Tuesday, June 29, 2010

Pakatan lantik penasihat undang-undang sendiri

















KUALA LUMPUR, 30 Jun :
Negeri-negeri Pakatan Rakyat akan melantik penasihat undang-undang mereka sendiri dan memberhentikan amalan sekarang yang mana jawatan berkenaan diisi oleh perwakilan daripada Pejabat Peguam Negara.

Pada sidang media oleh pemimpin Pakatan di parlimen, hari ini, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu perlu berikutan ‘kecuaian’ oleh penasihat undang-undang yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.

"Kita akan mencadangkan negeri-negeri Pakatan supaya melantik sendiri peguam mereka sebagai penasihat undang-undang,” kata Anwar.

"Ini kerana pejabat peguam negara tidak berkecuali. Mereka mewakili kepentingan kerajaan Umno-BN. Ini menyebabkan banyak masalah kepada pentadbiran negeri-negeri, sebagai contoh di Kelantan seperti yang dijelaskan oleh exconya hari ini,” katanya.

Bagaimanapun Anwar tidak mengulas lanjut masalah yang dihadapi di Kelantan itu.Penasihat undang-undang di negeri-negeri Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum 2008 seringkali bertindak dan membuat keputusan yang bercanggah dengan kerajaan negeri. Paling ketara, ia berlaku di Perak sebelum kerajaan negeri Pakatan ditumbangkan.

Di Selangor pula, penasihat undang-undang negeri didakwa melenggahkan hasrat kerajaan negeri menjadikan dokumen konsei perjanjian air sebagai dokumen awam.

Mengulas laporan Berita Harian semalam yang memetik kenyataan Pemuda Umno bahawa nisbah kaum Melayu yang mendaftar sebagai pengundi berbanding Cina adalah 40:1, Anwar berkata, Suruhanjaya pilihan Raya (SPR) seharusnya mengeluarkan angka tepat dan tidak menimbulkan rasa takut di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, dalam keghairahan SPR menyokong kenyataan Pemuda Umno, SPR seakan-akan lupa bahawa laporan sebegini hanya memperlihatkan kegagalan badan itu dalam menarik minat rakyat yang layak untuk mendaftar sebagai pengundi.

"Ini memperlihatkan kegagalan SPR dalam menjalankan tugas mereka dengan berkesan," kata Anwar.

Anwar sebulat suara menyokong pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengesyorkan SPR supaya melaksanakan daftar pengundi secara automatik.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mencabar SPR untuk memberikan angka yang sebenar bagi membuktikan apa yang diperkatakan Umno adalah benar. Malaysiakini

No comments: