Monday, December 13, 2010

Najib bukan gelabah biasa tapi gelabah bewak

Najib sahkan BN terdesak



















KUALA LUMPUR, 13 Dis. :
Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan berhubung kenyataannya bahawa tidak ada kerajaan lain yang boleh mentadbir Malaysia selain Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu amat berbahaya dan menggambarkan BN sedang membuat perancangan untuk melakukan rampasan kuasa sekiranya mereka tewas dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Ini satu kenyataan yang berbahaya kepada proses demokrasi dalam negara kita. Ia memberikan gambaran bahawa kalau Umno BN tak menang, siapa pun tak menang.

"Ini menimbulkan tanda tanya apakah sebenarnya yang akan dilakukan, apa yang akan berlaku selepas pilihan raya umum akan datang ini?

"Adakah ini bermakna satu rusuhan akan dilakukan oleh Umno BN atau adakah Najib melalui Menteri Dalam Negeri yang juga sepupu beliau dan Menteri Pertahanan yang merupakan bekas setiausaha beliau suatu masa dahulu aan melakukan satu rampasan kuasa atau kudeta melalui ketenteraan dalam negara kita?" katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata, Najib seolah-olah terdesak dan tidak yakin mampu mempertahankan BN sehingga mengeluarkan kenyataan berbau ugutan.

"ni satu ugutan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan juga bukan sekadar ugutan tapi seperti persiapan dan perencanaan untuk menghadapi pilihan raya.

"Perdana Menteri sendiri seakan-akan tidak yakin untuk menang tapi pasti tidak akan ada pihak lain yang akan menang," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam sidang media sama berkata, kenyataan Najib itu merupakan satu tamparan kepada rakyat Malaysia.

"Kita minta Perdana Menteri buat kenyataan yang jelas, sekiranya rakyat memilih selain daripada BN, mereka akan serah kuasa dengan cara yang bertangungjawab dan amanah seperti mana dalam proses demokrasi," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, kenyataan itu menggambarkan BN seolah-olah berniat melanggar proses demokrasi di negara ini.

"Ini menggambarkan sebenarnya Umno/BN tidak mengamalkan konsep demokrasi berparlimen,tidak percaya kepada pilihan raya malah awal-awal lagi mengugut dan memberi isyarat bahawa itulah sikap beliau dan sikap Umno BN.

"Ini ternyata bercanggah dengan segala yang kita perjuangkan selama ini.

"Keadaan ini mengimbau senario di negara Ivory Coast di Benua Afrika, apabila pihak yang tewas enggan mengosongkan Istana Presiden, walaupun tewas dalam pilihanraya," katanya.

Sabtu lalu, Najib mengeluarkan kenyataan demikian yang disiarkan media arus perdana.

Read more ...

Anwar nak jejalah, Umno susah hati pula

Anwar jelajah Malaysia jelas isu Wikileaks











KUALA LUMPUR, 13 Dis. : Ketika berhadapan dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan melalui Wikileaks, hari ini PKR mengeluarkan jadual penuh ceramah perdana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menjelajah ke seluruh negara bermula 14 hingga 19 Disember ini.

Beliau dijadualkan berucap bersama para pemimpin Pakatan Rakyat iaitu PAS dan DAP bermula malam esok 14 Disember di tapak pasar malam Taman Melwati, Wangsa Maju Wilayah Persekutuan.

Turut akan berucap di majlis itu nanti adalah anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad,Teresa Kok, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Datuk Dr Tan Kee Kwong dan Ibrahim Yaacob.

Wikileaks melalui media Australia telah mendedahkan pelbagai dokumen yang bersumberkan para pemimpin dan diplomat Singapura. Antaranya mendakwa, musuh politik Anwar telah membuat perangkap untuknya dan Anwar telah memasuki perangkap itu.

Turut didedah adalah kenyataan para diplomat Singapura yang berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bimbang kalau hilang kuasa kerana takut beliau akan didakwa. Sehingga kini media gagal mendapatkan sebarang komen dari Najib mengenai hal ini.

Namun begitu, Anwar telah mempertikaikan laporan ini dan mendesak mereka memberikan bukti ke atas dakwaan itu. Sebelum itu, Anwar mencadangkan ia adalah kerja para SB (polis cawangan khas) Malaysia dengan Singapura.

Anwar dipercayai akan menjawab secara terperinci segala tuduhan ini dalam siri ceramah perdana yang disusun untuk beliau ini.

Selepas ceramah perdana pertama di Kuala Lumpur, pada 16 Disember beliau akan turun ke Malaka dan Negeri Sembilan pula. Mula-mula beliau akan berucap di Dataran Muhibah, Kampong Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan.

Selepas ceramah itu, beliau akan bergegas ke Markas PAS Paya Dalam, Air Molek, Melaka. Di kedua-dua tempat itu, pemimpin PAS dan PKR akan turut berucap bersama beliau.

Pada 17 Disember, beliau akan turun pula ke Markas PAS Cegar Medang, Jalan Benus, Bentong, Pahang untuk memberikan tazkirah Maghrib sebelum memberikan ceramah perdana di Himpunan Perdana Peneroka Felda yang berlangsung Markas PAS Kawasan Bera, Mengkarak, Bera, Pahang.

Pada 18 Disember pula, Anwar akan turun ke Pulau Pinang dan akan memberikan tazkirah Maghrib di Markas PAS Negeri Perak, Air Kuning, Changkat Jering, Bukit Gantang. Selepas itu beliau akan menyertai Majlis Makan Malam KeADILan di Dewan Cina Perkampongan Juru, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Selepas itu, beliau akan bergegas ke majlis Ceramah Perdana yang akan diadakan di Padang Bola Balik Pulau, Pulau Pinang.

Keesokan harinya, beliau akan menyertai pemimpin Pakatan Rakyat yang lain dalam Konvensyen Ke 2 Pakatan Rakyat yang akan diadakan di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Read more ...

Siapa Timbalan Menteri Umno tolong kroni bolot kontrak RM 2 bilion?

Timbalan Menteri Dalang Bolot Kontrak RM2 Bilion- Saifuddin

http://lh4.ggpht.com/_6tdk7AOit98/SKTZ-kelQrI/AAAAAAAABxM/jAph_jjx8sU/IMG_5034.jpg

SHAH ALAM, 3 Dis. : Seorang Timbalan Menteri Umno-Barisan Nasional(BN) didakwa terbabit dalam membolot kontrak Kementerian Pertahanan dianggarkan bernilai RM2 bilion, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Berucap di Shah Alam dalam satu ceramah perdana semalam Saifuddin menjelaskan kepada hadirin bahawa kesemua syarikat berkenaan dimiliki oleh seorang pemimpin Umno dengan mengunakan alamat terletak di Bukit Gantang, Perak.

"Satu saja alamat bekal makanan kepada kementerian pertahanan, dia, bekal kenderaan, dia, kemudahan perubatan , dia, pakaian, dia, bernilai 2 ribu juta ringgit, seorang, dia saja," jelas beliau.

Katanya lagi, seorang timbalan menteri mendalangi keseluruhan senario ini dan kebetulannya timbalan menteri berkenaan tiada semasa beliau dan Ketua Pembangkang membentangkan isu ini di Parlimen dua minggu lalu.

Semasa mencelah pembentangan Anwar berkenaan isu ini di Parlimen, beliau memberitahu bahawa seorang timbalan menteri yang mendalangi rangkaian yang bertanggungjawab membolot kekayaan.

"Saya kata apakah Permatang Pauh (Anwar) sedar bahawa tokoh Umno yang membolot ratusan juta kontrak makanan, pakaian, perubatan, kenderaan untuk Kementerian Pertahanan itu, dibelakangnya juga adalah rangkaian yang membabitkan timbalan menteri yang kalau cakap saja ketuanan Melayu, bela Melayu, ketuanan Melayu. Belakang, ratusan juta kontrak kamu balun seorang," tegas beliau.

Kata beliau, begitu banyak rakyat Melayu terpukau dengan isu ketuanan Melayu yang diapi-apikan oleh Umno-BN tetapi kekayaan negara juga dibolot oleh Umno-BN dan suku-sakatnya dengan menggunakan isu yang sama.

Read more ...

Ini la kerja buat Umno pentingkan kroni, rakyat tanggung rugi

Lebih 10,000 Pembeli Rumah Di Kuala Selangor Alami Rugi Projek Terbengkalai










KUALA SELANGOR, 13 Dis. : Kira-kira 10,000 pembeli rumah di Kuala Selangor mengalami kerugian apabila projek perumahan yang dirancang sejak 10 tahun lalu terbengkalai kerana menghadapi pelbagai masalah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia melibatkan antara 10 hingga 12 projek perumahan yang diluluskan kerajaan negeri yang terdahulu menyebabkan pembeli menanggung kerugian.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengambil serius masalah ini dan akan cuba menyelesaikannya secara berperingkat menggunakan pelbagai cara termasuk mengambil alih tanah untuk pembangunan semula.

"Pengambilalihan tanah ini akan membolehkan Kerajaan Negeri membangunkan semula projek berkenaan seperti yang dilakukan di Bukit Botak dan Bandar Alam Perdana," kata Menteri Besar.

Beliau berkata demikian pada majlis turun padang bersama ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Penghulu Daerah Kuala Selangor, hari ini.

Menteri Besar juga berkata, Kerajaan Selangor telah mempermudahkan pemberian geran tanah kepada penduduk yang menduduki tanah itu selama lebih 15 tahun dan belum memiliki rumah.

Bagaimanapun Menteri Besar berkata, setiap pemohon hanya akan dibenarkan mendapat satu geran tanah bagi mengelak penyelewengan di samping memberi keadilan kepada mereka yang layak.

Selepas mengadakan perbincangan dengan JKKK dan Penghulu, Menteri Besar melawat Pejabat JKKK Bukit Badong untuk mendengar taklimat berhubung pembangunan ekonomi dan aktiviti sosial di kawasan itu.

Menteri Besar kemudian dibawa melawat premis membuat perabot, Idyan Jaya Enterprise, ladang arnab yang menternak lebih 30,000 arnab dari pelbagai spesis dan merasmikan sepak mula perlawanan akhir futsal liga tempatan.

Majlis turun padang bersama JKKK dan Penghulu akan diperluaskan ke semua daerah di Selangor untuk membolehkan pimpinan negeri mendapat gambaran sebenar masalah yang dihadapi penduduk.

Read more ...

Tuduh PR pengkianat sedangkan dia bapak pengkianat

Isu FELDA: Najib Pengkhianat Sebenar- Dr Tan Kee Kwong


















SHAH ALAM, 13 Dis. : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai pengkhianat sebenar oleh Mantan Timbalan Menteri yang bertanggungjawab menjaga FELDA, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Ini kerana katanya rizab tunai agensi itu susut mendadak selepas Najib mengambil alih syarikat itu pada tahun 2005.

Tegasnya, tindakan terdesak itu juga ujarnya disebabkan Najib ingin menjaga 40 kerusi Parlimen yang terletak di bawah kawasan FELDA seluruh negara.

Dihubungi Tv Selangor Dr Tan berkata, selepas Najib mengambil alih pengurusan FELDA, rizab tunai lembaga itu jatuh daripada RM4.5 bilion kepada RM1.2 bilion.

Beliau mendakwa Najib sebagai individu yang bertanggungjawab penuh ke atas FELDA membazirkan RM3 bilion melalui pelaburan anak syarikatnya, FELDA Global Ventures.

FELDA juga baru-baru ini kata Dr Tan, cuba meminjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat kekurangan rizab tunai walaupun aset dari hartanah dan pegangan sahamnya banyak.

"Banyak lagi kes peneroka yang tidak berpuas hati tentang Tabung Tanam Semula.

"Dua bulan lalu, ada satu kes yang melibatkan peneroka berusia 60 tahun yang melalui skim tabung tersebut telah menyimpan sebanyak RM17,000.

"Oleh disebabkan alat-alat dan baja di bawah skim FELDA mahal, beliau menggunakan wang sendiri dan apabila beliau mahu menuntut wang tersebut, FELDA kata tak boleh," jelasnya.

Beliau yang mempersoalkan tindakan tersebut, menggesa supaya FELDA melantik syarikat akauntan untuk menjalankan audit dalaman terhadap akaun lembaga tersebut.

Dr Tan turut mempertikaikan kenyataan Najib di mana FELDA juga mempunyai 45 anak syarikat yang tidak diberikan butiran termasuk pelaburan luar negara RM3 bilion di Amerika Syarikat.

"Bagilah semua butir-butir, sebab kita tidak tahu apakah butir-butirnya tetapi beliau tidak jawab langsung," ujarnya.

Tambahnya, apabila FELDA kalah dalam kes Kadar Perahan Gred (KPG) di FELDA Kemahang 3 di Kelantan, Najib turut menyalahkan peguam di mana menyebabkan peneroka semakin marah dengan sikap sebenar kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata sebelum Najib dan pemimpin Umno membuat tuduhan, beliau harus melihat kembali tentang apa yang didedahkan oleh Dr Tan mengenai penyusutan rizab FELDA dari tahun 2004 sehingga 2009.

"Maknanya daripada sejumlah rizab FELDA menyusut daripada RM4 bilion kepada hanya RM1.3 bilion.

"Ia juga telah dikemukakan dalam Parlimen tentang kebenaran dakwaan Dr Tan dan telah dijawab oleh Datuk Ahmad Maslan selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Beliau telah mengaku bahawa wujud kemerosotan tersebut, jadi adakah dengan jawapan secara berterus-terang itu bahawa kononnya pihak pembangkang telah membuat pengkhianatan dan tuduhan mengatakan FELDA bankrap?," soalnya

Justeru, Mazlan menegaskan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab ke atas salah urus dan kemerosotan rizab tunai yang dipertanggungjawabkan ke atasnya ketika itu.

Semalam dalam satu ucapan di hadapan peneroka FELDA, Najib melabel golongan yang menuduh agensi itu bankrap sebagai pengkhianat.

FELDA pada ketika ini menyaman akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan yang menyiarkan laporan 'FELDA Bankrap' sehingga pihak Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan akhbar berpengaruh itu.

Read more ...

Tidak masuk akal

WikiLeaks: Risikan Singapura Tak Masuk Akal - Kim Quek











KUALA LUMPUR, 13 Dis.: Penganalisis politik Kim Quek menyifatkan sebagai tidak masuk akal rumusan agensi risikan Singapura kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim diperangkap oleh musuh politiknya untuk melakukan kesalahan seks.

Memetik Malaysiakini katanya, jika betul wujud perangkap sedemikian, sudah tentu pengadu Saiful Bukhari Azlan tidak menunggu sampai lebih dua hari sebelum melakukan pemeriksaan doktor pada Jun 2008.

Kim berkata jika benar Anwar diperangkap untuk melakukan sodomi, sudah tentu pihak yang memasang perangkap itu membawa Saiful melakukan pemeriksaan doktor serta merta.

Tetapi Saiful hanya berjumpa doktor dua hari selepas mendakwa dia diliwat. Ini penting bagi memelihara dan merekodkan bukti-bukti jenayah itu, menurut Kim. Sebaliknya Saiful hanya melakukan pemeriksaan selepas 48 jam.

Beliau mula-mula ke Hospital Pusrawi Kuala Lumpur namun doktor tidak menemui sebarang bukti menunjukkan Saiful diliwat.

Laporan awal doktor Hospital Kuala Lumpur juga mendapati tidak ada tanda-tanda tusukan pada dubur Saiful.

"Jika betul ada perangkap, kenapa pendakwaraya perlu naďf hak Anwar dapatkan dokumen," katanya.

Quek juga berkata jika pendakwaraya ikhlas dan komited untuk mencari kebenaran dan keadilan dalam kes Anwar, kenapa ketua pembangkang itu dinafikan hak untuk mendapatkan kenyataan Saiful kepada polis, laporan perubatan dan nota-nota doktor dan rakaman video di tempat kejadian.

Kim berkata selagi pihak berkenaan tidak memberi jawapan kepada persoalan-persoalan ini, rakyat Malaysia tidak harus melayan pendapat peribadi agensi risikan Singapura.

Read more ...

Jangan jadi Umno umpan rakyat semasa pilihanraya

Perubahan Bukan Sahaja Musim Pilihanraya-Khalid Ibrahim













KUALA SELANGOR, 13 Dis.: Kerajaan Negeri Selangor sentiasa membawa perubahan yang memanfaatkan rakyat dan bukannya membuat perubahan hanya semasa musim pilihanraya seperti yang dibuat oleh kerajaan negeri sebelumnya, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Macam dulu, sebelum pilihanraya kata 'setuju', lepas pilihanraya, 'tak tahu'; ataupun sebelum pilihanraya buat jalan, lepas itu habis pilihanraya, jalan tak siap pun dia tinggalkan. Masalah sebeginilah yang kita mahu selesaikan," kata Khalid pada Program Turun Padang Pemimpin Negeri Selangor Bersama Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Kuala Selangor yang diadakan di Kolej Inspen, Kuala Selangor hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedar JKKK mengharapkan satu perubahan yang cukup besar dan bukannya perubahan yang hanya berlaku setiap kali adanya pilihanraya kerana projek pembangunan yang dijalankan secara tiba-tiba semata-mata untuk mendapatkan undi tidak berkualiti dan ada juga para kontraktor yang diupah pada masa itu masih tidak dibayar.

Katanya lagi, ada juga wakil rakyat dahulu yang 'pejam mata' sanggup meluluskan projek mengusahakan tanah simpanan kerana takut tidak mendapat undi, sedangkan tanah tersebut tidak boleh digunakan untuk apa-apa projek.

Khalid seterusnya menjelaskan kepada hadirin bahawa kerajaan negeri Selangor telahpun memperuntukkan kira-kira RM600 juta untuk pembangunan seluruh negeri Selangor dan daripada jumlah itu, kira-kira RM200 juta diperuntukkan khusus untuk pembangunan masyarakat Islam.

"Peruntukan yang paling besar, hampir RM200 juta adalah untuk pembangunan pendidikan, perumahan, warga miskin, bagi masyarakat Islam, iaitu satu pertiga daripada keseluruhan bajet," kata beliau lagi.

Selain itu, beliau juga memberitahu berkenaan peningkatan elaun ketua kampung kepada hadirin.

"Elaun ketua kampung, kita dah setuju, kita telah buat pengumunan bahawa, oleh kerana kita mahu sama ratakan pendapatan ketua kampung, jadi kita tingkatkan elaun ketua kampung kepada RM800," kata beliau dihadapan kira-kira 300 ketua kampung dan ahli JKKK dari seluruh daerah Kuala Selangor.

Program yang bertujuan mendapatkan maklumbalas terus daripada rakyat berkenaan pentadbiran kerajaan negeri di daerah Kuala Selangor ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, para Ketua Jabatan Kerajaan Negeri, jurutera dan wakil daripada Majlis Daerah Kuala Selangor(MDKS) serta wakil Pejabat Tanah Daerah.

Read more ...

Polis kena beri penjelasan

PAS Desak KDN Jelas Polis Beri Maklumat Kepada Singapura













KUALA LUMPUR, 13 Dis. : PAS hari ini mendesak Kementerian Dalam Negeri menjelaskan tindakan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia menyerahkan maklumat kepada Singapura.

Turut dipersoalkan ialah apakah motif perisikan negara menyampaikan maklumat mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada perisikan asing.

"Dalam pendedahan yang dibuat Wikileaks, Najib disebutkan terbabit dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan perolehan kapal selam Scorpene," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"KDN perlu buat penjelasan berhubung perkara ini," tegas Mahfuz.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengingatkan media bahawa dokumen yang didedahkan Wikileaks itu adalah dokumen perhubungan yang mengandungi maklumat yang tidak disahkan sebagai tepat.

"Ini mungkin pendapat, atau perbualan sahaja. Tiada bukti yang kukuh. Sebelum ini ada pihak di negara ini dikaitkan kepada penjualan senjata, namun selepas siasatan dibuat, mereka didapati tidak bersalah," katanya.

Semalam, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya.

"WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.

"Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan antara ahli-ahli diplomat.

"Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee dan agensi perisikan negara itu," katanya.

Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.

Read more ...

Baca doa di majlis DAP : Jaga-jaga Umno dan Perkasa akan demo

Konvensyen DAP Pulau Pinang : Bacaan Doa Buat Kali Pertama


















PULAU PINANG, 13 Dis. : Konvensyen DAP Pulau Pinang 2010 yang berakhir semalam menempa sejarah tersendiri apabila bacaan doa berkumandang buat pertama kalinya dalam sebuah persidangan parti yang berusia 44 tahun itu di Pulau Pinang, yang selama ini diuar-uarkan sebagai parti cauvinis perkauman.

Lapor portal Malaysiakini bacaan doa selama lebih kurang empat minit itu dipimpinkan oleh Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar yang turut menegaskan bahawa Islam adalah untuk semua umat manusia tanpa mengira kaum, fahaman politik mahupun darjat.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum membaca doa tersebut, Yaacob berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak untuk membaca doa dalam majlis yang kebanyakannya dihadiri oleh bukan Islam kerana ajaran Islam itu membawa kebaikan kepada semua yang mengamalkannya.

Bacaan doa tersebut berkumandang sejurus selepas hampir 650 perwakilan yang menyertai konvensyen itu selesai menyanyikan lagu Negaraku, Lagu negeri Pulau Pinang dan lagu rasmi parti, demikian menurut kenyataan pejabat ketua menteri Pulau Pinang.

Puluhan ahli DAP berbangsa Melayu yang hadir di konvensyen sehari itu menadah tangan mengaminkan doa berkenaan di samping beberapa ahli PAS Pulau Pinang yang turut hadir sebagai tanda sokongan atas perjuangan bersama dalam Pakatan Rakyat.

Bacaan doa bagi memohon kesejahteraan para peserta persidangan tersebut selain meminta pertolongan dan rahmat Allah Taala agar memberkati majlis dan perjuangan parti berkenaan adalah sesuatu yang asing bagi mana-mana DAP sebelum ini.

DAP sering dituduh cauvinis kaum kerana bilangan keanggotaannya yang lebih memihak kepada masyarakat Cina dan dakwaan cuba untuk meminggirkan orang Melayu serta India di negara ini.

Konvensyen kali ini turut menyaksikan lapan calon Melayu daripada keseluruhan 88 calon yang bertanding untuk merebut 15 kerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang dalam pemilihan dwi-tahunan itu, namun kesemua lapan calon itu kalah.

Namun, jawatankuasa DAP negeri memutuskan untuk melantik calon tunggal Melayu, Zulkifli Mohd. Noor untuk menganggotai jawatankuasa itu bagi penggal 2010 hingga 2012.

Selain Zulkifli, antara calon-calon Melayu yang bertanding ialah Kamarulzaman Mohd. Sharif, Mohd. Razali Abdul Rahim, Nurul Baizura Ismati, Yusof Mohamad, Rozaini Abdul Kadir dan Suhaimi Chee Mugther.

Read more ...

Umno perlukan SYABAS di Selangor

SYABAS Biayai Umno?













SHAH ALAM, 13 Dis. : Sebahagian daripada hasil keuntungan Syarikat Bekalan Air Selangor(SYABAS) digunakan oleh pimpinan syarikat itu untuk membiayai aktiviti Umno termasuk kempen bagi pilihanraya kecil Hulu Selangor yang lalu, kata Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Yaakob Sapari.

“Ada yang mengatakan syarikat ini menjadi penyumbang terbesar kepada Umno, Selangor khususnya. Dan kita lihat di pilihanraya kecil Hulu Selangor syarikat inilah yang menaja pemuda-pemuda Umno untuk menentang kerajaan negeri,” kata beliau kepada TVSelangor.

Syarikat konsesi SYABAS dan Puncak Niaga menjadi paksi kemelut air di Selangor yang telah berlarutan sejak hampir dua tahun.

Pengerusinya Tan Sri Rozali Ismail adalah bendahari Umno Selangor dan juga bendahari Umno Hulu Selangor. Beliau laporkan meraih gaji lebih RM400,000 sebulan dan sering mengeluarkan kenyataan mencemuh pimpinan Pakatan Rakyat.

Rozali memiliki 40 peratus saham Puncak Niaga yang mempunyai 70 peratus pegangan ekuiti dalam SYABAS.

SYABAS menyaman kerajaan negeri kerana enggan membenarkannya menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus, sebagaimana yang dipersetujui dengan kerajaan negeri Umno-Barisan Nasional(BN) sebelum ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat mahu mengambil alih aset SYABAS dan tiga syarikat konsesi lain dan menguruskan pengurusan industri air bagi memastikan rakyat Selangor tidak dibeban dengan harga air tinggi.

SYABAS menolak tawaran yangdibuat sebelum ini dan minggu lalu Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan SYABAS, Puncak Niaga, Abass dan Splash akan ditawar semula menyerahkaN aset mereka pada harga RM6bilion.

Yaakob berkata walaupun untung SYABAS diguna untuk tujuan politik dan melawan Pakatan Rakyat, kerajaan negeri tidak bermusuhan dengan syarikat itu.

“Tidak bermusuh,hanya kerajaan negeri menuntut penstrukturan semula pengurusan air negeri Selangor yang mana aset air ini adalah hak rakyat negeri Selangor,” kata beliau.

“Usaha kita ini hanya untuk memulangkan (hak air kepada rakyat). Kita tidak mengambilnya dengan percuma sedangkan kita serahkan pada mereka tanpa caj tambahan. Semuanya telah bersedia. Jadi apabila kita meminta balik aset yang kita berikan kepada mereka apa salahnya? Dan kita tidak mengambil atas kerugian. Kerajaan negeri membuat tawaran disamping hutang-hutang syarikat tersebut dan ditambah untung kehadapan pun kita bayar,” tambah beliau.

Yaakob berkata rundingan untuk membolehkan kerajaan negeri menguruskan industri air di Selangor dicantas oleh beberapa pihak yang ada kepentingan tertentu dengan agenda tersembunyi.

“Ini yang pasti, ada tangan ghaib di belakang yang menghalang usaha ini dari berjaya,dan orang nak menghalang kerajaan ini tidak berjaya. Mereka hendak beritahu kepada umum bahawa kerajaan negeri konon gagal untuk menstruktur semua industri air," kata beliau.

Read more ...

Utusan pakar putar belit

Wikileaks - Utusan Tutup Kes Najib-Altantuya, Dan Fitnah Anwar Sekali Lagi











KUALA LUMPUR, 13 Dis. : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam 'twitter'nya mencabar pihak yang menfitnahnya atas tuduhan liwat untuk mengemukakan bukti . Beliau juga mahukan pihak sama menyokong supaya pendedahan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaaribuu disiasat.

Anwar menegaskan bahawa sistem keadilan tempang apabila menafikan beliau hak mendapatkan dokumen perubatan awal serta bukti-bukti lain manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menghalang beliau mengambil sumpah qazaf di mahkamah syariah.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan muka depan mengenai pendedahan Wikileaks bersabit tuduhan liwat ke atas Anwar.

Seperti yang dijangka, Utusan menggunakan komen-komen pegawai dan pemimpin Singapura dan agensi risikan Australia untuk cuba memberi gambaran bahawa ketua pembangkang itu salah.

Malah Utusan memutar belitkan laporan yang dibawa oleh Sydney Morning Herald. Akhbar Australia itu berkata agensi risikan Australia berpendapat Anwar menjadi mangsa perangkap yang dipasang oleh kerajaan atau polis Malaysia. Utusan “memadamkan fakta” itu dan hanya mendakwa Anwar kononnya melakukan perbuatan itu walaupun tahu beliau akan didakwa.

Pada masa sama Utusan TIDAK menyiarkan pendedahan Wikileaks bahawa pegawai diplomatik Singapura menyifatkan Najib sebagai pemimpin oportunis, yang terdesak untuk mempertahankan kedudukan politiknya kerana mahu menyelamatkan diri dari kes pembunuhan Altantuya.

Pandangan itu dibuat oleh beberapa pegawai kanan Singapura dalam perbincangan dengan rakan sejawat mereka dari Amerika Syarikat, menurut Wikileaks.

Transkrip kabel perhubungan yang didedahkan oleh wikileaks dan disiarkan oleh Akhbar Australia, The Sunday Age melaporkan, kabel perhubungan antara pegawai kanan Singapura yang dikenali sebagai Peter Ho, Bilahari Kausikan dan Tommy Koh dengan rakan sejawat mereka dari Amerika Syarikat.

Menurut laporan tersebut, mereka memperlekehkan Najib, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin lain dalam Umno dan Barisan Nasional yang disifatkan sebagai lemah.

Najib juga dilabelkan sebagai seorang opportunis dan 'kemerosotan' Malaysia disebabkan oleh kepimpinanan dan ahli politik parti memerintah yang lemah.

Namun semua ini tidak dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang hanya memberi tumpuan kepada apa yang dinyatakan mengenai Anwar sahaja. Anwar tidak mengelak diri daripada tuduhan itu dan menjawab bahawa pihak yang membuat tuduhan harus tampil memberikan bukti.

Namun Perdana Menteri Najib berdiam diri terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pegawak diplomatik Singapura walaupun mereka mengkritik kerajaan Malaysia sendiri dan menjejaskan kredibiliti negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail berkata laporan akhbar Australia, The Sydney Morning Herald mengenai pendedahan Wikileaks ditulis berdasarkan pendapat peribadi ahli diplomat Singapura mengenai jiran serantau di dalam ASEAN, Jepun, China dan India.

Ujar Saifuddin, rakyat di negara ini perlu meneliti secara keseluruhan maklumat-maklumat lain yang turut didedahkan oleh Wikileaks.

"Salah seorang pegawai diplomatik negara itu, Bilahari Kausikan dalam satu mesyuarat pada September 2008 memberitahu Timbalan Setiausaha Pertahanan AS David Cheney bahawa "ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia" yang akan menyebabkan orang Cina "meninggalkan" Malaysia dan "menyusahkan" Singapura,” kata Saifuddin.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail tidak menolak kemungkinan syarikat perunding pro-Zionis l, Apco Worldwide menjadi dalang kebocoran rahsia negara kepada laman web Wikileaks berhubung isu fitnah liwat kedua terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang dihubungi Tv Selangor berkata perlantikan Apco sebagai penasihat kepada pentadbiran Najib merupakan bukti kukuh bahawa syarikat itu mempunyai akses penuh kepada keseluruhan maklumat kerajaan.

Read more ...

PRU 13 : BN dan PR seri

RPK - Parlimen Majoriti Tergantung Selepas PRU13














KUALA LUMPUR, 13 Dis. : Pengarang laman Malaysia-today.net, Raja Petra Kamarudin meramalkan Malaysia akan menuju seperti keadaan di Britain pada pilihanraya umum (PRU13)akan datang.

Dalam satu siaran langsung dari London melalui internet, Raja Petra atau lebih dikenali RPK meramalkan senario selepas PRU13 akan menjadi seperti 'parlimen tergantung' atau ertikata lain parlimen yang mempunyai majoriti yang sama dengan sistem dua parti.

Kedudukan tersebut akan menyaksikan kedua-dua parti tidak memiliki kelebihan majoriti dan terpaksa bergantunng atau memujuk parti lawan untuk meluluskan sesuautu rang undang-undang baru.

RPK, 60 tahun, berkata demikian menjawab kepada satu soalan oleh peserta yang menghadiri forum awam Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) yang bertanyakan gabungan politik manakah bakal membentuk kerajaan baru selepas PRU13.

MCLM, adalah sebuah badan bebas yang diasaskan bersama oleh RPK dua bulan lalu yang dianggotai oleh rakyat MMalaysia di luar negara yang mahukan pembahruan politik dengan menawarkan parti-parti politik tempatan sekumpulan profesional dan aktivis hak asasi manusia yang tidak memihak kepada mana-mana pihak untuk bertanding sebagai calon pada PRU13.

RPK juga telah menamakan aktivis dan peguam terkenal, Malik Imtiaz sebagai calon pertama MCLM manakala calon-calon lain akan diumumkan kemudian di Kuala Lumpur.

Beliau yang kini menetap di United Kingdom menjelaskan bahawa pandangannya berasaskan kepada rasa tidak puashati yang semakin memuncak di kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak yang menurut pandangan beliau merupakan pembekal sokongan majoriti kepada Barisan Nasional sejak berdekad lalu.

“Bagaimana Pakatan mengendalikan Malaysia timur akan memberikan faktor jelas siapa bakal membentuk kerajaan," kata beliau kepada hadirin di forum tersebut.

Beliau juga menekankan bahawa Sabah, Sarawak dan Labuan yang sebelum ini secara tradisi adalah sumber pengundi Barisan Nasional mula melahirkan rasa kecewa kerana tidak diberikan perhatian dan pembelaan dan hanya dianggap sebagai 'bank undi' sahaja.

Berikutan itu, beliau meramalkan akan wujud perubahan dalam corak pengundian berikutan sentimen tersebut.

"Buat masa ini, sentimen saya adalah akan banyyak berlaku pertandingan tiga penjuru di Malaysia timur yang bakal menyaksikan lebih banyak calon bebas bertanding'" katany lagi.

Kedua-dua Sabah dan Sarawak serta Labuan memberikan 57 kerusi dari sejumlah 222 kerusi di Dewan Rakyat, yakni hampir satu pertiga ahli dewan di Parlimen.

Read more ...

Polis bebankan rakyat melalui saman ekor

Saman Ekor: Kerajaan Digesa Bertimbang Rasa













SHAH ALAM, 13 Dis.: Kerajaan digesa supaya bertimbang rasa berkenaan isu saman ekor yang dilihat cukup membebankan rakyat ditambah dengan kenaikkan harga barangan, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Jelas Nizar, harga minyak naik...petrol naik...diesel naik...gas naik. Maka kalau kerajaan boleh memaafkan kepada mereka yang mempunyai kesalahan trafik ini bermula daripada 2004 sehingga barangkali 2010, semuanya dimansuhkan.

"Inilah hasrat Pakatan Rakyat, awal-awal lagi kita sudah beritahu, kalau kita sampai ke Putrajaya, pertama sekali kita lihat sama ada saman ekor ini, adil atau tidak? katanya ketika ditemui Tv Selangor.

Beliau diminta mengulas pertimbangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mahu menimbang membekalkan gambar kesalahan memandu melebihi had laju yang dirakam polis trafik kepada pemandu yang disaman melalui saman ekor.

"Kita lihat satu kes di Sabah atau di Sarawak, mahkamah membuat keputusan ia tidak adil, maka di situ kita boleh membuat pendahuluan untuk memansuhkan saman-saman ekor ini," katanya.

Sebelum ini di Sarawak mahkamah di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang –lawan- Director Of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.

Ini kerana, tindakan menyenaraihitamkan kenderaan atas sebab saman ekor adalah bertentangan dengan seksyen 17 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan merupakan satu perlanggaran kepada Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Kami sebagai ahli parlimen Pakatan Rakyat turut merayu supaya saman ekor ini diketepikan dan jika sekiranya mereka betul-betul menyalahi undang-undang maka kita buat saman yang baru pada tahun 2011," tambah Nizar.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang diterajui Datuk Mahfuz Omar giat membantah isu ini diparlimen.

Pada 5 Ogos lalu, KASE bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.

Dalam pertemuan itu KASE meminta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.

Read more ...

Najib tak yakin menang PRU 13

Najib Tekad Langgar Proses Demokrasi?














KUALA LUMPUR,13 Dis.: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Sabtu lalu bahawa tidak ada kerajaan lain yang boleh mentadbir negara ini dianggap seolah-olah tekad melanggar proses demokrasi, kata Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Berikutan itu juga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Najib tampil membuat pendirian berhubung kenyataannya yang seolah-olah menunjukkan Barisan Nasional tidak akan sama-sekali menyerahkan kuasa kepada gagasan politik yang dipilih rakyat selain dari BN.

"Keadaan ini mengimbau senario di negara Ivory Coast, apabila pihak yang tewas enggan mengosongkan Istana Presiden, walaupun tewas dalam pilihanraya," tegasnya.

Di sidang akhbar yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata pendirian Najib itu adalah satu tamparan kepada rakyat Malaysia.

"Adakah PM akan menidakkan pilihan rakyat? Saya cabar PM untuk menyatakan beliau sanggup menyerahkan kuasa kepada pembangkang, sekiranya BN tewas,"

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata kenyataan Najib itu membayangkan BN bersedia untuk merampas kuasa sekiranya BN tumpas dalam PRU13 akan datang.

"Perdana Menteri nampaknya tidak yakin BN akan membentuk kerajaan selepas PRU13. Beliau tidak memberi pihak lain peluang untuk mentadbir negara," kata Mahfuz.

Sebelum ini dalam ucapan di perhimpunan agung Umno yang lalu Najib turut melaungkan mesej akan tetap mempertahankan Putrajaya biarpun terpaksa berkecai tulang.

Semalam akhbar Austarlia mendedahkan ketidakyakinan pegawai atasan Singapura terhadap Najib dalam mentadbir negara berdasarkan kepada sumber wikileads.

Read more ...

Sunday, December 12, 2010

Buluh bukan sebarang buluh, buluh ini untuk palu BN

Tabung Buluh Untuk PAS













TEMERLOH, 13 Dis.: Semua peminpin dan ahli PAS di seluruh negara di cadangkan agar membuka 'Tabung Buluh Untuk PAS' bagi mempersiapkan parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan itu bertujuan untuk membolehkan PAS benar-benar bersedia dari segi kewangan di samping mempersiapkan calon PAS yang hendak bertanding agar setia dengan jamaah.

Beliau mencadangkan, tabung itu nanti hendaklah diserahkan sendiri oleh ahli PAS berkenaan kepada calon PAS yang hendak bertanding dan disertakan dengan amanat agar calon itu sedar bahawa mereka menjadi wakil rakyat nanti atas keringat semua ahli.

Secara simboliknya, beliau mencadang, tabung itu akan diserahkan kepada calon berkenaan ketika beliau diumumkan sebagai calon PAS nanti.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau mendapat idea itu berdasarkan kunjungan beliau ke satu majlis di Johor baru-baru ini yang menyaksikan satu majlis penyerahan tabung buluh dari ahli PAS untuk Unit Peti Undi (UPU) kawasan berkenaan.

"Saya ingin ubah sedikit. Dari kita serahkan kepada UPU, apa kata kita serahkan terus kepada calon yang hendak bertanding nanti dan kita tuliskan amanat kepada beliau di tabung itu nanti," kata Tuan Ibrahim.

"Apabila kita semua menyumbangkan wang untuk calon kita dan dengan amanat itu, kita yakin tidak akan ada mana-mana calon kita akan khianat kerana mereka sedar mereka menang adalah atas usaha semua ahli dan penyokong.

"Jadi secara spiritualnya, kita akan menghalang dari wakil rakyat kita lompat parti, khianat dan sebagainya," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim yakin, semua orang mempunyai wang syiling yang berlebihan ketika pulang ke rumah atau sampai ke pejabat.

(Gambar: Memecahkan tabung buluh di Padang Luas, Besut..Foto blog Pemuda Besut)

"Dari memberatkan poket, baik kita masukkan ke dalam tabung buluh ini dan kita dapat pahala yang besar," kata beliau.


Padang Luas

Sementara itu, amalan mengumpulkan dana untuk parti melalui tabung buluh sudah diamalkan oleh PAS Padang Luas, Besut, Terengganu.

Pada 4 Disember lepas, mereka mengadakan majlis pecah tabung yang telah mereka edarkan kepada ahli-ahli mereka sejak Jun lalu.

Di majlis itu, berpuluh-puluh tabung buluh dipecahkan untuk mengeluarkan wang syiling dan kertas yang dikumpulkan oleh ahli-ahli mereka.

Menurut Abdullah Mamat, Ketua UPU Padang Luas, program menabung ini akan diteruskan lagi selepas ini.

Beliau juga menyeru para dermawan supaya turut tampil membantu menyumbang dana dalam usaha mengembalikan kemenangan DUN Jerteh, khususnya UPU Padang Luas dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Bandar Tasik Puteri


Di Selayang, PAS cawangan Bandar Tasik Puteri telah menggunakan pendekatan yang sama untuk mengumpulkan dana sejak setahun yang lalu.

(Gambar: Membilang hasil tabungan di Padang Luas, Besut...Foto blog Pemuda Besut)

Memandangkan buluh sukar diperolehi di kawasan mereka, AJK cawangan telah membeli tabung-tabung besi yang dijual di kedai-kedai dan diedarkan kepada AJK dan ahli-ahli mereka.

Dengan kos tabung RM5 setiap satu, mereka boleh mengumpulkan antara RM15 ke RM30 setiap tabung pada setiap bulan dari tabung itu.

"Pada setiap kali mesyuarat, semua AJK akan membawa tabung masing-masing. Sebelum memulakan mesyuarat kita buka tabung itu dan kira isinya. Kami akan perolehi kira-kira RM200 hingga RM300 setiap bulan dari tabung-tabung ini," kata Bendahari PAS cawangan itu, Saudara Anuar.

Wang dari tabung inilah, kata Anuar, membiayai banyak aktiviti PAS di cawangan itu.

Read more ...