ALOR SETAR - Seorang Adun yang juga orang lama Umno dikatakan sedang dalam perancangan untuk mengambil tindakan perundangan terhadap timbalan ketua bahagian di kawasannya, dalam masa terdekat.

Sumber berkata, tindakan itu dibuat berikutan Adun berkenaan mendakwa dirinya difitnah ketika pemilihan Umno Kedah, Oktober lalu.

“Ketika kempen pemilihan lalu, calon bagi timbalan ketua bahagian ini berkempen bagi memenangkan proksinya, yang bertanding jawatan ketua bahagian menentang Adun berkenaan. Pada pemilihan itu, Adun berkenaan tewas,” katanya.

Menurutnya, dalam kerancakan berkempen itu, timbalan ketua bahagian itu secara terang-terangan menyebut nama Adun berkenaan yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, difahamkan rakaman dakwaan itu diperoleh Adun berkenaan dan akan dijadikan bukti untuk mengheret individu terbabit ke muka pengadilan, dalam usaha menjernihkan nama baik beliau yang tercalar.

“Adun berkenaan kini dalam proses berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan saman, melibatkan jutaan ringgit. Kemungkinan kes itu akan difailkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sumber berkata, Umno bahagian itu kini terbahagi kepada dua puak, iaitu mereka yang menyokong kepimpinan lama dan sebahagian pula menyokong kepimpinan baharu yang menang pada pemilihan lalu.

“Nampaknya kemelut dalam bahagian ini semakin parah. Sebelum ini, Adun berkenaan pernah dikenakan tindakan disiplin oleh parti apabila digantung keahlian kerana melakukan sabotaj terhadap parti pada PRU12 lalu,” katanya.

Pemerhati politik tanah air menyifatkan, sekiranya kes itu berlarutan hingga ke mahkamah, ia bakal menjadi tamparan hebat kepada kepimpinan Umno negeri, yang diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Masalah dalaman ini perlu diselesaikan secepat mungkin, seeloknya tanpa perlu ke mahkamah atau sebelum Umno Pusat campur tangan,” katanya.

Menurutnya, Mukhriz wajar membuktikan transformasi yang dibawa dalam parti itu membawa perubahan positif dengan memastikan masalah dalaman bahagian itu diredakan sebaik mungkin sebelum ia menjadi barah.

Perkara ini turut menjadi percakapan penduduk setempat di kawasan berkenaan, dan ini menguatkan lagi spekulasi ini.

Bagaimanapun, Adun berkenaan ketika dihubungi Sinar Harian bagi mendapatkan kesahihan sama ada kemelut itu akan berakhir di mahkamah, mengambil sikap berdiam diri dan enggan mengulas lanjut.SH