Monday, June 14, 2010

PAS ibarat kehilangan ‘kitab perlembagaan’



KUALA LUMPUR, 15 Jun : Bekas ahli jawatankuasa pusat PAS Subky Latif menyifatkan Allahyarham Hassan Shukri sebagai nadi penggerak dalam membantu perkembangan parti itu sejak dari awal penubuhannya sehingga menjadi parti disegani.

“Allahyarham merupakan orang penting dalam membantu mengembangkan PAS di negara ini,” kata beliau.

Sejak dari awal pertubuhan PAS, katanya, Allahyarham Hassan banyak membantu dengan mengadakan ceramah-ceramah di setiap kampung untuk menerangkan PAS kepada rakyat.

“Allahyarham seorang yang begitu sabar dan berani dalam memperjuangkan PAS dan atas jasa Allahyarham PAS mula diterima rakyat.

“Dari tidak dikenali, PAS mula menjadi sebuah parti yang disegani dan ia merupakan salah satu jasa terbesar Allahyarham kepada PAS,” kata rakan rapat Allahyarham Hassan ini.

Hassan, 71, yang merupakan bekas timbalan presiden PAS meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira pukul 2 petang semalam sehari selepas pulang dari menghadiri muktamar tahunan parti itu di Kota Baru.

Subky berkata, sepanjang berkenalan dengan Allahyarham Hassan, beliau merupakan seorang individu yang lemah lembut tetapi tegas dalam hal-hal tertentu.

“Saya sudah berkenalan dengan Allahyarham sejak 1970 lagi dan beliau merupakan individu yang disenangi masyarakat.

“Dalam sifat baik hati itu Allahyarham akan menjadi seorang yang paling tegas sekiranya terdapat ahli ataupun pemimpin yang melakukan kesalahan,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas bacaan Yasin dan tahlil di perkarangan rumah Allahyarham di Taman Melewar, Batu Caves dekat sini malam tadi.

Allahyarham Hassan pernah menjadi naib presiden dan setiausaha agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh kerajaan PAS Terengganu selepas pilihan raya umum 1999.

Jawatan semasa ialah anggota Majlis Syura PAS.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar dekat sini dan rumah beliau juga bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Allahyarham yang berasal daripada Sabak Bernam meninggalkan isteri, Hamidah Abdul Mutalib, 62, dan enam orang anak.

Menurut anaknya, Akmal Hamdi, 37, Allahyarham yang tiba di Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.30 malam kelmarin hanya mengadu sakit dada tetapi keadaannya masih lagi normal.

“Pagi semalam selepas tidak berhenti sakit, saya membawa Allahyarham ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.

“Selepas pemeriksaan, doktor beritahu saya bahawa Allahyarham ada masalah jantung dan terus dimasukkan ke CCU untuk rawatan rapi.

“Ketika berada di CCU Allahyarham berada dalam keadaan normal dan saya meminta kebenaran doktor untuk pulang sebentar bersama ibu untuk mengambil barang-barang Allahyarham,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Beliau berkata ketika dalam perjalanan pulang pihak hospital menghubunginya dan meminta supaya kembali ke hospital.

“Pihak hospital menghubungi saya dan meminta kembali ke hospital kerana Allahyarham sudah meninggal dunia.

“Doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira pukul 2 petang,” katanya.

Beberapa pemimpin PAS menyifatkan pemergian Hassan sebagai satu kehilangan besar bagi PAS kerana Allahyarham merupakan seorang tokoh pemimpin yang banyak berjasa kepada perkembangan parti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata “bagi PAS, Allahyarham adalah sebutir permata yang sangat bernilai malah tiada penggantinya.”

“Allahyarham juga merupakan seorang tokoh pemimpin yang paling berpengalaman dalam parti,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata Allahyarham Hassan disifatkan sebagai “kitab rujukan” bagi PAS terutamanya dari segi perlembagaan dan sejarah parti.

“Allahyarham merupakan pakar dalam perlembagaan dan sejarah PAS, jadi sekiranya ada perlembagaan yang hendak digubal kita akan rujuk kepada Allahyarham terlebih dahulu.

“Ini kerana Allahyarham memang pakar dan mengetahui tentang perlembagaan dan sejarah parti, malah idea-idea yang diberikan Allahyarham banyak membantu PAS dalam mengembangkan parti,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata Allahyarham merupakan seorang individu yang sangat komited dalam perjuangan parti sejak dari awal penglibatan sehingga meninggal dunia.

“Allahyarham sangat komited dalam memperjuangkan PAS dan sanggup bekerja untuk parti tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Allahyarham tidak pernah meninggalkan parti dan sentiasa bersama walaupun susah,” katanya.

Menurut Salahuddin walaupun Allahyarham seorang yang berpengalaman tetapi beliau tidak pernah lokek dalam berkongsi pengalamannya bersama pemimpin PAS.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kerana Allahyarham cukup berharga kepada parti,” katanya.
Italic
Sementara itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof pula menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh paling lama dan berpengalaman dalam PAS.

“Allahyarham telah mengorbankan seluruh hidupnya dengan memperjuangkan PAS dan pemergian Allahyarham merupakans satu kehilangan besar kepada parti,” katanya.

Bagi seorang lagi ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohamad Sabu, Allahyarham merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada parti.

“Ini kerana Allahyarham pakar dalam kedua-dua perkara itu jadi mudah bagi parti untuk memperoleh maklumat,” katanya.MI

No comments: