KUALA LUMPUR - Tindakan perwakilan menghantar sehingga 12 nama calon untuk jawatan naib presiden seharusnya dilihat secara positif memandangkan ramai pihak yang diberi penghormatan untuk berkhidmat kepada parti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu membuktikan Pas tidak ketandusan calon bagi menjawat jawatan ketiga tertinggi dalam parti.

“Itu terpulang kepada perwakilan, tiada masalah kepada penyandang apa jua jawatan sekalipun untuk berdepan dengan orang lain yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

“Penting bagi saya, adalah untuk berkhidmat kepada parti dan bukannya mencari apa jua kedudukan dalam parti kerana ia bukan ada apa-apa yang boleh mengenyangkan dan memenuhkan poket,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya mana-mana pihak tidak perlu membuat sebarang spekulasi berkenaan calon yang bakal merebut sebarang jawatan.

“Itu terpulang kepada calon, mereka mempunyai hak dan pandangan masing-masing untuk membuat pertimbangan tertentu bahawa kepentingan parti secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, beliau  yang masih berteka-teki sama ada untuk mengekalkan jawatan tersebut dan hanya mahu mendedahkannya pada Khamis ini.

“Tunggu 8 November ini, tunggu Pengerusi Pemilihan umumkan. Saya tidak serahkan borang lagi, kerana saya sibuk dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.

“Sebelum 8 November ini saya akan maklumkan kepada umum sama ada saya bertanding atau tidak,” katanya.