Tuesday, June 29, 2010

1 : 40 - Bukan hanya salah Umno














KUALA LUMPUR , 29 Jun : Walaupun PAS berpandangan nisbah 1 orang Melayu dan 40 bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi adalah petunjuk kepada kegagalan Umno bagi menyuntik kesedaran politik di kalangan orang Melayu, namun PAS dan PKR juga terlibat sama dalam kegagalan tersebut. Menurut Blog Ibnu Hasyim.

Hal jelas terbukti apabila merujuk kepada kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (gambar) menurut Harakahdaily sebentar tadi di mana PAS juga mensasarkan pendaftaran 50 peratus pengundi baru sama ada Melayu atau bukan Melayu untuk mempertahan Kerajaan Kedah dan Selangor daripada dirampas Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Ketika diminta mengulas laporan eksklusif Berita Harian berhubung nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak PRU12 lalu adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40), antaranya beliau berkata..

“Pendaftaran pengundi baru oleh ejen kita setakat ini tak sampai 10 peratus sedangkan kita mahu lebih separuh daripada orang yang layak berdaftar untuk pertahan dua kerajaan yang baru (sepenggal) kita memerintah,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pada satu wawancara eksklusif di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut beliau, PAS perlu mendaftar lebih 250 ribu pengundi baru di peringkat Kedah kerana kebanyakan wakil rakyat PAS serta sebahagian wakil rakyat PKR bertanding di kawasan majoriti Melayu. Begitu juga di Selangor, beliau berkata, PAS perlu 350 ribu pengundi baru untuk mempertahankan kerusi-kerusi semua wakil rakyat yang sebelum ini memenangi kawasan majoriti Melayu dan bercampur.

Berbeza dengan inisiatif DAP di Pulau Pinang, beliau berkata, parti serta kerajaan negeri banyak mengambil pengalaman daripada PAS di Kelantan untuk menghadapi Umno pada PRU akan datang. Katanya, DAP sejak memerintah Pulau Pinang giat melakukan pendaftaran pengundi baru, khususnya di kalangan masyarakat Cina.

Disebabkan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa angka nisbah 1:40 seperti yang didedahkan oleh Kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno semalam, adalah suatu gambaran yang logik berhubung demografi pengundi baru di tanah air. Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, DAP juga giat melakukan semakan daftar pengundi yang baru tiga bulan sekali seperti yang dilakukan PAS di Kelantan.

Melalui PAS Pusat, beliau berkata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri mahu seramai 120 ribu tenaga mahir disediakan melalui Institut Latihan Pilihan Raya PAS (Ilpas). “Kalau boleh, Presiden PAS suka dan mahu Ilpas ini menyediakan satu pasukan seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran, iaitu ‘satu bilangan yang kecil mengalahkan satu bilangan yang besar’,” ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Firdaus Jaafar, Pengerusi Jabatan Pilihan Raya (JPN) Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, pihaknya bakal melancarkan kempen giat daftar pengundi muda bermula bulan depan.

Saranan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman ini perlu diambil tindakan segera. Sudah 2 tahun memerintah, Dewan Pemuda PAS baru 'bakal melancarkan kempen giat daftar pengundi muda bermula bulan depan'. Jadi, jelas kegagalan Umno menyuntik kesedaran politik di kalangan orang Melayu, adalah kegagalan PAS dan PKR juga.

Jangan, bagaikan periuk mengatakan punggung belanga saja yang hitam. Periuk kena lihat punggung sendiri sama demi menyelamatkan umat.(AK)

No comments: