Monday, May 12, 2014

AHLI UMNO MENGAKU PAS!!! Berwatak UMNO, inilah calon Bebas yang wakili BN?


Semalam Najib Razak menyatakan meskipun MCA memutuskan tidak tidak mahu meletakkan calonnya dalam pilihanraya kecil Bukit Gelugor, tetapi BN tidak akan memberi laluan mudah kepada DAP yang meletakkan anak Karpal Singh, Ramkarpal dalam pilihanraya itu.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, akan ada calon lain yang bakal bertanding dan keputusan mengenainya akan dibuat bila tiba masanya nanti.

Katanya, calon yang akan disokong oleh BN itu bukan daripada parti komponen BN, tetapi mungkin daripada pihak-pihak lain yang bertanding sebagai calon Bebas.

MCA sebelum ini telah memutuskan tidak akan meletakkan calonnya di Bukit Gelugor bagi berhadapan dengan DAP atas alasan mahu menumpukan kepada penentangannya mengenai isu hudud yang bakal dibentangkan oleh Pas. 
 
Tetapi dengan Pas sudah menangguhkan pembentangan usul hudud sehingga mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan antara UMNO dan Pas, keengganan MCA bertanding lebih dilihat kerana bimbang kalah dengan lebih teruk lagi.

Dengan gambaran yang diberi oleh Najib ini jelas sekali membayangkan bahawa akan ada seorang calon Bebas yang mesra BN akan bertanding di Bukit Gelugor. Ia seperti mengulangi seperti apa yang berlaku di Pasir Mas dalam pilihanraya umum lalu di mana UMNO tidak meletakkan calonnya di kawasan itu tetapi mengambil sikap memberi sokongan kepada calon Bebas, Ibrahim Ali yang turut dianggap mesra BN.

Menjadi calon Bebas mesra BN bukan saja membuatkan calon itu berkempen seolah-olah mewakili BN, bahkan mungkin juga mendapat bantuan kewangan daripada BN dan pemimpin-pemimpin BN barangkali akan turut berkempen sama.


Soalnya siapakah calon Bebas mesra BN itu?

Jika dilihat daripada senarai calon yang bertanding di Bukit Gelugor ini, selain DAP yang meletakkan Ramkarpal serta mendapat sokongan sepenuhnya daripada parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat, terdapat tiga calon Bebas lagi turut menawarkan diri. Mereka ialah Naib Presiden, Parti Cinta Malaysia, Huan Cheng Guan, Mohamed Nabi Bux dan Abu Backer Sidek Mohamad Jan.

Seorang lagi calon Bebas, Lim Chee Koon pula hilang kelayakan bertanding kerana gagal membawa wang deposit ketika menyerahkan borang penamaan calon.

Mohamad Nabi Bux yang sebelum ini mendakwa dirinya sebagai ahli Pas, didapati sebenarnya adalah ahli UMNO dalam Bahagian Gombak. Bagaimanapun Mohamad Nabi mempertahankan dirinya sebagai ahli Pas sambil berkata wang deposit pencalonannya juga disumbangkan oleh tiga ahli Pas.

Mungkinkah Mohamad Nabi Bux merupakan calon mesra BN itu? Atau ianya adalah Huan Cheng Guan daripada PCM itu? Atau barangkali Abu Backer?

Oleh kerana Najib sudah menyatakan dengan penuh yakin bahawa BN bakal memberi sokongan kepada calon Bebas yang mesra BN dan kenyataan itu pula dibuat di hari ulangtahun kelahiran UMNO yang ke-68 semalam, beliau tentulah perlu membuktikan kata-katanya menjadi kenyaaan.

Sementara kita menunggu siapakah calon Bebas yang mesra BN itu akan diumumkan, semoganya "kuda larian" yang bakal dipilih benar-benar mempunyai tenaga dan mampu berlari dengan penuh meyakinkan. Dengan kemenangan DAP dalam pilihanraya lalu melalui majoriti 41,778 undi, secara logiknya tidak mungkin mana-mana "kuda larian" daripada tiga calon Bebas itu mampu menyaingi kuda yang yang dipilih oleh DAP iaitu Ramkarpal.

Janganlah nanti, kuda yang dipilih itu lebih teruk prestasinya dan majoriti undi kemenangan DAP pula lebih meningkat lagi. Jika itu yang berlaku, sudah tentulah Najib sebagai "tauke kuda" juga perlu memikirkan tentang keupayaan dirinya sama.

No comments: