Tuesday, May 11, 2010

DAP cabar SUPP debat isu 'Negara Islam'

SIBU, 11 Mei : Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar Ketua SUPP Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh berdebat tentang negara Islam berikutan dakwaan parti itu bahawa pengundi memilih negara Islam bila mengundi DAP.

"Saya cabar Wong Soon Koh berdebat dengan saya Jumaat ini berkenaan dengan serangan beliau terhadap DAP yang menyatakan undi DAP bererti undi PAS dan negara Islam.

"SUPP mula menyerang DAP dengan menggunakan isu yang tidak lagi menjadi isu di Semenanjung yang berkaitan dengan negara Islam. Kempen ini telah dimulakan oleh Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Wong Soon Koh.

Memang benar negara Islam adalah matlamat PAS tetapi ia bukannya matlamat Pakatan Rakyat.

"Saya mengaku, tema 'Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam' berkesan dalam pilihan raya umum 1999 tetapi ia sudah dikebumikan apabila tsunami politik melanda negara dalam pilihan raya umum 2008," jelas Kit Siang.

Beliau berpendapat mungkin ahli strategi SUPP percaya ini adalah senjata pembunuh yang boleh menamatkan peluang calon Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng memenangi pilihan raya kali ini.

"Saya yakin kempen ini dilakukan adalah bagi menakutkan pengundi dari kaum Cina dan juga yang bukan Islam, ketika Wong Ho Leng berada dalam keadaan sokongan 40 peratus sahaja.

"Nampaknya pemimpin SUPP yakin, apa yang tidak berlaku di Semenanjung masih berlaku di Sibu. SUPP berada dalam kebimbangan dengan perkembangan yang berlaku apabila sokongan kepada calon DAP semakin meningkat selepas dua hari berkempen.

"Dari 40%:60% antara DAP:BN kini sudah meningkat kepada 44%:56%. Ini sangat bimbangkan SUPP sehingga mengeluarkan serangan yang dianggap sebagai senjata pemusnah (killer weapon) ini," jelas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Kit Siang berpendapat senjata pembunuh yang dikeluarkan oleh SUPP sepatutnya 48 jam sebelum mengundi tetapi mereka telah menggunakan lebih awal lagi kerana melihat kepada peningkatan sokongan yang berlaku keatas calon DAP.

"SUPP sebenarnya percaya dengan strategi mereka dengan menyatakan kepada pengundi Cina 'mengundi roket bererti memilih negara Islam', disini saya ingin tegakkan Malaysia adalah sebuah negara yang sekular dan Islam adalah agama rasmi tetapi bukan negara Islam. Prisip kita konsisten dan tetap.

"DAP, KEADILAN dan PAS telah membentuk Pakatan Rakyat pada platform umum prinsip yang telah kita bina atas dasar masyarakat yang bebas, adil, jujur dan Malaysia makmur berdasarkan prinsip asas dinyatakan dalam Perlembagaan 1957 dan Suruhanjaya Cobbold 1963. Perlindungan yang diberi di bawah kedua-dua ini adalah asas pembentukan Malaysia dengan Sarawak, Sabah, dan Singapura.

"Ini bermakna negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat dan DAP selama ini tetap teguh pada prinsip politik kita yang ditanggung oleh nota dedikasi dan konsistensi pemimpin DAP selama puluhan tahun," katanya lagi.

No comments: