Tuesday, May 11, 2010

Kerajaan PR tidak lindungi perasuah


SHAH ALAM, 11 Mei : Kerajaan Negeri tidak akan melindungi dan tidak teragak–agak mengheret sesiapa sahaja yang bersalah ke muka pengadilan jika didapati mereka mengkhianati amanah yang diberi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, tidak kira jawatan sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen,jika didapati bersalah perlu dikenakan tindakan.

“Sesiapa yang bernaung di bawah Kerajaan Negeri dan jika masyarakat mempunyai maklumat tentang mana – mana pegawai kami yang dipercayai terlibat dengan rasuah kami menggalakkan mereka membuat aduan kepada SPRM dan Polis.

“Kita tidak mempunyai jabatan siasatan dalaman, siasatan diserahkan sepenuhnya kepada SPRM atau polis, kami Pakatan Rakyat (PR) tidak akan melindungi sesiapa sahaja jika didapati benar –benar terlibat dan bersalah dengan rasuah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang mendakwa pegawai atasan Kumpulan Semesta Sdn Bhd menerima rasuah.

Terdahulu beliau merasmikan Seminar Keusahawanan anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Kompleks Perumahan Exco di sini semalam.

“Seminar ini sebenarnya adalah motivasi kepada asas– asas keusahawanan bagi mereka yang telah berniaga dan akan memulakan perniagaan.

“Saya bersyukur kerana seminar ini telah mendapat sambutan di luar jangkaan di mana pada mulanya kami menyasar hanya 100 orang yang akan datang tetapi hari ini lebih daripada 150 orang yang hadir,”katanya.

Katanya, ini adalah perkembangan dan pendedahan yang menggalakkan terutama bagi mereka yang datang dari luar bandar.

Menurut beliau lagi, Seminar ini diwujudkan terutamanya untuk Bumiputera yang baru hendak memulakan perniagaan.

“Untuk menjadi usahawan yang maju dan berdaya saing mereka perlulah merebut dan melihat peluang yang ada di hadapan mereka dan kerajaan negeri juga telah mewujudkan bantuan Industri Kecil (IKS),"katanya.SH

No comments: