Friday, July 2, 2010

Hosni Mubarak nafi masuk Umno


SHAH ALAM , 2 Julai : Ulama muda, Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, mendakwa sekali lagi diperdaya datang ke majlis penyerahan borang menyertai UMNO, Jumaat minggu lalu, yang diserahkan kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, mulanya beliau ke Hotel Legend hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) atas jemputan ayah sahabatnya untuk ke majlis menyambut pelajar lepasan universiti Timur Tengah yang turut dihadiri Perdana Menteri bersama tiga lagi rakannya.

“Mulanya, kami mahu terus ke Johor, jadi saya solat Maghrib dan solat jamak sekali, kebetulan juga salah seorang rakan saya seorang jurukamera dan beliau mahu mengambil gambar Perdana Menteri, jadi kami singgah di situ, lagipun ayah sahabat saya yang ajak.

“Kemudian kami di bawa ke Menara Dato' Onn dan saya ternampak ramai yang pakai kopiah, jadi saya ingat mereka orang PAS, tiba-tiba kami semua diarahkan berbaris dan diumumkan antara 40 ulama muda yang sertai UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Selain itu, Husni turut menegaskan walaupun beliau tidak mengisi borang keahlian UMNO, tetapi beliau berasa terkilan kerana diperdaya dan menerima banyak panggilan bertanyakan hal yang sebenar.

“Saya teraniaya sebab dituduh masuk UMNO, saya tidak terlibat langsung, kalau saya tahu saya tidak pergi ke majlis tersebut,” katanya.

Ditanya kenapa beliau sanggup berbaris ketika menyambut Perdana Menteri, Hosni berkata, beliau mengikut arahan tersebut kerana beliau hormat Perdana Menteri.

Menurutnya, pelbagai dakwaan yang mengatakan beliau dan rakan-rakan dihalang untuk masuk ke Menara Onn adalah tidak benar kerana kedatangan mereka tanpa dihalang, malah disambut baik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Kalau ada pihak berkata kami tidak dijemput untuk datang, saya nafikan kerana kami disambut baik Ustaz Fadhlan (Mohd Othman) dan Shahidan,” katanya. SH

No comments: