Tuesday, May 11, 2010

Pemuda Umno tolak debat


ALOR SETAR, 11 Mei : Tindakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah menolak cabaran berdebat dipercayai kerana pemimpinnya tidak faham isu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah, Mohamad Helmi Mohamad Khalid berkata, ajakan kali kedua untuk Pemuda PAS memperjelaskan maksud soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa yang ditolak mentah-mentah oleh Pemuda UMNO Kuala Kedah, membuktikan sayap parti UMNO itu pengecut kerana tiada fakta kukuh untuk menyokong pendirian mereka.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, ini bukan ajakan debat untuk bincang isu Sultan, sebaliknya untuk membahaskan satu perkara sahaja, iaitu berkaitan soalan DUN Mohd Nasir. Jika soalan itu yang menjadi punca kekecohan, eloklah soalan ini dibahaskan,” katanya.

Mohamad Helmi berkata, sejak awal lagi sejurus persidangan DUN berakhir, UMNO dengan lantang membuat pelbagai kenyataan dengan memutar belit fakta, sehingga menimbulkan salah faham dan mendakwa soalan itu mempertikaikan kuasa Tuanku Sultan.

“UMNO yang cuba pecah belahkan perpaduan rakyat di negeri ini apabila menggembar-gemburkan isu ini hingga rakyat keliru. Jadi tidak salah jika kita selesaikan kemelut ini melalui debat antara dua pihak,” katanya.

Menurutnya, tindakan UMNO tak ubah seperti, baling batu sembunyi tangan. Malah dilihat cuba mengkucar-kacirkan keadaan, tanpa fakta yang jelas.

“Jika mahu berpolitik, inilah masanya untuk berhujah. Namun bersedialah dengan fakta-fakta yang boleh menyokong kenyataan tersebut. Berani kerana benar, saya harap Ketua Pemuda UMNO Kuala Kedah, Shafiqurrahman Shamsudin lebih matang tangani isu ini,” katanya.

Menurutnya, antara tujuan ajakan debat ini ialah untuk mencari punca kekecohan, selain memperjelaskan maksud soalan DUN, bukannya membahaskan isu kuasa Sultan.

“Saya minta beliau hentikan daripada membuat kenyataan yang mengelirukan dan jangan lagi memutar belitkan fakta,” katanya.

Mohamad Helmi turut menafikan kenyataan Shafiqurrahman yang mendakwa debat ini adalah taktik PAS untuk memprovokasi isu untuk memecah-belahkan masyarakat.SH

No comments: