Monday, March 29, 2010

Sikap Wei Shu dihargai










ALOR SETAR , 29 Mac :
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menghargai pendirian yang ditunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu, yang masih menghormati parti dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun timbul rasa tidak puas hati terhadap parti.

Johari berkata, sikap Wei Shu yang tidak terburu-buru membuat keputusan dan berpegang kepada janji, amat dihargai kerana dapat ‘menjernihkan’ kemelut yang dihadapinya.

“Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana gentleman berdepan dengan situasi ini dan masih menghormati parti. Saya harap pihak luar hentikan tuduhan liar terhadap beliau supaya tidak keruhkan keadaan,” katanya.

Mengulas pendirian Wei Shu yang masih ‘samar’ sehingga kini, Johari berkata, sebenarnya tiada masalah besar yang wujud dalam PKR Kedah berhubung dakwaan Wei Shu sebelum ini, kerana masalah itu telah pun dibincangkan sebelum ini ketika kunjungan Anwar ke Kedah baru-baru ini.

“Wei Shu dan Anwar sudah pun berbincang dari hati ke hati sebelum ini, dan masalah berkenaan dianggap selesai. Mungkin apa yang dimaksudkan Wei Shu mengenai mesyuarat akan datang, berhubung isu lain,” katanya.

Ditanya sama ada perbincangan akan datang merujuk kepada tindakan disiplin yang akan dikenakan ke atas bekas Exco itu kerana kelantangannya mengkritik pemimpin PKR Kedah secara terbuka, Johari yang juga ahli Biro Politik PKR Pusat berkata, isu itu tidak timbul sama sekali.

“Saya tidak anggap dakwaan Wei Shu sebelum ini sebagai kritikan memburukkan parti kerana langsung tidak menyentuh mengenai dasar atau perjuangan parti. Beliau sekadar meluahkan pandangan dan rasa tidak puas hati,” katanya.

Johari berkata, kes Wei Shu berbeza dengan kes Ahli Parlimen Kulim Bandar baharu, Zulkifli Noordin yang jelas mempertikai dasar dan perjuangan parti, dan tidak perlu dibincangkan di peringkat Lembaga Disiplin parti.

“Kes Wei Shu berbeza dengan Zulkifli. Tidak perlu sampai dikenakan tindakan disiplin atau tatatertib. Itu kritikan biasa dalam politik,” katanya.

Johari berkata, mesyuarat sebelum ini yang diadakan di peringkat Biro Politik PKR Pusat ada menyentuh isu Wei Shu, tetapi sekadar membincangkan bagaimana parti dapat membantu ADUN itu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, dan bukannya masalah disiplin.

“Kita sedang mencari idea untuk membantu beliau meningkatkan perkhidmatan selepas tidak lagi bergelar Exco. PKR Kedah akan membantu semampu yang boleh setelah beliau hilang hak keistimewaan sebagai Exco,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah pun berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan akan mencadangkan beberapa usul untuk memperkukuhkan semula PKR Kedah, termasuk perancangan untuk Wei Shu mempertingkat peranannya sebagai ADUN pada masa akan datang.SH

No comments: