IPOH - Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat Nasrudin Hassan akan bertanding jawatan Anggota Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat pada Muktamar Tahunan kali ke-59 yang berlangsung dari 22 hingga 24 Nov.

Nasrudin yang juga anggota Parlimen Temerloh berkata beliau bersedia memikul tanggujawab itu selepas perwakilan memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding jawatan berkenaan.

"Saya ditawarkan untuk bertanding dua jawatan, iaitu Anggota Jawatankuasa Pas Pusat dan Naib Presiden Pas. Bagaimanapun, saya menarik diri untuk jawatan Naib Presiden dan hanya sekadar bersedia untuk memberi khidmat bakti kepada Jawatankuasa Pas Pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Perak kali ke-30, di sini hari ini.


Turut hadir Pesuruhjaya Pas Perak Abu Bakar Hussien, Ketua Dewan Pemuda Pas Perak Mohd Zawawi Abu Hassan dan timbalannya Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Beliau menarik diri bertanding jawatan Naib Presiden selepas melihat calon lain lebih berkemampuan dan berkaliber untuk memikul tanggungjawab itu. 

Nasrudin turut menyatakan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat untuk memberi ruang dan peluang kepada calon lain meneruskan kepimpinan untuk parti itu.

"Terserah kepada perwakilan untuk memilih calon yang layak kerana mereka (perwakilan) mampu menilai calon berdasarkan rekod dan prestasi (calon) masing-masing. Yang menang akan teruskan perjuangan manakala yang kalah tidak bermakna gagal, mungkin ada jawatan lain yang sesuai untuk mereka," katanya.


Nasrudin yang memegang jawatan itu sejak 2009, mengharapkan calon yang dipilih bersedia untuk menyahut cabaran lebih besar selain boleh melakukan sesuatu lebih baik.

"Saya tidak berpuas hati dengan pencapaian yang telah saya lakukan, sebab itu saya mengharapkan siapa yang ambil alih tempat saya meneruskan perjuangan ini dengan sempurna, namun Alhamdullilah saya telah beri yang terbaik dan mudah-mudahan ia memberi kebaikan kepada parti," katanya. - Bernama