Monday, July 12, 2010

Karpal tiada niat bermusuh dengan PAS



KUALA LUMPUR, 12 Julai : Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak berniat untuk menimbulkan isu Negara Islam acuan PAS apatah lagi membidas pemimpin PAS sebaliknya menyifatkan isu tersebut sengaja dimainkan pihak tertentu, kata Setiausaha Publisiti DAP Pusat, Teresa Kok.

Ujar Exco Selangor itu lagi, perkara tersebut bukan isu besar dan sengaja dimainkan semula oleh pihak tertentu dan menganggapnya sebagai asam garam dalam dunia politik.

“Tiada isu sebenarnya. Saya rasa Karpal tidak mahu membidas PAS.

“Kenyataan yang dikeluarkan mungkin sebagai menjawab pertanyaan orang lain. Apabila ada yang bertanya, maka kita kena jawablah,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, isu tersebut adalah salah faham antara Karpal dan pemimpin PAS dan ia tidak sama sekali mengeruhkan hubungan kerjasama antara parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Ia salah faham dan bukan masalah besar pun. Perkara ini biasa saja. Dalam hubungan suami isteri pun pasti ada salah faham,” katanya sambil meminta semua pihak berhenti memanjangkan isu tersebut.

Terdahulu, Karpal dilaporkan melahirkan rasa tidak setujunya terhadap konsep Negara Islam yang mahu dibawa PAS.

Keengganan Karpal dibidas pimpinan PAS yang meminta Karpal memberi perjelasan berhubung isu tersebut bagi menamatkan polemik mengenainya.SH

No comments: