Monday, March 29, 2010

PR bincang strategi hadapi PRK Hulu Selangor







SHAH ALAM , 29 Mac :
Pakatan Rakyat (PR) akan meletakkan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tetapi keputusan muktamad terletak pada pebincangan Majlis Tertinggi kelak.

Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbincangan akan diadakan dalam minggu ini untuk memuktamadkan parti mana yang akan bertanding dan calon mana yang akan diletakkan di situ.

“Strateginya ialah kita akan mengadakan perbincangan antara parti. Oleh kerana Allahyarham Datuk Dr Zainal dari PKR, sudah tentu kami mahu meletakkan calon untuk bertanding di situ.

“Kita juga hendak mengetahui calon dan kita juga akan membuat beberapa kajian tentang calon sebelum kita membuat pengumuman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada peserta di Pertandingan Memancing Terbuka Selangor 2010 yang diadakan di Taman Tasik Shah Alam, semalam.

Namun beliau enggan mengulas ketika ditanya calon yang akan bertanding sama ada kaum Malyu atau sebaliknya kerana bimbang Barisan Nasional (BN) akan mengadakan cerita tidak benar mengenai calon yang akan bertanding nanti.

“Itu kita tak nak bincangkan kerana kita takut ini akan memberi peluang untuk lawan kita Barisan Nasional untuk membuat cerita-cerita tak betul. Jadi kita tidak akan mengumumkannya,” katanya.

Sama ada kemungkinan bakal calon berasal dari kawasan Parlimen yang sama, Abdul Khalid enggan membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut.

Menjawab pertanyaan pemberita sama ada Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam telah mencadangkan mana-mana individu sebagai calon, beliau berkata:

“Semua ahli PKR dibenarkan membuat cadangan tetapi sama ada cadangan itu diterima atau tidak, akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi PKR.

“Saya tak tahu, saya belum berbincang dengannya. Beliau juga Ahli Majlis Tertinggi PKR, dia juga berhak menyuarakannya tetapi bukan di khalayak ramai tetapi pada mesyuarat Majlis Tertinggi.”SH

No comments: