Thursday, October 10, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Ketua Muslimat PAS Kedah, Perlis kekal


ALOR SETAR: Dewan Muslimat PAS Kedah dan Perlis yang selesai mengadakan muktamar tahunan menyaksikan penyandang jawatan terus menerajui sayap parti bagi sesi 2013-2015.

Di Kedah, Muktamar Tahunan ke 44 yang berlangsung 5 Oktober lalu di Dewan Fadzil Noor, Kompleks PAS Kedah menyaksikan Datuk Ustazah Siti Ashah Ghazali kekal selaku Ketua dan akan bergandingan dengan Dr Rohani Abdul Mutalib yang turut kekal bagi jawatan Timbalan Ketua.

Manakala Ustazah Fatimah Wan Teh pula dipilih sebagai Naib Ketua menggantikan penyandang, Datin Norlia Abdul.

Ketiga-tiga jawatan utama ini tidak dipertandingkan.

Majlis perasmian muktamar telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu di Perlis, Ustazah Latifah Mat turut kekal menerajui Muslimat PAS Perlis selepas menang tanpa bertanding jawatan Ketua pada Muktamar Tahunan ke 38 yang diadakan 6 Oktober lalu.

Begitu juga, jawatan Timbalan Ketua dan Naib Ketua masing-masing turut dimenangi tanpa pertandingan.

Ketua Muslimat PAS Kangar, Suhanawati Jaafar dan Ketua Muslimat Padang Besar, Amnah Abdul Rahman masing-masing akan bergandingan dengan Latifah selaku Timbalan dan Naib Ketua.

Muktamar yang berlangsung di Dewan Dato' Dr Haron Din, Kompleks PAS Perlis di sini dirasmikan oleh Bendahari Muslimat PAS Pusat, Aida Yusof Rawa.

No comments: