Monday, March 29, 2010

Batalkan sidang DUN Perak

PARIT BUNTAR, 29 Mac : PAS Parit Buntar menyokong cadangan Dewan Pemuda PAS Perak agar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 30 Mac ini dibatalkan selagi pertikaian berkaitan kedudukan speaker DUN Perak masih belum diselesaikan.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata perlantikan R Ganesan sebagai Speaker dipertikaikan kerana beliau dilantik dengan cara tidak mengikut peraturan dewan.

” R Ganesan dilantik dalam keadaan V Sivakumar masih menjadi speaker tetapi diangkut keluar dewan secara paksa oleh anggota polis.

Pelantikan Ganesan juga dipertikai kerana beliau dianggap gugur sebagai speaker apabila tidak meletak jawatan sebagai peguam dalam tempuh tiga bulan beliau dilantik sebagai speaker” katanya

Fakhrurrazi berkata sungguhpun
Mahkamah Persekutuan memutuskan Dr Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar yang sah ,namun
kedudukan V. Sivakumar sebagai seorang speaker DUN Perak masih belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan .

“ Kita menyokong cadangan Dewan Pemuda PAS Perak yang merasakan perlunya campur tangan Seri Paduka Sultan Perak menyelesaikan kemelut ini.

“ Usaha ini penting supaya pertikaian kedudukan speaker DUN Perak dapat diselesaikan secepat mungkin” katanya

Menurutnya, sekiranya sidang Dun Perak tetap diteruskan dalam keadaan berlaku pertikaian kesahihan speaker sudah tentu berlaku perebutan kerusi speaker semasa persidangan.

“ Sudah ada laporan polis terhadap V Sivakumar dan R Ganesan. Penyiasatan oleh pihak polis berkaitan speaker DUN perak yang menyamar juga masih belum dijawab. Justeru itu, adalah lebih baik sidang ini dibatalkan” katanya

Beliau berkata pasukan polis sudah tentu sekali lagi akan digunakan untuk mengawal pintu masuk bangunan DUN bagi menghalang penyokong-penyokong daripada kedua-dua belah pihak dari menghampiri bangunan itu.

No comments: