Monday, December 13, 2010

Jangan jadi Umno umpan rakyat semasa pilihanraya

Perubahan Bukan Sahaja Musim Pilihanraya-Khalid Ibrahim













KUALA SELANGOR, 13 Dis.: Kerajaan Negeri Selangor sentiasa membawa perubahan yang memanfaatkan rakyat dan bukannya membuat perubahan hanya semasa musim pilihanraya seperti yang dibuat oleh kerajaan negeri sebelumnya, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Macam dulu, sebelum pilihanraya kata 'setuju', lepas pilihanraya, 'tak tahu'; ataupun sebelum pilihanraya buat jalan, lepas itu habis pilihanraya, jalan tak siap pun dia tinggalkan. Masalah sebeginilah yang kita mahu selesaikan," kata Khalid pada Program Turun Padang Pemimpin Negeri Selangor Bersama Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Kuala Selangor yang diadakan di Kolej Inspen, Kuala Selangor hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedar JKKK mengharapkan satu perubahan yang cukup besar dan bukannya perubahan yang hanya berlaku setiap kali adanya pilihanraya kerana projek pembangunan yang dijalankan secara tiba-tiba semata-mata untuk mendapatkan undi tidak berkualiti dan ada juga para kontraktor yang diupah pada masa itu masih tidak dibayar.

Katanya lagi, ada juga wakil rakyat dahulu yang 'pejam mata' sanggup meluluskan projek mengusahakan tanah simpanan kerana takut tidak mendapat undi, sedangkan tanah tersebut tidak boleh digunakan untuk apa-apa projek.

Khalid seterusnya menjelaskan kepada hadirin bahawa kerajaan negeri Selangor telahpun memperuntukkan kira-kira RM600 juta untuk pembangunan seluruh negeri Selangor dan daripada jumlah itu, kira-kira RM200 juta diperuntukkan khusus untuk pembangunan masyarakat Islam.

"Peruntukan yang paling besar, hampir RM200 juta adalah untuk pembangunan pendidikan, perumahan, warga miskin, bagi masyarakat Islam, iaitu satu pertiga daripada keseluruhan bajet," kata beliau lagi.

Selain itu, beliau juga memberitahu berkenaan peningkatan elaun ketua kampung kepada hadirin.

"Elaun ketua kampung, kita dah setuju, kita telah buat pengumunan bahawa, oleh kerana kita mahu sama ratakan pendapatan ketua kampung, jadi kita tingkatkan elaun ketua kampung kepada RM800," kata beliau dihadapan kira-kira 300 ketua kampung dan ahli JKKK dari seluruh daerah Kuala Selangor.

Program yang bertujuan mendapatkan maklumbalas terus daripada rakyat berkenaan pentadbiran kerajaan negeri di daerah Kuala Selangor ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, para Ketua Jabatan Kerajaan Negeri, jurutera dan wakil daripada Majlis Daerah Kuala Selangor(MDKS) serta wakil Pejabat Tanah Daerah.

No comments: