Sunday, December 26, 2010

1Malaysia bukan untuk rakyat tapi untuk Umno

Slogan 1Malaysia bawa mudarat kepada rakyat marhaen

Slogan 1Malaysia yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak, jauh dari makna perpaduan jika dinilai dari tindakan dan dasar yang dilakukan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah simbol politik Umno-BN yang membunuh kesucian Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, sekali gus menjadikan hari hitam kepada amalan demokrasi di negara ini.

“Rata-rata rakyat Malaysia tidak menikmati 1Malaysia, tetapi 2Malaysia yang penuh dwistandard. Satu untuk Malaysia Umno-BN dan satu untuk Malaysia rakyat marhaen,” katanya pada kenyataan media hari ini.

“Apa erti 1Malaysia apabila kroni Umno-BN seperti Tan Sri Rozali Ismail, CEO Syabas yang menyebabkan kerugian syarikat sehingga berhutang RM2.9 billion tetapi menerima gaji RM 425,000 sebulan?

“Apakah erti 1Malaysia apabila kerajaan BN membelanjakan duit rakyat RM320 juta memberi pinjaman mudah kepada Syabas? Adakah 1Malaysia jika bekas pemimpin UMNO boleh bercuti ke Disneyland dengan membelanja duit rakyat?

“Adakah 1Malaysia namanya apabila pemimpin mendapat komisyen RM534 juta untuk pembelian kapal selam? Atau mungkin inilah 1Malaysia apabila rakyat kerugian RM12 billion akibat skandal PKFZ?” kata Faekah.

Beliau meminta rakyat menilai kembali betapa sejak Najib mendapat ilham 1Malaysia, rakyat dari golongan marhaen terpaksa memikul beban ekonomi yang kian memberat akibat keputusan kerajaan Umno BN.

“Kenaikan harga petrol, bil elektrik, gula, dan barang-barang keperluan asas lainnya berlaku mendadak selepas 1Malaysia diperkenalkan.

“Kenyataan Najib bahawa slogan 1Malaysia bukan alat propaganda politik BN, tetapi wadah penyatuan membina masyarakat amat menggelikan hati,” kata Faekah.

Beliau juga menyifatkan slogan 1Malaysia hanya mengakibatkan syak wasangka kian menebal hingga mendorong isu perarakan kepala lembu, kepala babi dan pembakaran surau.

“Kita pelik dengan sikap ambil mudah Najib yang merasakan rakyat boleh diperdaya melalui satu slogan. Sepanjang 50 tahun memerintah, Umno-BN tidak pernah berhenti melaga-lagakan kaum dan agama.

“Rakyat terutama di Selangor sudah bersatu padu khususnya selepas Mac 2008 yang lalu. Slogan dalam apa bunyi sekalipun tidak memberi makna kepada kami, jauh sekali berasa takut,” ujar Faekah.

Read more ...

1Malaysia alat politik Umno

Khalid: 1Malaysia Hanya Untuk Kepentingan Umno

SHAH ALAM 26 Dis. : Kenyataan 1 Malaysia bukan alat politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus dibidas oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Terbaru Ahli Lajnah Politik PAS, Khalid Samad menegaskan 1 Malaysia itu hanya untuk kepentingan politik Umno walaupun umum mengetahui apa yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri sehingga mengabaikan kaum lain di negara ini.

"Ia memanglah dilakukan atas dasar kepentingan politik Umno-BN apabila ia nampak ekstrem dari segi persoalan perkauman ini. Lalu timbul persoalan formula 1 Malaysia ini seolah nak hilangkan isu perkauman yang diperjuangkan selama ini maka ia dikemukakan atas kepentingan politik," katanya.

Semalam Najib mendakwa 1 Malaysia tidak mempunyai tujuan politik tetapi adalah untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi menjawab keputusan Kerajaan Selangor mengharamkan penggunaan logo 1 Malaysia kecuali untuk tujuan perniagaan.

Turut menyanggah kenyataan Najib ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang katanya, hakikatnya keadaan dalam negara ini makin teruk sejak pengenalan slogan 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan kerana ia hanya bersifat retorik semata.

Menurut Lim retorik mengenai perkauman, ektremisme dan penindasan kaum yang bertentangan dengan prinsip 1 Malaysia datang dari Umno sendiri sehingga timbul persoalan mengenai komitmen dan keikhlasan Najib dalam mengamalkan 1 Malaysia yang sebenar.

Sentimen ini turut dikongsi oleh Khalid yang berpendapat Umno-BN sememangnya tidak mampu membawa konsep kesatuan kaum kerana mereka sendiri tidak dapat bersatu dan hanya memperjuangkan kaum masing-masing.

"Dari sudut itu yang dipertikaikan ialah sejauh mana BN boleh melaksanakan atau menghayati wawasan itu sedangkan kita lihat mereka ini terdiri dari parti komponen setiap kaum yang memperjuangkan kepentingan kaum mereka sendiri. Maka falsafah BN itu sendiri bercanggah dengan semangat 1 Malaysia itu," ujarnya.

Justeru, Khalid berpendapat dasar 1 Malaysia ini hanya merugikan Najib dan Umno-BN sendiri.

Beliau yakin rakyat dapat menilai bagaimana perbezaan penghayatan keadilan dan kesamaan kaum sebenar Pakatan Rakyat dan retorik 1 Malaysia Umno-BN.

"Bila mereka menonjolkan dasar seperti ini, ia sekali lagi senjata makan tuan. Ia dikemukakan atas kepentingan politik BN dan akhirnya ia akan menikam balik Umno-BN," katanya.

Read more ...

Rakyat sekarang bukan bodoh, senang-senang Umno nak tipu

Rasuah: Rakyat Sudah Celik, Tidak Mahu Ditipu Umno-BN

SHAH ALAM 26 Dis. : Gagal membanteras rasuah pada peringkat atasan adalah faktor utama rakyat tidak mempercayai usaha kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) dalam membanteras gejala itu di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, kajian Merdeka Centre bahawa hanya 35 peratus responden mengatakan mereka berpuas hati dengan usaha pentadbiran Najib melawan amalan rasuah berbanding 39 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu membuktikan kegagalan ini.

Ketika ditemui TV Selangor di Shah Alam hari ini, Khalid menyatakan rakyat sudahpun celik tidak mahu ditipu lagi dengan sandiwara Umno-BN.

"Ini semua merupakan perkara-perkara yang tidak boleh Umno-BN sorokkan. Ia juga bukan satu perkara yang pasti timbulkan kesangsian rakyat terhadap kesungguhhan Kerajaan BN itu sendiri melainkan golongan Umno tegar yang buta pada hakikat yang dilihat oleh masyarakat umum," jelasnya.

Tinjauan Merdeka Center dijalankan mulai 30 November hingga 11 Disember lalu membabitkan seramai 1,005 responden yang merupakan pengundi berdaftar berusia 21 ke atas dan ditemu bual melalui telefon di seluruh Semenanjung.

Prestasi kerajaan pusat dalam soal mengatasi rasuah adalah paling rendah di antara enam inisiatif Putrajaya yang ditinjau oleh Merdeka Center. Tempat kedua paling rendah adalah berkaitan dengan pendekatan mengurangkan jenayah.

Selain pentadbiran Najib, faktor kegagalan ini juga disumbang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibelenggu kontroversi kerana gagal mendakwa pemimpin besar selain dikritik kerana lebih banyak menyasarkan penyiasatan kepada pemimpin Pakatan Rakyat sahaja.

Menurut Khalid, ketidakupayaan SPRM menyiasat secara serius kes besar terhadap pemimpin Umno-BN merupakan hal yang menyebabkan rakyat semakin tidak mempercayai usaha membanteras rasuah ini.

"Badan ini tidak mengambil tindakan serius terhadap kes-kes besar seperti persoalan KPFZ, pembelian kapal selam di Perancis dan sebagainya. Banyak isu siasatan yang menyeluruh dan sekadar apa yang dinyatakan tapi hakikatnya ia terus berterusan. Projek-projek yang dirunding terus, terus berjalan, mereka yang terlibat terus bebas dan tidak ada kesungguhan," katanya.

Read more ...

Imbuhan khas guru tidak mufliskan negara

http://pemudapasperak.com/v1/plugins/content/contentoptimizer/9f7ffb3ad2b28aa6b43bc982662cb8f5128070f8_162x121_Q65.jpeg
PARIT BUNTAR, 26 Dis. :
Janji Pakatan Rakyat memberi inisiatif imbuhan khas pendidik bulanan sebanyak RM500 sangat dialu-alukan.

Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata , inisiatif ini tidak akan menyebabkan negara muflis sebagaimana didakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Inisiatif itu akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun dan jumlah itu adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran yang kini berleluasa di bawah kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

“ Jumlah ini kecil dibandingkan subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun” katanya

Beliau berkata, imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar Hairul Nizam Ishak (gambar )menyokong usaha Pakatan Rakyat melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara termasuk bidang pendidikan.

“ Persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul.

“ Pakatan Rakyat tentunya telah meneliti kesan kewangan akibat pelaksanaan imbuhan khas pendidik bulanan itu” katanya

Beliau berkata, kenyataan negara akan muflis jika imbuhan itu diberikan kepada guru membuktikan Umno-BN tidak meletakkan kepentingan mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

“ Lebih RM 4.4 juta boleh dibelanjakan untuk program 3 hari Persidangan Wanita Pertama yang dipengerusikan oleh isteri perdana menteri, Rosmah Mansor .

“ Menara 100 tingkat PNB yang dibantah rakyat, menelan belanja RM 5 bilion boleh diluluskan. RM 3.2 bilion untuk imbuhan guru tak boleh” katanya

Read more ...

Kisah keluarga Taib Mahmud di London

Gambar : Tempat Persembunyian Keluarga Taib Di London


Tempat Persembunyian Keluarga Taib Di London

Bangunan Hampshire House menempatkan flat-flat paling mewah yang mempunyai ruang dalam yang luas yang bersebelahan dengan Hyde Park yang terkenal di dunia. Ianya juga terletak tidak jauh dari Marble Arch dan Oxford Street. Ianya merupakan tempat penginapan peribadi milik keluarga Ketua Menteri, Abdul Taib Mahmud.

Apartmen tingkat bawah yang kerap didiaman oleh keluarga Taib dianggarkan bernilai £8.5 million (RM 43 juta) dengan ruang kediaman seluas 4,000 kaki persegi. Semua ahli keluarga Taib dikatakan kerap mendiami apartmen ini dan berkemungkinan mereka memiliki atau mempunyai akses kepada lebih dari sebuah apartmen, memandangkan ramai mereka dapat menginap di situ pada satu-satu masa.

Singgah di London sebentar dalam perjalanannya ke Mekah

Kami dapat mendedahkan sesuatu yang tidak dilaporkan dalam mana-mana akhbar tempatan di Sarawak pada hari Selasa, semasa Taib bertolak ke Mekah untuk mengerjakan Haji.

Dalam penerbangannya ke Tanah Suci Mekah, beliau didapati melencong ke London terlebih dahulu dan menginap di apartmen mewahnya di Hampshire House.

Sarawak Report mendapati salah satu alasan beliau melencong ke London adalah untuk bertemu dan berkumpul dengan ahli-ahli keluarga sebelum ke Mekah.

Kami juga mendapati bahawa sehari sebelum ketibaan beliau, para pekerja di Hampshire House telah melakukan persiapan, dan maklumat yang kami terima, keluarganya telah merancangan untuk mengadakan pertemuan bagi memulihkan ketegangan di kalangan ahli-ahli keluarganya selama ini.

Adalah dipercayai juga bahawa pertemuan ini akan mengeratkan persahabatan mereka yang mungkin diketahui oleh para pengundi mereka yang telah mulai bosan dengan mereka, menjelang pilihanraya nanti.

Saudara beliau, Onn Mahmud, yang pernah bertindak sebagai penyelaras perniagaannya, tetapi kemudiannya telah menjauhkan diri dari beliau, telah juga dijemput untuk menghadiri pertemuan keluarga itu.

Sejak menjauhkan diri dari ahli keluarga yang lain, Onn kurang menghubungi mereka. Rancangan mengatur pertemuan ini adalah diharapkan supaya setiap ahli keluarga saling maaf-memaafi sebelum mengerjakan Haji ke Mekah. Mereka juga ingin menunjukkan tauladan yang baik kepada para pengundi mereka di Sarawak.

Dilihat di London – Sulaiman Taib

Kami juga mengandaikan Ketua Menteri itu melencong ke Hyde Park kerana beliau dipercayai ingin menemui anaknya.

Sehari sebelum ketibaan Ketua Menteri itu di Hyde Park, jurugambar Sarawak Report telah Berjaya merakamkan anaknya yang telah lama menghilangkan diri, iaitu Sulaiman Rahman Taib.

Sulaiman tiba di tempat tersebut dengan kereta Mercedes berwarna hitam. Dia kelihatan bergegas masuk ke apartmen itu, yang kami percaya adalah tempat persembunyiannya selama ini.

Sulaiman Taib telah gagal memperlihatkan dirinya di khalayak umum di Malaysia sepanjang tahun lepas, walaupun dia masih seorang ahli Parlimen, di mana ‘kehilangannya’ telah menimbulkan bermacam-macam spekulasi.

Walau pun umum tertanya-tanya akan kehilangannya, tetapi keluarganya tetap mendiamkan diri dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Dia telah lama tidak menjejakkan kaki ke Parlimen Malaysia atau mengunjungi para pengundinya di kawasan pilihanrayanya, di mana dia boleh dikira sebagai menyalahi tugas dan tanggunjawabnya sebagai penjawat awam yang dibayar gaji yang lumayan menggunakan wang pembayar cukai.

Kehilangannya yang dianggap luar biasa itu telah mencetuskan khabar-khabar angin di kalangan umum yang menganggapnya telah meninggal dunia, atau menjalani rawatan penyakit ganjil.

Sarawak Report berasa begitu yakin kerana dapat melakukan khidmat awam dengan mengesahkan bahawa anak Ketua Menteri itu masih hidup, kelihatan sihat dan diandaikan masih mengeluarkan wang gaji menterinya di London.

Sebenarnya ‘Rahman’ dapat ditemui beberapa kali di dalam atau di sekitar London sejak beberapa bulan yang lalu, dan terdapat spekulasi yang mengatakan dia mendapatkan khidmat perubatan yang baik di London, yang tidak terdapat di Sarawak atau Malaysia.

Pekerja Taib menyerang jurugambar kami

Walau pun pada kedudukan sosial yang tinggi dan terkenal, tetapi Taib sekeluarga tetap tidak suka pada cara kami menyiarkan berita mengenai pergerakan mereka, atau mendedahkan harta-harta yang mereka miliki.

Rahman Taib yang ternampak jurugambar wanita kami, dan kemudiannya menjelaskan sesuatu kepada para pekerjanya, yang kemudian keluar dari bangunan apartmen tersebut untuk mendekati jurugambar kami itu.

Tidak lama kemudian pemandu keretanya mengasari jurugambar tersebut ketika dia sedang mengambil gambar-gambar penumpang-penumpang wanita yang keluar dari bangunan itu dan masuk ke dalam keretanya.

Pemandu Taib telah menangkap leher jurugambar tersebut dan memaksanya memadamkan kesemua gambar dalam kameranya itu sehingga dia diselamatkan oleh seorang yang sedang lalu di tempat itu.

Perkara tersebut kini sedang disiasat oleh pihak polis London sebagai kes mendatangkan kecederaan yang disengajakan. Kes seperti ini, walaupun selalunya disembunyikan dari pengetahuan umum di Sarawak, tetap dilarang di UK.

Pada lewat petang hari Selasa, jurugambar berkenaan percaya dia ternampak Ketua Menteri itu bergegas-gegas masuk ke dalam bangunan itu, tidak lama setelah penerbangannya dengan Singapore Airlines mendarat di lapangan terbang Heathrow.

Sarawak Report ingin ingin mempelawa sesiapa dari kalangan pembacanya yang memiliki gambar-gambar Ketua Menteri yang lebih jelas semasa beliau masuk atau keluar dari bangunan Hampshire House, 12 Hyde Park Place, dihantarkan kepada kami, dan kami akan berasa bangga untuk memaparkannya untuk tatapan umum.

Siapakah pemilik flat bernilai berjuta-juta pound itu?

Sarawak Report ingin mengetahui dengan lebih terperinci lagi siapakah sebenarnya pemilik flat di tingkat bawah yang kerap didiami oleh keluarga Taib, dan juga merupakan kediaman Sulaiman. Menurut dokumen-dokumen yang terdapat di pejabat Pendaftar Tanah London, harta tersebut dimiliki oleh Sultan Abdul Halim Mu Adzam, salah seorang rakan kongsi Taib dari Malaysia yang pernah menganugerahkan Onn Mahmud dengan gelaran “Datuk”.

Hubungan erat kedua-dua keluarga ini, dan siapakah di antara mereka yang memiliki salah sebuah harta yang terkenal di London itu menimbulkan syak wasangka di kalangan umum.

Dengan gaji rasminya sebagai Ketua Menteri selama 30 tahun, tidak mungkin Taib mampu memiliki kediaman semewah itu, dan kediaman itu pula hanya sebahagian dari harta-harta yang lainnya. Taib pernah dirakamkan menyebut, “Saya memiliki wang lebih dari yang dapat saya belanjakan”.

Ketua Menteri itu juga diketahui kerap menyembunyikan pemilikannya ke atas syarikat-syarikatnya dan juga harta-hartanya dengan meletakkan nama orang lain yang telah bersetuju secara peribadi menyerahkan balik apabila diminta olehnya.

Sarawak Report dapat membuktikan beberapa kes di mana beliau meletakkan orang lain sebagai penama untuk memegang saham-sahamnya secara rahsia. Kekeliruan hakmilik rumah-rumah mewah yang diserahkan kepada keluarga Taib oleh Samling di US merupakan salah satu contoh taktik yang telah didedahkan oleh Sarawak Report.

Justeru itu, adakah kediamannya di Hampshire House sebenarnya dimilikinya, tetapi buat sementara waktu didaftarkan menggunakan nama rakannya yang seorang sultan?

Jika tidak, dan jika betullah sultan itu yang memiliki kediaman tersebut, kenapakah baginda membenarkan keluarga Taib mendiami rumah tersebut seolah-olah mereka yang memilikinya?

Kenyataan dari Ketua Menteri sendiri mengenai perkara ini, dan juga perkara-perkara lain yang melibatkan pemilikan harta yang begitu banyak seperti mana yang telah kami dedahkan selama ini, amatlah kami alu-alukan. -sarawakreport

Read more ...

11 polis hitam, 4 sudah cam tinggal 7 masih kelam

Dibelasah Polis : Chia kenalpasti 4 anggota yang membelasahnya.

PETALING JAYA, 26 Dis.: Ahli perniagaan, yang mendakwa dibelasah oleh 11 anggota polis telah dapat mengenalpasti empat dari mereka yang menyerangnya di dalam satu kawad cam.

Chia Buang Hing, 34, yang ditemani peguamnya, tiba di ibu pejabat Petaling Jaya kira-kira jam 11 pagi semalam untuk proses pengecaman anggota polis yang terlibat.

Chia kemudian dapat mengingat empat daripada mereka daripada 30 anggota yang berbaris.

Beliau juga mengenalpasti seorang lagi anggota polis yang menurutnya, hadir waktu kejadian tetapi hanya memerhatikan saja.

Chia sekalipun rasa cemas, beliau perlu berdepan dengan tugas untuk mencari mereka yang menyerangnya.

“Saya amat cemas sehingga termuntah pagi ini sebelum sampai ke sini,” katanya.

Kenyataan Chia also juga telah diambil di ibu pejabat polis berkenaan.

Kira-kira jam 11 malam 18 Disember lalu, Chia telah mendakwa ditahan di satu sekatan jalan raya kerana memandu kenderaan tidak mempunya cukai jalan yang sah. Beliau waktu itu sedang memandu dari rumahnya di Tropicana ke Kota Damansara.

Dia dipukul dan menyatakan wang sebanyak RM13,000 miliknya telah diambil oleh kesemua anggota polis terbabit.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Mohd Adnan Abdullah dipetik berkata satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu.

“Tiada siapa mengatasi undang-undang. Jika ada bukti, mereka yang bertanggungjawab akan diheret ke mahkamah,” katanya.

Beliau juga mendakwa pihak polis telah mengarahya membuat satu laporan palsu menyatakan beliau tercedera kerana terbabit di dalam kemalangan jalanraya dan jika dia enggan, polis akan mereka dakwaan yang kononnya parang berdarah atau dadah ditemui di dalam keretanya.

Read more ...

Dinar Emas Kelantan secara rasmi jadi mas kahwin di Kelantan

DINAR EMAS KELANTAN

Dinar Emas Kelantan dijadikan sebahagian dari mas kahwin dalam Majlis Nikah Perdana 2010 Peringkat Negeri Kelantan

Seramai 100 pasangan dinikahkan secara beramai-ramai di dalam majlis anjuran kerajaan negeri Kelantan tersebut secara percuma dengan segala kos ditanggung oleh kerajaan negeri kelantan.Majlis diadakan di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, program berkenaan berkenaan diadakan lebih berbentuk kebajikan bagi membantu golongan belia dan beliawanis berkahwin.Kerajaan negeri Kelantan telah memperuntukkan pemberian wang dinar kelantan bernilai RM700 dan wang tunai RM500 untuk setiap pasangan.

"Peruntukan itu termasuk membiayai mas kahwin, jamuan dan peralatan perkahwinan.

Seramai 100 pasangan mengambil bahagian pada program itu yang dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Majlis Nikah Perdana 2010 dihadiri oleh ribuan pengunjung dan sanak saudara pengantin dari seluruh Malaysia.

Antara yang menarik, ada pengantin yang baru memeluk islam dari kalangan orang asal dan OKU

Kenduri rakyat turut diadakan di perkarangan PUTIK sempena Majlis Nikah Perdana 2010 tersebut.

(Kata Tuan Guru, "Saya berkahwin pada tahun 1962 dengan maskahwin sebanyak RM100, alhamdulillah kekal hingga ke hari ini. Untuk anak-anak saya, saya letakkan harga maskahwin tidak melebihin RM1000. Pesan saya, janganlah letakkan maskahwin yang tinggi menyebabkan urusan perkahwinan menjadi sukar...")

Alhamdulillah, 'kesakitan' dan kesusahan akibat bahana kenaikan harga barang (oleh kerajaan BN) terubat sedikit dengan bantuan ikhlas kerajaan negeri Kelantan kpd pasangan yang mahu membina rumah tangga...






Read more ...

Pendedahan 'Kedahleaks' bekas MB Kedah

Skandal bekas MB Kedah, Mahdzir Khalid didedah!

Tatkala Penyokong dan blogger Umno Kedah bertungkus lumus siang dan malam, merangka strategi, dakyah dan fitnah untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan YAB Azizan Abd Razak, satu pendedahan ttg bekas MB Umno terdahulu sangatlah menuntut pemerhatian dari kita.....

Apa yang dipaparkan di bawah jelas membuktikan di bawah 'regim' pemerintah terdahulu, iaitu di bawah bekas MB Kedah ke-8, Mahdzir Khalid, ternyata pemerintahannya 1000 kali lebih teruk dan buruk!..dalam tempoh satu penggal pemerintahan pemimpin Umno ini telah berjaya mengumpul koleksi skandalnya yang tersendiri..

Jom ikuti pendedahan 'Kedahleaks' oleh blogger Kedah Times di bawah..untuk makluman, blogger Kedah Time adalah blogger pro-Umno, dan semestinya segala najis-busuk yang membelenggu pemerintahan dan pemimpin Umno Kedah di bawah pengetahuan mereka...

Penulis tuntut dari pihak berkenaan supaya mengambil tindakan segera terhadap laman web yang mendedahkan skandal pemimpin Umno ini jika laporan yang didedahkan ini adalah palsu...fikir2kan...wallahua'lam..

Panas!!!!: Dari Kedahleaks

1. Semasa menjawat jawatan PEMANGKU MB KEDAH SELAMA 6 BULAN, Mahdzir Khalid telah melakukan urusniaga balak dengan pemberian tender secara tertutup membolehkan beliau mengutip hasil peribadi yang dimasukkan kedalam beberapa akaun proksi bernilai RM10juta.

2. Mokhtar kerani kewangan di Pejabat MB semenjak era Sanusi, kini bertugas di bahagian pembelian, dan kewangan SADA, mengesahkan perkara ini kerana beliau antara salah seorang yang ditugaskan untuk memasukkan wang kutipan berkenaan kedalam akaun peribadi orang tertentu. Persoalan???: Berapa banyak jumlah yang terlibat dalam urusniaga balak secara under table yang dilakukan oleh Mahdzir Khalid sepanjang 2 tahun beliau berkuasa sebagai MB.

3. Mahdzir Khalid menggunakan jet TUDM dan jet pihak swasta yang disewa dari KAPTEN BIDI untuk semua urusan rasmi dan peribadi meskipun pekeliling dan arahan pentadbiran tidak melayakkan beliau berbuat demikian.

Arahan perbendaharan mewajibkan MB mesti menaiki pesawat komersial MALAYSIA AIRLINES. Hutang tertunggak sewa jet berkenaan kini mencecah RM1.2 juta.
M@RHAEN

Baca seterusnya di: PANAS: Skandal bekas Menteri Besar Kedah, Mahdzir Khalid didedah!

Read more ...

Ali Rustam dah jadi Ali Hutang

PAS tegur Ali suka berhutang

http://www.mohdalirustam.com/wp-content/uploads/2008/12/alirustam20mainpix1-294x300.jpg

MELAKA, 26 Dis: Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Ramli Dalip membidas sikap kerajaan negeri Melaka yang suka berhutang bagi menjalankan projek-projek pembangunan di negeri ini.

Ramli berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak menjalankan projek-projek mega kerana hasil negeri tidak dapat menampung hutang yang telah meningkat dari RM441.76 juta pada 2008 kepada RM587.3 juta pada tahun 2009.

"Semua projek besar kerajaan negeri ditampung dengan pinjaman dari kerajaan pusat dan ianya tidak dapat dijelaskan oleh kerajaan negeri sehingga hutang negeri meningkat dari sehari ke sehari.

"Ternyata kerajaan negeri hanya pandai menjalankan projek pembangunan tetapi tidak pandai mencari dana sendiri untuk membiayai projek-projek teresebut, malah lebih malang lagi projek-projek tersebut tidak berdaya maju sehingga sesetengahnya menanggung kerugian bernilai jutaan ringgit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Ramli, banyak projek-projek mega yang tidak sepatutnya dijalankan antaranya projek monorel, Eye On Malaysia, Litar Go-Kart dan lain-lain yang kesemuanya menemui kegagalan.

Ramli berkata demikian ketika diminta komen tentang kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam media 2 hari lepas di mana menurutnya Melaka memerlukan RM2 bilion lagi muncul sebagai negeri bandar yang pertama di negara ini.

Ali dilaporkan berkata, berkata wang RM2 bilion itu diperlukan untuk membina jalan 4 lorong menghubungkan Melaka dengan Johor dan Negeri Sembilan.

"Kita pun tidak faham apa maksud negeri bandar yang dinyatakan oleh Ali. Sama seperti kita tidak faham tentang apakah benar Melaka Negeri Maju 2010 sedangkan EACD sendiri tidak mengiktirafnya.

“Apakah Ali mahu menipu rakyat Malaysia dan Melaka sekali lagi sepertimana beliau menipu tentang status Melaka Maju 2010?” soal Ramli.

Nampaknya, kata beliau, ketua menteri itu tidak serik-serik untuk berhutang lagi dengan kerajaan pusat walaupun hutang negeri Melaka seperti dalam laporan Ketua Audit Negara 2009 telah mencecahkan RM500 juta lebih.

Katanya, memang jelas kerajaan negeri Melaka hanya pandai berhutang tetapi tidak tahu membayarnya kerana apa yang penting bagi mereka ialah projek banyak maka ianya menguntung orang tertentu.

Read more ...

Ibu bapa semakin terbeban

Kos Meningkat : Sekolah bermula, ibu bapa pening kepala..Pemerintah peduli apa..!!!

canvas

PETALING JAYA, 26 Dis. : Perbelanjaan persekolahan untuk tahun 2011 yang dikatakan terdapat peningkatan berbanding tahun sebelumnya menggusarkan para ibu bapa khususnya bagi berpendapatan rendah.

Rata-rata ibu bapa di dua buah sekolah rendah dan menengah di Damansara Damai yang ditemui di perkarangan sekolah ketika membeli buku sekolah mengeluh apabila ditanya tentang perbelanjaan untuk memulakan persekolahan penggal 2011 berikutan peningkatan perbelanjaan persekolahan berbanding tahun sudah.

Seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Salam, 38 tahun, berkata perbelanjaan buku sekolah untuk dua anak beliau yang bersekolah rendah dan seorang yang bersekolah menengah dianggarkan kira-kira RM700.

"Belanja untuk buku sekolah sahaja lebih kurang RM600 hingga RM700 tidak termasuk pakaian sekolah dan peralatan lain. Mungkin saya terpaksa membeli dua kali sebab gaji saya kecil tak boleh nak beli semua sekaligus," kata beliau.

Beliau turut menunjukan senarai buku-buku untuk murid darjah lima dan memberitahu terdapat pertambahan jumlah buku yang perlu dibeli yang terdapat di ruang senarai buku wajib dibeli yang dikeluarkan oleh pihak sekolah itu.

"Contohnya dalam senarai buku untuk murid darjah lima ini, tahun 2010 anak saya yang di darjah lima, jumlah keseluruhannya lebih kurang RM150 tetapi untuk tahun 2011 adiknya pula yang masuk darjah lima hampir RM170.

"Itu semua jumlah buku yang diwajibkan beli. Tetapi bila saya periksa buku-buku anak saya sewaktu penggal persekolahan berjalan tidak pula semua buku digunakan oleh guru yang mengajar.

"Sepatutnya buku-buku yang tidak digunakan oleh pihak sekolah diletakkan di bahagian ‘buku pilihan’ supaya ibu bapa boleh menggunakan budi bicara mereka sendiri untuk beri latihan di rumah atau mengikut kemampuan mereka," katanya yang mengaku memperolehi pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

Sementara itu, Siti Mariam Ithnin, 40 tahun memberitahu, pemotongan yuran sekolah yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran tahun lalu tidak memberi banyak kesan kepada perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

"Walaupun Kementerian Pelajaran ada memberikan pemotongan yuran sekolah tapi jumlah potongan itu sangat kecil, kalau tak silap RM5.00 sahaja dan tak beri apa-apa kesan pun.

"Pada masa yang sama pula pihak sekolah mengenakan bermacam-macam yuran lain hinggakan yuran penyelenggaraan tandas. Mungkin kalau ibu bapa yang berpendapatan tinggi tak terasa tapi bagaimana orang-orang seperti kami?," katanya lagi yang mempunyai anak bersekolah di darjah tiga,enam dan tingkatan tiga.

Sementara itu, Nik Alimat, 34 tahun, pula mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang enggan menerima buku-buku latihan yang dibeli di luar sekolah hanya disebabkan perbezaan pada kulit buku yang tidak mempunyai logo Jabatan Pelajaran negeri.

"Sudahlah harga petrol dan barang-barang lain naik, belanja persekolahan juga bertambah. Apa yang saya hairan ialah adanya buku-buku latihan tidak dibenarkan dibeli di luar yang harganya lebih murah cuma disebabkan sedikit perbezaan tertentu seperti logo kementerian di kulit buku.

"Ada kena-mengenakah atau sebarang kepentingankah pihak pejabat pelajaran dengan pihak pengeluar buku-buku ini sehingga mewajibkan buku-buku syarikat tertentu ini sahaja dibeli?

"Padahal orang seperti saya yang cuma kerja kilang dengan gaji rendah tentulah nak berjimat dengan membeli yang buku yang lebih murahnya tapi isinya masih sama. Lagipun buku-buku latihan memang banyak dijual di luar dengan harga lebih murah," ujar beliau.

Read more ...

Pendidikan Islam adalah yang terbaik

Ketuanan Melayu: Konsep pendidikan Islam tidak tercapai


SHAH ALAM, 26 Dis: Wajib berlaku reformasi dalam semua hal kehidupan bagi menjayakan transformasi dalam sistem pendidikan demi agama dan negara, tegas Pengerusi Sekretariat Majlis Ulama Asia Tenggara (Shura), Ustaz Abdul Ghani Samsudin.

Menurutnya, isu pendidikan Islam menjadi lebih baik, diakui dan dipertingkatkan pelaksanaannya jika semua ahli politik negara ini cuba dan boleh memahami konsep pendidikan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam wacana bertajuk Transformasi Pendidikan: Realiti, Globalisasi dan Harapan bersama Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat, Dr Mohd Nor Manuty, Timbalan Naib Cancelor HEP Unisel, Prof Madya Dr Zainal Abidin Kidam.

Wacana ini dijalankan sebagai acara pertama dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat, di sini bermula semalam hingga petang nanti.

"Bagaimana mungkin konsep pendidikan Islam ini dapat digapai matlamatnya jika kedapatan ramai pemimpin negara yang hanya mengagungkan ketuanan Melayu sahaja.

"Kerana itu, pendidikan Islam hanya akan berjaya bila adanya kepimpinan negara memahami Islam, perundangan dan media Islami yang menaikkan imej tokoh-tokoh yang berkecimpung dalam perjuangan pendidikan Islam.

"Lebih dari itu, transformasi pendidikan Islam hanya akan bermula dan berjaya dengan berlakunya reformasi dalam semua hal terutama politik, perundangan dan kepolisan," tegasnya.

Dalam hal ini, Ustaz Abdul Ghani menarik perhatian hadirin dengan menukilkan sepotong ayat Al-Quran bererti Tidak akan berjaya orang yang mengambil air laut dengan jari tangan terbuka untuk menggapainya ke muka kerana usaha dan impian tidak sama.

Justeru, jelasnya, kesatuan fikir mesti diseimbangkan terlebih dahulu dalam kalangan semua pihak kerana tanpanya, hasrat reformasi pendidikan Islam tidak akan berjaya apatah lagi jika ada yang hanya perjuangkan ketuanan tertentu.

Reformasi umat dan transformasi rakyat terutama dalam bidang politik, tambahnya, bakal menghasilkan kesan positif kepada sistem pendidikan negara.

Read more ...

Bonus kepada peneroka, tidak ada yang luar biasa

Mazlan: Beri Bonus Perkara Biasa, Jangan Diskriminasi Peneroka


SHAH ALAM 26 Dis. : Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman menyifatkan pemberian Bonus Insentif Produktiviti kepada peneroka tanah rancangannya di seluruh negara bukan suatu perkara yang luar biasa.

Malahan ia adalah penghargaan tahunan kepada para peneroka.

FELDA akan membayar bonus berkenaan kepada peneroka tanah rancangannya di seluruh negara berjumlah RM100,9 juta bagi menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara.

"Sebenarnya tidak ada sesuatu yang luar biasa dengan pengumuman ini kerana insentif ini memang diberikan setiap tahun berdasarkan hasil yang dihantar oleh peneroka ke kilang FELDA," katanya.

Terbaru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kadar bayaran bonus yang dibayar pada tahun ini ialah minimum RM400 dan maksimum RM1,200 bergantung kepada penghantaran hasil.

Menurut Mazlan apa yang menghairankan pemberian insentif yang diberikan sepatutnya berdasarkan harga semasa komuditi pasaran.

"Sepatutnya jumlah itu lebih besar kerana pada tahun ini harga komoditi melonjak naik diparas yang tinggi," katanya.

Selain itu, Mazlan turut menyifatkan pemberian insentif hanya kepada peneroka yang menghantar hasil kepada FELDA adalah satu diskriminasi kerana peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka, tidak dibayar bonus insentif ini.

"Terdapat diskriminasi dalam penetapan antara peneroka yang menghantar hasil mereka kepada FELDA dengan peneroka yang menguruskan secara persendirian.

"Sepatutnya tidak berlaku diskriminasi ini kerana peneroka yang menguruskan sendiri, walaupun mereka tidak berurusan dengan FELDA tetapi hasilnya mereka tetap jual kepada FELDA," ujarnya.

Beliau ketika dihubungi Tv Selangor berkata peneroka yang menguruskan hasil mereka secara sendiri sepatutnya menerima layanan yang sama dari FELDA.

Tambahnya lagi, pengumuman pemberian bonus RM100.9 juta kepada peneroka itu hanyalah satu gimik meraih undi di kala Pelihanraya Kecil DUN Tenang.

"Gimik untuk meraih undi, saya percaya mereka akan buat majlis besar-besaran tertamanya di DUN Tenang untuk mengambarkan Kerajaan menghargai peneroka dengan memberi peruntukkan RM100 juta sedangkan insentif itu datang dari wang peneroka dan intensif yang diberikan pun kecil jika dibandingkan

dengan harga komuditi semasa dan ini tidak bebaloi kepada peneroka untuk tanah seluas 10 ekar.

"Kalau mereka mahu jadikan ini sebagai kempen Pilihanraya Kecil DUN Tenang, kerana di Tenang terdapat tiga tanah rancangan FELDA, saya rasakan ia tidak sewajarnya dijadikan satu bahan kempen," katanya.

Read more ...