Friday, July 2, 2010

Kecewa PBT salahguna wang rakyat


BIDOR , 2 Julai : Beberapa bekas Ahli Majlis, Majlis Daerah Tapah (MDT), di sini, melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengadakan mesyuarat penuh di Sarawak baru-baru ini.

Bekas Ahli Majlis MDT, N Manickam berkata, tindakan pihak berkuasa itu jelas menunjukkan penyalahgunaan wang rakyat.

Menurutnya, wang rakyat dibazirkan hanya sedangkan pelbagai masalah rakyat di kawasan MDT masih tidak dapat diselesaikan.

“Kami mempersoalkan kenapa pihak MDT mengadakan mesyuarat di Sarawak sedangkan di semenanjung masih banyak tempat untuk mengadakan mesyuarat.

“Ini menyebabkan berlakunya pembaziran kerana memerlukan kos yang tinggi untuk ke sana,” katanya sempena sidang media yang diadakan di Pejabat DAP Bidor, di sini, semalam.

Manickam berkata, pihaknya menyeru agar kepimpinan MDT lebih kerap turun padang sejajar dengan seruan Perdana Menteri.

Katanya, pelbagai masalah yang melibatkan rakyat masih tidak diselesaikan kerana ada segelintir orang awam yang tidak mengenali barisan kepimpinan MDT.

“Sebelum ini di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat, pihak MDT sering bertemu rakyat setiap hari rabu untuk mengetahui masalah mereka.

“Namun kini ianya sudah tidak dilakukan dan kami berharap agar kepimpinan MDT dapat berbuat demikian dalam dua minggu sekali,” katanya.

Seorang lagi bekas Ahli Majlis MDT, Ikram Zahari berkata, pihak MDT perlu lebih telus dalam menjalankan tanggungjawab terhadap penduduk.

“Apa yang kita mahukan ialah aduan daripada orang awam dan wakil rakyat perlu dipandang serius MDT serta mencari jalan penyelesaian segera.

“Jangan dibazirkan duit dengan mengadakan projek yang tidak diperlukan sedangkan masalah rakyat masih terbengkalai,” katanya.

No comments: