Saturday, April 4, 2015

PEMILIHAN PAS : PAS KAWASAN MULA GUNA KAEDAH PENGUNDIAN SULIT BAGI PENCALONAN PRESIDEN , TIMBALAN DAN NAIB PRESIDEN

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjEso9-Lgq1IystkyXuJbiFRXjzyXZusS7H4mc9rb5yaLuFcLJwXfY3djraaiw_gPTRvzBd-nkcZYVrCSiqkb1qsezSEGeBkEzRbbKcfhVbm6Z0C2T-N0qZWkAg41b4d2JjjNItJzjhInM/s400/SANY0607.JPG 

Salah satu agenda yang menjadi tumpuan semasa Mesyuarat Agung PAS Kawasan yang sedang berlangsung ialah memilih Jawatankuasa PAS Pusat yang melibatkan jawatan Presiden , Timbalan Presiden, Naib Presiden , Ahli Jawatankuasa , Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap serta Pemeriksa Kira-Kira.

Walaupun banyak PAS Kawasan menamakan agenda ini memilih tetapi adalah lebih tepat dinamakan mencalonkan kerana nama-nama yang terpilih akan dicalonkan oleh PAS Kawasan untuk jawatan-jawatan dalam PAS Pusat.

Sebelum ini , perwakilan mesyuarat agung menyerahkan pelaksanaan agenda ini oleh Jawatankuasa PAS Kawasan yang dipilih pada mesyuarat agung berkenaan. Namun, bermula bagi pemilihan sesi 2013 - 2015 ada beberapa PAS Kawasan menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih.

Pada pemilihan sesi 2015 - 2017 sudah ada PAS Kawasan menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih, bagaimanapun pemilihan secara angkat tangan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan perwakilan.

Antara yang menjadi pertikaian kepada perwakilan :

1. Perwakilan pulang awal kerana tidak mengetahui bahawa akan berlangsung pemilihan untuk jawatan PAS Pusat kerana beranggapan agenda ini akan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Kawasan. Kesempatan diambil oleh perwakilan berkepentingan mencadangkan agenda ini diserahkan kepada perwakilan.



2. Pemilihan secara angkat tangan tidak teratur serta tidak mewakili kehendak sebenar seseorang perwakilan. Perwakilan tidak benar-benar memilih sebaliknya mengikut sama bila ramai yang mengangkat tangan.

3. Ramai perwakilan yang tidak serius untuk mengangkat tangan terutama apabila diarah mengangkat tangan beberapa kali untuk jawatan-jawatan yang memerlukan lebih dari seorang calon.

4. Dalam keadaan berlakunya krisis yang melibatkan masalah label melabel , pemilihan secara angkat tangan tidak lagi telus kerana ramai perwakilan akan takut dilabel jika mengangkat tangan untuk calon tertentu.

Justeru itu, mengambil kira keharmonian sesama perwakilan dan ketelusan dalam pemilihan, sudah ada PAS Kawasan yang mengambil keputusan mengadakan pengundian secara sulit untuk pemilihan jawantankuasa PAS Pusat.

Apabila sampai kepada agenda ini, Pengerusi Tetap akan membuka kepada  perwakilan untuk memutuskan sama ada agenda ini diserahkan kepada perwakilan atau diserahkan Jawatankuasa PAS Kawasan yang dipilih.

Sekiranya, agenda ini diputuskan untuk diserah kepada perwakilan, Pengerusi Tetap akan meminta perwakilan memutuskan jawatan mana yang mahu dipilih oleh perwakilan. Kebiasaanya, perwakilan hanya mahu memilih untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Bagi jawatan lain ,perwakilan akan menyerahkan kepada Jawatankuasa PAS Kawasan untuk dipilih.

Setelah itu, Pengerusi Tetap meminta perwakilan mencadangkan nama-nama untuk dicalonkan bagi jawatan berkenaan. Setelah menerima cadangan calon dari perwakilan , Pengerusi Tetap akan meminta Jawatankuasa Pemilih menyediakan kertas undi untuk ketiga jawatan berkenaan.

Jawatankuasa Pemilih akan mengambil masa tidak sampai 30 minit untuk menyediakan dan mencetak kertas undi berkenaan. 

Jawatankuasa Pemilih perlu dimaklumkan dahulu kemungkinan pengundian secara sulit bagi agenda memilih Jawatankuasa PAS Pusat. Ini membolehkan Jawatankuasa Pemilih menyediakan kertas undi lebih awal dan hanya memasukkan calon sahaja pada hari mesyuarat agung. Jawatankuasa Pemilih juga tahu di mana paling cepat untuk difotostat kertas undi.

Dalam masa Jawatankuasa Pemilih menyediakan kertas undi. Pengerusi Tetap menangguhkan sementara agenda ini dan meneruskan dengan agenda pembentangan usul.

Setelah Jawatankuasa Pemilih selesai menyediakan kertas undi, Pengerusi Tetap meneruskan agenda pembentangan usul dalam masa sama meminta perwakilan mengikut cawangan mengundi untuk  memilih calon Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden PAS Pusat.

Sebelum tamat mesyuarat agung, keputusan pemilihan  calon Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden PAS Pusat sudah boleh diketahui perwakilan. HR


No comments: