Monday, December 13, 2010

Polis bebankan rakyat melalui saman ekor

Saman Ekor: Kerajaan Digesa Bertimbang Rasa













SHAH ALAM, 13 Dis.: Kerajaan digesa supaya bertimbang rasa berkenaan isu saman ekor yang dilihat cukup membebankan rakyat ditambah dengan kenaikkan harga barangan, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Jelas Nizar, harga minyak naik...petrol naik...diesel naik...gas naik. Maka kalau kerajaan boleh memaafkan kepada mereka yang mempunyai kesalahan trafik ini bermula daripada 2004 sehingga barangkali 2010, semuanya dimansuhkan.

"Inilah hasrat Pakatan Rakyat, awal-awal lagi kita sudah beritahu, kalau kita sampai ke Putrajaya, pertama sekali kita lihat sama ada saman ekor ini, adil atau tidak? katanya ketika ditemui Tv Selangor.

Beliau diminta mengulas pertimbangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mahu menimbang membekalkan gambar kesalahan memandu melebihi had laju yang dirakam polis trafik kepada pemandu yang disaman melalui saman ekor.

"Kita lihat satu kes di Sabah atau di Sarawak, mahkamah membuat keputusan ia tidak adil, maka di situ kita boleh membuat pendahuluan untuk memansuhkan saman-saman ekor ini," katanya.

Sebelum ini di Sarawak mahkamah di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang –lawan- Director Of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.

Ini kerana, tindakan menyenaraihitamkan kenderaan atas sebab saman ekor adalah bertentangan dengan seksyen 17 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan merupakan satu perlanggaran kepada Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Kami sebagai ahli parlimen Pakatan Rakyat turut merayu supaya saman ekor ini diketepikan dan jika sekiranya mereka betul-betul menyalahi undang-undang maka kita buat saman yang baru pada tahun 2011," tambah Nizar.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang diterajui Datuk Mahfuz Omar giat membantah isu ini diparlimen.

Pada 5 Ogos lalu, KASE bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.

Dalam pertemuan itu KASE meminta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.

No comments: