najib kemudiannya lantas menunjukkan sikap budiman dengan mengatakan kerajaan sekarang bersikap terbuka terhadap segala kritikan dengan harapan rakyat dan pengundi atas pagar akan terus memihak kepadanya.


Najib teralpa agaknya, yang dimahukan rakyat bukan setakat sikap terbuka tetapi juga ialah kesediaan beliau dan kerajaan menjawab segala kritikan terhadapnya.
Apalah gunanya bersikap terbuka jika segala segala kritikan tidak dijawab. Dalam pelbagai isu terbaru yang dibangkitkan Deepak misalnya, tiada satu pun yang dijawab oleh Najib. 


Kalau betul terbuka dan budiman, jawab dan beritahulah kebenarannya kepada rakyat.
Muhyiddin pula seperti merayu kepada rakyat agar jangan mengubah kerajaan. Semua dalam keadaan baik, ekonomi baik, kenapa perlu tukar kerajaan? tanya Muhyiddin yang jelas menggambarkan kebimbangannya yang gagal diselindungkan akan kejatuhan UMNO dan BN.

Sepertimana yang diketahui, perhimpunan #KL112 adalah perhimpunan terakhir sebelum pilihanraya umum. 


Selepas beberapa perhimpunan sebelum ini seperti Bersih, Lynas, Felda, Royalti, PTPTN dan sebagainya, perhimpunan di Stadium Merdeka adalah kemuncak ke arah usaha menukar kerajaan BN yang telah menguasai Malaysia sejak lebih 50 tahun dahulu.
Meskipun sudah ramai yang bercakap tentang pertukaran kerajaan dan kebaikannya kepada rakyat, hakikatnya masih ramai yang ragu-ragu untuk berbuat demikian terutamanya mereka yang masih berkiblatkan maklumat daripada Utusan, TV1 dan TV3.

UMNO dan BN sudah 50 tahun berkuasa tetapi kedudukan Melayu yang berubah hanya segelintir saja. 


Yang miskin dan melarat masih ramai meskipun Perdana Menteri dan kebanyakan menteri adalah Melayu. Pegawai kanan kerajaan juga 99 peratus Melayu tetapi apakah pertolongan mereka kepada Melayu?
Ramainya Melayu yang masih miskin bukan saja dibuktikan melalui jumlah penerima BR1M yang masih ramai tetapi juga lihatlah kedudukan orang Melayu di kawasan yang diwakili oleh Perdana Menteri sendiri. Masih ramai yang miskin dan mirip peminta sedekah.

Tetapi kalangan anak isteri dan keluarga pemimpin, semuanya kaya-raya. Mereka membolot pelbagai peluang perniagaan, saham, tanah-tanah dan komisyen sehingga dilaporkan komisyen kapal selam Scorpene saja berjumlah RM500 juta tetapi rakyat hanya diberi BR1M bernilai RM500.

Bukankah itu menunjukkan kegagalan UMNO dan BN? Jika UMNO dan BN sudah begitu berjaya memberi kekayaan dan kesejahteraan kepada rakyat, BR1M tentunya tidak mendapat sambutan sama-sekali.

Dalam masa yang sama, gejala rasuah dan ketirisan sepanjang lebih 50 tahun lalu didapati begitu dahsyat sekali, terutama yang melibatkan pemimpin kerajaan. 


Apabila memegang jawatan dalam kerajaan, mereka seperti lanun yang tamak dan mengagih-agihkan hasil samunan sesama sendiri.
Selain beberapa kes pemimpin yang didakwa di mahkamah kerana rasuah, pecah amanah dan mengumpul kekayaan, deretan bukti yang dipamerkan melalui pelbagai media mengenai jumlah harta dan kekayaan anak isteri pemimpin, adalah dalil jelas kecurangan mereka yang bergelar pemimpin UMNO dan BN selama ini.

Laporan Audit Negara pula menyebut setiap tahun negara kehilangan kira-kira RM20 bilion akibat ketirisan dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan. 


Siapakah pemakan dan penghirup RM20 bilion ini, kalau bukan mereka yang bergelar pemimpin?
Untuk menghentikan semua gejala itu dan menjadikan semua yang bergelar pemimpin benar-benar bersih, jujur dan ikhlas, pertukaran kerajaan adalah penyelesaian yang mudah. 


Jika UMNO dan BN dapat ditumbangkan, ia menandakan bermulanya sistem dua parti dan kerajaan yang boleh bertukar ganti.
Akhirnya sesiapa pun yang menjadi pemimpin akan berjuang seikhlas dan sejujur mungkin kepada rakyat, jika tidak, mereka akan digulingkan dalam pilihanraya seterusnya. 


Yang terlibat dengan rasuah, pecah amanah dan mengumpul kekayaan pula, tentunya akan diseret ke muka pengadilan, dipenjara dan menanggung aib sepanjang zaman.
Menukar kerajaan bukanlah semata-mata kerana Anwar, Hadi Awang, Lim Kit Siang atau Pakatan Rakyat. Juga bukan bukan kerana bencikan Najib atau Muhyiddin atau kerana marahkan UMNO dan BN.

Rakyat sudah terlalu lama menanggung derita akibat kebobrokan pemimpin. Walaupun pemimpin sudah banyak bersilih ganti tetapi oleh kerana ia masih dipayungi UMNO dan BN, segala keburukan itu terus juga berlaku kerana mereka tidak takut untuk melakukan kecurangan melalui kuasa yang dipegang. 


Di zaman Mahathir, di zaman Pak Lah dan kini di era Najib, pelbagai isu salah laku muncul satu demi satu tanpa hentinya.
Mereka seperti tidak segan silu melakukan keburukan, mengutip komisyen atas nama amanah yang diberi rakyat, mengumpul kekayaan, membeli cincin yang mahal, menimbunkan jenama beg tangan dalam simpanan dan melambakkan perhiasan yang mewah serta gemerlapan kerana yakin semuanya akan tersimpan rapi selagi kuasa kekal di tangan UMNO dan BN.

Ini kerana mereka sama-sama penyamun dan tidak mungkin penyamun akan membongkar kesilapan penyamun yang lain.

Sebab itu menukar kerajaan adalah penting. Menukar kerajaan adalah kerana ingin mewujudkan kerajaan dan pemimpin yang baik dan menjadikan rakyat benar-benar sebagai raja atau penentu di bumi Malaysia yang kaya lagi bertuah ini.

Hanya dengan menukar kerajaan dan menjadikan PRU 13 sebagai permulaan kepada sistem dua parti, matlamat itu dapat dicapai.

Berilah peluang kepada Anwar dan Pakatan Rakyat pula mentadbir negara ini dan menunaikan janji-janji yang pernah dibuatnya. 


Dan jika pun selepas itu, Pakatan Rakyat gagal menjadi sebuah kerajaan yang baik dan segala janjinya tidak ditunaikan, ia boleh dijatuhkan semula. 

Dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat tentunya lebih mudah kerana ia belum menjadi kerajaan yang begitu kuat akar umbinya lagi.
Kalaupun dalam tempoh Pakatan Rakyat menjadi kerajaan itu menimbulkan kesengsaraan dan kesusahan kepada rakyat dan janji-janji tidak ditunaikan, sengsaranya cuma 5 tahun sahaja. 


Ia tentunya lebih buruk jika terus mengekalkan UMNO dan BN, kerana jika mereka terus berkuasa, rakyat mungkin akan menanggung sengsara selama 50 tahun lagi.
Tetapi jika 5 tahun akan datang yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat menjanjikan kemanisan buat rakyat, ia akan terus kekal selama-lamanya meskipun selepas itu parti yang memerintah saling silih berganti.

PRU 13 adalah permulaan kepada perubahan dan peluang ini tidak muncul selalu. Ia muncul kali ini dan mungkin hanya muncul lagi 50 tahun akan datang. 


Selepas PRU 13 juga, jika Anwar dan Pakatan Rakyat gagal, mereka juga mungkin tidak mampu untuk bangkit lagi. Anwar sendiri pernah berkata PRU 13 adalah percubaan terakhirnya.
Janganlah dilepaskan peluang keemasan kali ini, jika tidak, peluang yang sama hanya akan muncul 50 tahun lagi dan derita kita akan terus diwarisi oleh anak cucu sendiri. (SH 13/01/2013)

No comments: