Tuesday, June 29, 2010

Khalid pimpin rancangan tiga tahun


SHAH ALAM , 30 Jun : Kerajaan Negeri akan melancarkan rancangan tiga tahun yang merangkumi dasar sosial ekonomi di Selangor untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, rancangan pertama bagi Selangor ini akan dilancarkan November depan sebelum bajet 2011.

“Ia akan menyentuh ekonomi, pembasmian kemiskinan, pendidikan, pembangunan berterusan, ketelusan, kebertanggungjawaban dan tindakan integriti, isu gender, inisiatif belia, peluang pekerjaan, pembangunan sumber manusia dan latihan serta isu agama.

“Pelan tiga tahun ini melibatkan proses perundingan secara demokrasi yang membolehkan semua pihak turut serta memberi pandangan dan cadangan untuk menjadikan Selangor lebih baik dan melahirkan generasi muda yang lebih bersemangat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri akan mendapatkan pandangan rakyat dari pelbagai peringkat di Selangor bagi mendapatkan gambaran sebenar apakah keperluan dan keinginan yang rakyat negeri ini mahukan.

“Pihak yang akan terlibat dalam memberi pandangan ini termasuklah ahli majlis, persatuan penduduk, kumpulan agama, ahli perniagaan, wakil rakyat, ahli parlimen, kakitangan awam dan pihak-pihak lain yang berkepentingan dalam merancang, melaksana dan memantau rancangan ini.

“Sebagai Menteri Besar, saya secara peribadi akan memimpin rancangan tiga tahun ini yang merupakan tatacara yang baru bagi parti yang memerlukan saya melipatgandakan usaha di peringkat Kerajaan Negeri untuk memastikan pentadbiran yang dinamik, telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu katanya, rakyat boleh menganggap bahawa rancangan ini sebagai satu lagi inisiatif yang menjadi isyarat kuat kepada komitmen Kerajaan Negeri untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dan Keadilan Selangor dalam keadaan kukuh malah menjadi lebih kuat selepas permukiman dan perjumpaan pada hujung minggu lalu.

“Oleh kerana Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan pembaharuan, kita di Selangor akan melaksanakan reformasi sebagai komitmen sebenar dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor,” katanya.SH

No comments: